Topik diikuti
Pergi ke BHkuKekal waspada agar tidak terjebak jadi mangsa penipuan
Masih banyak usaha perlu dilakukan bagi tingkat kesedaran di sebalik kerugian jutaan dolar warga
Kekal waspada agar tidak terjebak jadi mangsa penipuan
Beberapa bulan lalu, saya menerima panggilan daripada seorang ‘pegawai UnionPay’ yang bertanya sama ada saya ingin menyambung pelan insurans kemalangan.
Kononnya, pelan itu diberikan secara percuma sebelum ini, tetapi kini saya perlu membayar premium sebanyak $750.
Saya terpinga-pinga kerana seingat saya, saya tidak pernah mendaftar untuk mana-mana promosi.
Apabila saya menjelaskan perkara tersebut, pemanggil itu memberitahu bahawa saya boleh membuat rayuan untuk menamatkan insurans itu, lalu dengan pantas memindahkan panggilan saya kepada seorang lagi ‘pegawai’.
Bagaimanapun, pegawai kedua itu mula mendesak untuk mendapatkan butiran perbankan saya.
Nasib baik, saya teringat laporan berita yang dibaca beberapa hari sebelum itu mengenai penipuan serupa.
Saya terus menamatkan panggilan dan berasa amat lega kerana tidak menjadi mangsa.
Taktik sering berubah
Namun, tidak semua orang beruntung.
Baru-baru ini, polis mendedahkan sekurang-kurangnya 119 kes diterima setakat ini, melibatkan penipu yang menyamar sebagai kakitangan syarikat Harvey Norman.
Jumlah kerugian pula bukan sedikit – sudah mencecah $4.8 juta.
Dengan perkembangan teknologi, begitu mudah sekali, si penipu dapat kaup $4.8 juta, tanpa perlu merompak bank!
Cukup dengan pandai bermain kata-kata sehingga dapat mempengaruhi si mangsa.
Modus operandi penipuan penyamaran ini ternyata masih berleluasa walaupun kerap mendapat liputan media.
Ini memandangkan penipu semakin licik bertukar ‘skrip’ dan ‘identiti’ untuk mengelirukan awam.
Antara modus operandi yang pernah dilaporkan sebelum ini termasuk penipu menyamar sebagai pegawai pos (seperti SingPost) atau syarikat utiliti, dan mendakwa ada bungkusan tertahan atau tunggakan bil elektrik.
Mangsa diarahkan menekan pautan ‘phishing’ (atau pemancingan data) kononnya untuk membuat bayaran segera.
Sebelum ini, ada juga kes penyamaran rakan dengan penipu menelefon mangsa menggunakan nombor tidak dikenali dan meminta mangsa mengagak siapa mereka (”Cuba teka siapa ini?”).
Apabila mangsa menyebut sesuatu nama, penipu terus mengiyakannya sebelum meminjam wang atas alasan kecemasan.
Ada juga kes di mana penipu mendakwa mereka daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) atau syarikat telekomunikasi.
Ahli keluarga saya sendiri malah hampir terpedaya apabila menerima panggilan video daripada individu yang mengaku sebagai pegawai Penguasa Kewangan Singapura (MAS), mendakwa akaun beliau terbabit dalam pengubahan wang haram.
Si penipu malah berjaya menaikkan had pemindahan wang dalam akaun POSB anggota keluarga saya, sebelum saya dengan segera melaporkan kepada pihak bank menghentikan sebarang pemindahan wang.
Berbeza dengan pengalaman saya, anggota keluarga saya ini percaya beliau menerima panggilan daripada pegawai pemerintah memandangkan beliau mendapat panggilan video.
Wajah si penipu dapat dilihat dengan jelas.
Sesiapa pun mungkin tidak akan menyangka si penipu begitu berani menunjukkan wajah jika mereka terang-terangan ingin menipu.
Statistik polis menunjukkan kes penyamaran pegawai pemerintah sahaja telah mencatatkan kerugian melebihi $90.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama 2026.
Mengapa ramai yang masih terperangkap?
Jawapannya terletak pada taktik penipu yang mengeksploitasi rasa panik – khususnya ketakutan jika menyalahi undang-undang – serta kecenderungan umum meletakkan kepercayaan tinggi terhadap pegawai pemerintah dan pihak berkuasa.
Di sebalik pelbagai kempen berita dan amaran di media sosial, ramai masih beranggapan “benda ini tidak akan berlaku kepada saya” sehinggalah mereka sendiri berada di bawah tekanan pemanggil.
Justeru, untuk membina benteng pertahanan yang kukuh, pendekatan pendidikan awam perlu beranjak daripada sekadar maklumat umum kepada usaha masyarakat yang lebih terancang.
Pertingkat kesedaran awam
Bagi menyekat ruang gerak penipu, pihak berkuasa dan institusi kewangan sudah pun memperketat kawalan ekosistem secara agresif.
Sektor perbankan bersama MAS telah memperkenalkan tempoh bertenang (cooling period) 24 jam sebelum proses menaikkan had pemindahan wang dapat diluluskan, di samping memperkenalkan ciri ‘Money Lock’ bagi mengunci simpanan daripada sebarang pengeluaran dalam talian.
Pejabat Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) pula telah mengeluarkan kod amalan baharu bagi memperketat khidmat kiriman mesej dalam talian seperti WhatsApp dan Telegram – yang menyumbang sekitar 23 peratus daripada semua kes penipuan pada 2025.
Di bawah peraturan baharu ini, tujuh platform utama (termasuk WhatsApp, Telegram dan Google Messages) diwajibkan mendapatkan persetujuan pengguna sebelum membenarkan nombor yang tidak dikenali memasukkan mereka ke dalam kumpulan sembang.
Untuk menguji ketahanan awam secara realistik, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah melancarkan Latihan Simulasi Penipuan Nasional pada Februari.
Menerusi latihan inovatif ini, orang awam yang mendaftar akan menerima mesej dan panggilan ujian simulasi yang meniru taktik sebenar penipu.
Pengalaman langsung dalam persekitaran selamat ini mengajar masyarakat mengenal pasti ciri-ciri penipuan serta-merta apabila berdepan situasi sebenar.
Latihan yang telah diadakan antara 1 Mac hingga 31 Ogos lalu ini diharap dapat diteruskan bagi memastikan kesedaran awam seiring dengan modus operandi baru si penipu
Semua main peranan
Langkah teknikal dan penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak memadai tanpa pertahanan aktif daripada masyarakat sendiri.
Benteng terkuat bermula daripada rumah.
Ahli keluarga – terutamanya golongan muda – perlu membiasakan amalan berkongsi berita penipuan terkini dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
Peringatan mesra secara berterusan dapat membantu ibu bapa dan warga tua kekal tenang apabila menerima panggilan mencurigakan.
Warga emas merupakan antara kumpulan paling rentan dengan mereka yang berumur 65 tahun ke atas menyumbang sebanyak 14.4 peratus daripada keseluruhan mangsa penipuan di Singapura.
Purata kerugian mereka pula melebihi $42,000 setiap mangsa, menurut polis Ogos lalu.
Justeru, Kelab Masyarakat (CC) dan Jawatankuasa Penduduk (RC), selain masjid dan badan Melayu setempat boleh menganjurkan bengkel praktikal secara bersemuka bagi mengajar mereka cara memuat turun aplikasi ScamShield, serta mengaktifkan ciri keselamatan seperti ‘Money Lock’ pada akaun bank mereka.
Pihak polis telah berulang kali menegaskan bahawa pegawai pemerintah Singapura tidak akan sekali-kali meminta pemindahan wang, penyerahan barangan berharga, mendedahkan maklumat perbankan, mahupun menyambungkan panggilan terus ke balai polis.
Senjata terbaik kita dalam melawan penipuan penyamaran bukanlah teknologi semata-mata, melainkan kecekapan kita untuk berhenti sejenak, bertenang, dan saling mengingatkan sesama ahli keluarga serta masyarakat sebelum membuat sebarang keputusan.
Usah leka seminit, hangus wang beribu.
