Lebih 280 rokok elektronik, yang juga dikenali sebagai alat e-vaporiser atau vape, telah dirampas pihak berkuasa dalam serbuan yang dilakukan di pusat hiburan malam di serata negara pada dini hari 16 Ogos.
Lebih 640 individu diperiksa oleh pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan agensi lain, termasuk Biro Narkotik Pusat (CNB), dengan 115 orang berusia 17 hingga 61 tahun ditahan kerana disyaki atas kesalahan berhubung vape.
Ini termasuk lima orang yang ditahan kerana disyaki memiliki vape mengandungi etomidate – sejenis bahan terkawal – yang dikenali sebagai Kpod.
HSA berkata lapan pod atau isi vape yang disyaki mengandungi etomidate juga dirampas.
Semua individu yang ditahan telah dikenakan saman.
Jika alat rokok elektronik yang dirampas disyaki mengandungi bahan terkawal seperti etomidate, suspek boleh didakwa di bawah Akta Racun.
Di bawah akta tersebut, mereka yang disabit memiliki, mengimport atau menjual pod yang mengandungi bahan terkawal itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.
Serbuan itu dilakukan sehari selepas Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA berkata lebih 100 orang sedang disiasat atas kesalahan vape, berlatar tindakan penguatkuasaan yang dipertingkat ke atas pengguna Kpod.
Pada 16 Ogos, pihak media dijemput menyaksikan operasi serbuan di dua pusat hiburan malam dalam satu bangunan di Coleman Street, berdekatan North Bridge Road.
Pegawai CNB juga dilihat mengadakan siasatan, tetapi mereka tidak bercakap dengan media.
Kelab hiburan malam yang diserbu turut menawarkan enam bilik peribadi dan berada di tingkat empat bangunan tersebut.
Sewaktu pihak media tiba sekitar jam 2 pagi, sekurang-kurangnya 14 alat vape dan empat pod yang disyaki mengandungi etomidate telah dirampas.
Antara pod dirampas yang dilihat Berita Harian (BH) termasuk yang dilabel berperisa ‘Seasalt Lemon’, ‘Freeze Lychee’ dan ‘Mango Yoghurt’.
Dua individu ditahan, meskipun HSA menjelaskan tidak semua vape yang dirampas dimiliki mereka.
Sementara itu, di satu lagi kelab hiburan di tingkat dua bangunan sama, sembilan vape dirampas daripada lima suspek.
Pegawai HSA dilihat menyoal siasat mereka di lokasi kejadian.
Menurut HSA, peralatan itu dikenal pasti melalui bungkusan dan jenamanya dan akan dihantar ke makmal bagi ujian lanjut sekiranya disyaki mengandungi etomidate.
Serbuan pada 16 Ogos itu antara usaha berbilang agensi yang dijalankan untuk membendung kegiatan haram seperti penggunaan vape, kata Ketua Operasi daripada Divisyen Polis Pusat SPF, Superintenden Esther Koh, semasa bercakap kepada media.
“Pihak SPF akan bekerjasama dengan HSA serta agensi berkaitan untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama di premis hiburan awam di serata negara.
“Usaha ini akan diteruskan bagi membanteras kegiatan haram serta memperkukuh usaha HSA dalam membendung penggunaan rokok elektronik,” kata Superintenden Koh.
Dalam pada itu, HSA turut mengumumkan usaha mempamerkan papan tanda amaran secara jelas di pusat hiburan malam bagi mengingatkan pengunjung bahawa menggunakan vape dilarang di Singapura.
Papan tanda tersebut juga akan dilengkapi dengan kod QR yang menghubungkan pengguna ke portal laporan HSA yang membolehkan pengunjung dan kakitangan membuat aduan mengenai kesalahan berkaitan vape.
Selain itu, HSA berkata pusat hiburan malam digesa melarang individu yang didapati memiliki atau menggunakan vape daripada memasuki premis masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSA, Profesor Adjung (Dr) Raymond Chua, berkata kerjasama dengan rakan industri seperti Persatuan Perniagaan Hiburan Malam Singapura (SNBA) penting dalam memperkukuh usaha pencegahan di peringkat asas.
“Kerjasama ini merupakan sebahagian strategi HSA untuk membanteras kegiatan vape. Ia tidak mempunyai tempat dalam kehidupan seharian, termasuk dalam suasana hiburan malam Singapura.
“Semua premis hiburan malam wajib bekerjasama dengan kami untuk memastikan tempat mereka bebas daripada vape, serta melaporkan sebarang kegiatan haram kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada) menyifatkan peningkatan penyalahgunaan ‘vape’ dan produk yang dicampur dadah seperti Kpod sebagai satu yang “amat merisaukan”.
Produk-produk ini mungkin kelihatan tidak bahaya, tetapi mengandungi bahan bahaya seperti kanabinoid sintetik, kokain, dan dadah farmaseutikal seperti etomidate, yang bukan untuk kegunaan rekreasi.
Bahan itu boleh membahayakan kesihatan, termasuk kekejangan otot, perubahan corak pernafasan dan tekanan darah, sawan dan psikosis, serta menyebabkan ketagihan dan pergantungan fizikal, kata majlis tersebut.
Orang awam boleh melaporkan kesalahan berkaitan vape kepada Cawangan Peraturan Tembakau HSA di talian 6684-2036 atau 6684-2037, dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau secara dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.
Mereka yang memerlukan bantuan untuk berhenti menghisap vape boleh menyertai program I Quit anjuran Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dengan menghubungi QuitLine di talian 1800-438-2000.
Pihak berkuasa berkata individu yang secara sukarela mendapatkan sokongan untuk berhenti menggunakan vape tidak akan dikenakan hukuman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg