Topik diikuti
Pergi ke BHkuHukuman cegah penipu muda: Undang-undang baharu bakal dibentang
Shanmugam: Langkah bagi perkukuh pendekatan hukuman bersifat pencegahan ke atas semua penipu
Hukuman cegah penipu muda: Undang-undang baharu bakal dibentang
Undang-undang baharu akan dibentangkan tidak lama lagi bagi memperjelas bahawa keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menjatuhkan hukuman pemulihan ke atas beberapa pesalah muda berkaitan kes penipuan, tidak sepatutnya diikuti.
Ini dinyatakan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, di Parlimen pada 6 Oktober semasa menjawab soalan berhubung golongan muda yang terlibat dalam kes penipuan.
Encik Shanmugam yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri berkata, langkah ini akan memperkukuh pendekatan mengenakan hukuman bersifat pencegahan ke atas semua penipu dan mereka yang memudahkan cara penipuan, termasuk pesalah muda.
Beliau merujuk kepada panel tiga hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Mohamed Erzan Taib Zohri lawan Pendakwa Raya dan rayuan-rayuan lain pada 10 September, yang membenarkan beberapa rayuan oleh pesalah muda yang terlibat dalam kesalahan berkaitan penipuan dikenakan perintah probesen serta khidmat masyarakat.
Dengan berbuat demikian, kata Encik Shanmugam, mahkamah telah menyatakan bahawa “pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman pesalah muda secara amnya, atau mengikut anggapan, adalah pemulihan”.
Rasional ini bercanggah dengan pendekatan yang ditetapkan dalam garis panduan dalam menjatuhkan hukuman yang dibangunkan Panel Penasihat Penjatuhan Hukuman bagi kesalahan penipuan.
“Garis panduan tersebut menyatakan: ‘Hukuman denda, perintah probesen dan hukuman khidmat masyarakat secara amnya tidak sesuai.’ ‘Hukuman penjara atau latihan reformatif, mana-mana yang lebih sesuai, patut dipertimbangkan mengambil kira keperluan untuk mencegah serta kepentingan awam dalam membanteras kes-kes penipuan’,” kata beliau.
Encik Shanmugam menambah bahawa undang-undang baharu itu akan menyatakan dengan “cukup jelas” bahawa pendirian tersebut tidak sepatutnya diikuti.
Beliau berkata bagi mahkamah yang berhadapan dengan pesalah muda, untuk menyatakan rasa simpati terhadap mereka ialah sesuatu yang boleh difahami, hingga menyebabkan mereka cenderung menjatuhkan hukuman yang bersifat pemulihan ke atas pesalah muda sedemikian.
Namun, beliau berkata mahkamah tidak mempunyai perspektif dasar, mahupun data mengenai skala masalah penipuan dan para penipu – iaitu jumlah kerugian yang sangat besar akibat penipuan, serta kesan penderitaan manusia yang sepenuhnya akibat kes-kes tersebut.
Jumlah kerugian akibat penipuan telah berkurangan sedikit menyusuli hukuman yang diperketat secara bertahap sejak beberapa tahun lalu, namun penipu terus menyesuaikan diri bagi mengatasi langkah-langkah tersebut.
Bahkan, dalam separuh pertama 2026, polis menerima secara purata sekitar 90 kes penipuan yang dilaporkan setiap hari – melibatkan sekitar $2 juta yang hilang setiap hari.
“Ini bukan masanya untuk berlembut,” kata beliau.
“Jika kita berlembut terhadap penipu dan mereka yang memudahkan cara penipuan, lebih ramai rakyat Singapura akan menjadi mangsa, termasuk warga emas yang mungkin kehilangan seluruh wang simpanan seumur hidup mereka.
“Dan jika pesalah muda diperlakukan dengan lebih lembut semata-mata kerana faktor usia mereka, sindiket penipuan akan mempunyai dorongan kuat untuk merekrut lebih ramai anak muda sebagai keldai akaun.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku,” tambah beliau.