Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hukuman mati berkait dadah: Berat tapi perlu

May 19, 2024 | 5:30 AM
Di bawah undang-undang Singapura, mereka yang disabitkan kesalahan mengedar jumlah dadah yang besar – seperti 15 gram heroin tulen – boleh dijatuhi hukuman mati. Hukuman mati perlu dikekalkan kerana ada bukti jelas yang menunjukkan ia menjadi satu penghalang berkesan terhadap pengedar dadah.
Di bawah undang-undang Singapura, mereka yang disabitkan kesalahan mengedar jumlah dadah yang besar – seperti 15 gram heroin tulen – boleh dijatuhi hukuman mati. Hukuman mati perlu dikekalkan kerana ada bukti jelas yang menunjukkan ia menjadi satu penghalang berkesan terhadap pengedar dadah. - Foto CNB

Teringat pada satu masa dahulu semasa membuat liputan satu perbicaraan mahkamah berkait kes pengedaran dadah, hakim membacakan keputusan perbicaraan – hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dadah yang disabit kesalahannya.

Suasana di mahkamah senyap, hening sekali. Beberapa detik kemudian terdengar suara teresak-esak seseorang sedang menangis yang memecah keheningan itu. Keadaan begitu hiba.

Saya sendiri begitu terasa keheningan ‘luar biasa’ itu – sesuatu yang belum pernah saya rasakan sebelumnya.

Tambahan, ketika itu terasa juga betapa ‘beratnya’ hukuman gantung sampai mati. Terus terang, ia agak menakutkan juga apabila hukuman gantung itu dibacakan.

Namun hukuman itu, walaupun berat dan tegas, adalah perlu demi melindungi Singapura daripada ancaman besar najis dadah.

Seperti kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, di Parlimen baru-baru ini bahawa Singapura perlu dan terpaksa memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Jika negara ini tidak menentang dadah secara bersungguh-sungguh atau kalah dalam memeranginya, akibatnya amat serius dengan ribuan orang akan menderita, ujarnya.

Bahkan, jika tidak ada hukuman mati, kemungkinan besar berlaku lebih banyak kes dadah di sini yang lebih memudaratkan lebih ramai warga.

“Dan akan berlaku lebih banyak rompakan, pecah rumah dan sebagainya kerana penagih dadah memerlukan wang untuk membeli dadah. Terdapat juga lebih banyak serangan seksual, pembunuhan. Dan pasti lebih ramai orang akan mati di Singapura. Sebab itu kita mengambil pendekatan tegas,” ujarnya.

Pendekatan tegas itu telah menyelamatkan ribuan nyawa.

Keadaan di luar negara

Berhampiran Singapura, di kawasan Segi Tiga Emas – kawasan sempadan antara Myanmar, Thailand dan Laos – merupakan wilayah pengeluar dadah utama. Dilaporkan pada 2022 sebanyak 151 tan dadah Meth (methamphetamine) dirampas di wilayah itu.

Negara jiran Malaysia menyaksikan rampasan ganja melonjak daripada 3,700 kilogram pada 2021 kepada 6,200 kilogram pada 2022.

Malaysia juga masih mengenakan hukuman mati berkaitan dadah dengan kes terbaru pada 9 Mei 2024 membabitkan empat penduduk Johor dikenakan hukuman mati selepas mereka didapati salah mengedar 34,282.3 gram dadah ketika melakukan perjalanan di Sandakan, Sabah, pada Jun 2020.

Di Thailand, perdana menterinya, Encik Srettha Thavisin, mahu menarik balik kebenaran penggunaan ganja sebagai kegiatan riadah, hanya dua tahun selepas menjadi salah sebuah negara pertama di Asia yang tidak mengharamkan penggunaannya.

“Dadah adalah masalah yang memusnahkan masa depan negara, ramai anak muda ketagih... Masalah dadah adalah keutamaan kerajaan kerana ia memusnahkan masa depan negara dan semua orang mesti bekerjasama untuk membanterasnya,” kata beliau.

Di sebilangan negara di benua Eropah, keadaannya serius dengan negara-negara itu menjadi ‘hab dadah’ dan ‘tempat selamat’ menjalankan kegiatan narkotik. Dilaporkan separuh daripada semua pembunuhan dan lebih satu perempat daripada rampasan senjata api haram dikaitkan dengan pengedaran dadah di Eropah.

Di benua Amerika Selatan, yang mempunyai 21 negara, dilaporkan sebanyak 18 negara menjadi sumber utama atau negara pertukaran untuk kokain.

Singapura tidak mampu berada dalam keadaan sedemikian, kerana ini bukan hanya menjejas warga, bahkan ekonominya yang amat bergantung kepada eksport dan imej negara ini sebagai hab utama perniagaan.

Oleh itu, hukuman mati perlu dikekalkan kerana ada bukti jelas yang menunjukkan ia menjadi satu penghalang berkesan terhadap pengedar dadah.

Di bawah undang-undang Singapura, mereka yang disabitkan kesalahan mengedar jumlah dadah yang besar – seperti 15 gram heroin tulen – boleh dijatuhi hukuman mati.

Berat tapi perlu

Natijahnya, kita perlu perangi dadah secara tegas untuk mengelak kesan buruk lebih serius seperti penyalahgunaan dadah yang berleluasa dalam kalangan penduduk, yang akan menjejas bukan hanya kehidupan individu penagih dan pengedar, bahkan keluarga mereka, masyarakat dan negara.

Malah, masalah dadah yang serius dan tidak dapat dikawal akan menjejas keselamatan dan kegiatan ekonomi negara, yang tidak akan membantu Singapura dalam terus menjadi hab perniagaan dan tempat pelaburan idaman antarabangsa.

Kita tidak mampu ‘termakan’ kata-kata atau pujukan untuk membasmi hukuman gantung ini atas alasan kemanusiaan semata.

Ini kerana kesalahan penyalahgunaan dadah itu sendiri merobek kemaslahatan kemanusiaan dari segi skala lebih besar, malah jauh lebih besar daripada kepentingan individu penyalah guna dadah itu.

Justeru, amat teruja untuk mendapat tahu bahawa satu hasil tinjauan menunjukkan semakin ramai warga Singapura menyokong hukuman gantung ke atas kes pengedaran dadah berat.

Pendek kata, kita tidak mampu bertolak ansur terhadap mereka atau kegiatan yang memusnahkan nyawa orang lain kerana wang, dengan mengedar dadah.

Memang mendengar hukuman mati dijatuhkan di mahkamah atas kesalahan mengedar dadah adalah berat dan agak menakutkan. Namun hukuman tegas itu amat perlu demi memastikan bahaya najis dadah tidak berleluasa sehingga menyebabkan ramai warga yang maut atau terjejas teruk akibat dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg