Hujan dijangka pada sebelah pagi dan petang bagi tempoh dua minggu akan datang kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 16 Ogos.
Keadaan cuaca itu disebabkan monsun barat daya Singapura dan wilayah ini, berserta angin kuat dijangka dari kawasan barat daya atau timur laut.
Namun, suhu harian dijadual kekal tinggi, dengan suhu maksimum harian dijangka berada dalam lingkungan antara 32 darjah Celsius dengan 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.
Suhu pada beberapa malam dalam tempoh dua minggu akan datang juga dijangka kekal lebih tinggi daripada 28 darjah Celsius, menyebabkan keadaan panas dan lembap.
Cuaca lebih baik dan berangin dijangka berlaku di minggu terakhir Ogos.
Sementara itu, jumlah hujan yang turun dalam tempoh separuh kedua Ogos diramalkan berada di bawah paras purata di kebanyakan tempat.
Dua minggu pertama pada Ogos – apabila monsun barat daya tiba di Singapura dan wilayah ini – menyaksikan hujan dan guruh di beberapa tempat di serata negara pada lewat pagi dan petang.
Pada 4 Ogos, angin yang bertembung di kawasan ini mengundang hujan lebat dan guruh di banyak kawasan di Singapura pada lewat pagi dan petang.
Jumlah atau paras hujan turun keseluruhan, iaitu 72.9 milimeter yang dirakamkan di Jurong West pada hari tersebut adalah paras hujan tertinggi dalam dua minggu pertama Ogos.
Namun, kebanyakan tempat di Singapura mencatat paras hujan lebih rendah berbanding paras purata.
Sentosa mengalami hujan sehingga 40 peratus lebih banyak berbanding paras purata, sementara Kolam Air Lower Pierce mengalami hujan pada paras 70 peratus di bawah purata.
Dalam tempoh yang sama, suhu maksimum adalah antara 32 darjah Celsius dengan 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.
Suhu maksimum tertinggi, iaitu 34.6 darjah Celsius dirakamkan di Seletar pada 3 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg