Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat tidak hambat semangat penonton, sukarelawan

Aug 9, 2024 | 8:34 PM
Hujan lebat membasahi sebahagian kawasan sekitar Padang pada 4 petang tidak menghambat semangat 27,000 penonton yang hadir ke Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.
Hujan lebat membasahi sebahagian kawasan sekitar Padang pada 4 petang tidak menghambat semangat 27,000 penonton yang hadir ke Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024. - Foto ZAOBAO

Hujan lebat yang membasahi sebahagian kawasan sekitar Singapura pada 4 petang pada 9 Ogos tidak mematahkan semangat patriotisme ribuan warga Singapura yang membanjiri Padang dan kawasan sekitarnya untuk meraikan Hari Kebangsaan.

Ini termasuk penonton yang berjaya mendapatkan tiket bagi menonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang secara langsung.

Antara mereka yang bernasib baik memperolehi tiket NDP kali ini adalah keluarga tiga beranak, Cik Sudriyanti Samsudin, suami Encik Mohamad Sidiq Johari, kedua-duanya 36 tahun, dan anak perempuan mereka berusia 10 bulan, Qaizara Mohamad Sidiq.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui di Padang, Cik Sudriyanti berkongsi bahawa ini kali pertama mereka sekeluarga menonton NDP.

Guru bahasa Melayu itu menjelaskan detik menonton NDP secara bersama pada 2024 lebih manis dan bermakna kerana dapat dikongsi bersama anak perempuan mereka setelah tujuh tahun mencuba untuk mendapatkan zuriat.

Beliau, yang tiba di Padang sekitar 4.30 petang, berkata: “NDP kali ini sangat bermakna bagi kami kerana kami dikurniakan seorang cahaya mata selepas tujuh tahun menunggu.

“Oleh demikian, kami berpeluang untuk menonton perbarisan… dan melakar kenangan bersama.”

Bagi pasangan Cik Nur Diana Ishak dan suami, Encik Muhamad Fadhli Rosli – kedua-duanya berusia 35 tahun – mereka meredah hujan lebat dan tiba seawal 4 petang untuk mendapatkan tempat duduk baik di Padang.

Cik Nur Diana Ishak dan suami, Encik Muhamad Fadhli Rosli, kedua-duanya berusia 35 tahun, meredah hujan lebat dan tiba seawal 4 petang untuk mendapatkan tempat duduk baik di Padang.
Cik Nur Diana Ishak dan suami, Encik Muhamad Fadhli Rosli, kedua-duanya berusia 35 tahun, meredah hujan lebat dan tiba seawal 4 petang untuk mendapatkan tempat duduk baik di Padang. - Foto BH oleh BATRISYIA BAHARIM

Cik Nur Diana, seorang kaunselor genetik, berkongsi bahawa ini adalah kali kedua menonton NDP secara langsung – kali pertama adalah di platform terapung Marina Bay dan kali kedua pula di Padang.

Beliau melahirkan penghargaannya kepada ibunya, yang berkongsi usia sama dengan kemerdekaan Singapura iaitu 59 tahun, dan jirannya yang memberikan tiket NDP kepada beliau serta suami.

Semangat patriotisme dan nilai penghargaan itu turut dizahirkan Cik Sariah Tomin, yang hadir di Padang sebagai sukarelawan daripada Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert) kendalian Persatuan Rakyat (PA).

Sukarelawan daripada Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert), Cik Sariah Tomin, menabur baktinya sukarelawan di Padang dan menyifatkan khidmat yang diberikan sebagai cara menyumbang kembali kepada masyarakat kerana beliau gemar aktiviti sedemikian.
Sukarelawan daripada Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert), Cik Sariah Tomin, menabur baktinya sukarelawan di Padang dan menyifatkan khidmat yang diberikan sebagai cara menyumbang kembali kepada masyarakat kerana beliau gemar aktiviti sedemikian. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Sebagai sukarelawan Cert, beliau dilatih untuk memberi respon kepada kecemasan dan bantu komuniti dalam proses pemulihan.

Beliau dilatih dalam memberikan pertolongan cemas asas (basic first aid) dan mengawal orang ramai, antara lain.

Nenek kepada 10 cucu dan ibu empat anak berusia 71 tahun itu berkongsi bahawa beliau masih ingin berbakti sebagai sukarelawan meskipun usianya lanjut kerana beliau gemar berada di luar dan masih ingin sumbang kembali kepada masyarakat.

“Memang sudah menjadi minat saya untuk (luangkan masa dan berkhidmat) di luar. Sungguhpun cuaca pada awalnya amat panas, kerana minat, saya akan teruskan.

“Walaupun khidmat sukarela ini tiada gaji, saya suka melakukannya. Mungkin dengan langkah ini, cucu atau anak saya akan ikut jejak langkah saya ini,” ujar beliau.

Laporan tambahan oleh AMEERAH SALLEHUDDIN, BATRISYIA BAHARIM, ABDUL QAYYUM SARIP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg