Pemerintah akan mengambil pendirian lebih tegas terhadap rokok elektronik, atau vape, termasuk mengenakan hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual vape yang bercampur dengan bahan berbahaya.
Usaha Keseluruhan Pemerintah (WOG) tersebut akan diterajui oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Ia akan melibatkan usaha pendidikan awam besar merentas sekolah, dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi dan juga Anggota Perkhidmatan Negara.
Demikian antara pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) keduanya pada 17 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.
“Setakat ini kami menganggap vape seperti tembakau, paling berat kami mengenakan denda.
“Tetapi itu tidak lagi mencukupi. Kami akan menganggapnya sebagai isu dadah dan mengenakan hukuman lebih berat.
“Ini bermakna hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual vape dengan bahan berbahaya.
“Bagi mereka yang ketagih vape, kami akan menyediakan pengawasan dan pemulihan untuk membantu mereka berhenti,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata bahawa vape adalah antara kebimbangan serius di Singapura, terutamanya kerana kebanyakan vape dicampur dengan bahan yang menyebabkan ketagihan dan berbahaya seperti etomidate.
Etomidate ialah bahan yang digunakan sebagai agen anestetik atau ubat bius yang disuntik terus ke dalam urat di bawah pengawasan klinikal dan bukan disedut terus ke dalam paru-paru.
Penggunaan vape yang mengandungi etomidate boleh mencetuskan kekejangan, kesukaran bernafas, sawan dan psikosis.
Justeru, sebagai langkah sementara, MHA telah menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), menurut satu laporan pada 30 Julai.
“Kebanyakan vape ini dicampur dengan bahan menagihkan dan berbahaya seperti etomidate.
“Vape itu sendiri hanyalah alat penghantaran. Bahaya sebenar adalah apa yang ada di dalamnya.
“Sekarang, ia adalah etomidate. Pada masa hadapan, ia boleh menjadi lebih teruk, dadah yang lebih keras dan jauh lebih berbahaya,” kata Encik Wong.
Sementara itu, turut dilaporkan bahawa antara Januari 2024 dengan Mac 2025, hampir 18,000 individu ditangkap kerana memiliki dan menggunakan vape selepas pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan.
Dalam tempoh 15 bulan itu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan MOH telah merampas vape dan komponen lain bernilai lebih $41 juta.
Baru-baru ini pada 16 Ogos, lebih 280 vape telah dirampas pihak berkuasa dalam serbuan yang dilakukan di pusat hiburan malam di serata negara.
Lebih 640 individu diperiksa oleh pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF), HSA dan agensi lain, termasuk Biro Narkotik Pusat (CNB), dengan 115 orang berusia antara 17 dengan 61 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berhubung vape.
Dalam pada itu, Encik Wong menambah pemerintah akan meningkatkan penguatkuasaan di seluruh negara.
“Kami akan melancarkan usaha pendidikan awam besar, bermula di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL), dan juga semasa Perkhidmatan Negara.
“MHA dan MOH akan mengetuai usaha itu, tetapi ini akan menjadi usaha keseluruhan pemerintah yang kukuh,” katanya.
Menurut laporan sebelum ini, pada 2024, terdapat 2,000 kes pelajar memiliki atau menggunakan vape, meningkat daripada 800 kes pada 2022 dan 900 kes pada 2023, termasuk kes daripada IHL.
Dalam pada itu, para guru juga melaporkan lebih ramai pelajar menyorok masuk vape ke sekolah dan ia mudah disembunyikan di kawasan sekolah.
“
“Setakat ini kami menganggap vape seperti tembakau, paling berat kami mengenakan denda. Tetapi itu tidak lagi mencukupi. Kami akan menganggapnya sebagai isu dadah dan mengenakan hukuman lebih berat. Ini bermakna hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual vape dengan bahan berbahaya. Bagi mereka yang ketagih vape, kami akan menyediakan pengawasan dan pemulihan untuk membantu mereka berhenti.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg