Kementerian Pendidikan (MOE) memandang serius segala bentuk tingkah laku yang menyakitkan perasaan orang lain dan sedang mangsa menerima sokongan yang diperlukan, hukuman yang dijatuhkan ke atas si pelaku perlu jalan seiring dengan pemulihan.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata demikian dalam sidang Parlimen pada 14 Oktober untuk menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) berhubung cara sekolah menangani kes pembulian dan langkah yang diambil bagi mencegah kes tersebut, menyusuli kes pembulian yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Encik Chan, penting bagi pendekatan yang diambil mempertimbang secara teliti, kesejahteraan dan reformasi bukan sahaja mangsa, tetapi juga pelaku.
Tidak kira mangsa buli atau pembuli, guru dan kaunselor sekolah perlu memberi sokongan emosi bagi membantu pelajar menangani keadaan dan memperbaiki hubungan, katanya.
Pelajar yang terus berdepan dengan tekanan akan dirujuk kepada sumber masyarakat bagi sokongan lebih khusus.
“Objektif usaha berbentuk pendidikan dan pemulihan adalah untuk membantu pelajar belajar daripada kesilapan mereka.
“Usaha ini diambil untuk mengubah pembuli, daripada sekadar mengeluarkan atau menggantung mereka daripada sekolah.
“Apabila hubungan terjejas disebabkan konflik atau salah laku, sekolah dan institusi mengambil langkah untuk mendidik disiplin dan memulihkan hubungan dalam masyarakat sekolah, dan usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama ibu bapa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Encik Chan berkata dalam mengambil tindakan disiplin, sekolah boleh menahan pelajar di sekolah atau menggantung mereka daripada menghadiri kelas, dengan hukuman rotan merupakan cara terakhir bagi pelajar lelaki.
Bagi kes buli yang teruk, laporan polis akan dibuat dan pelaku akan dihukum berdasarkan undang-undang.
Encik Chan turut mengingatkan pelajar agar tidak merakam dan menyebarkan video pembulian dalam talian apabila menyaksikan perkara tersebut berlaku demi mengelak daripada menyakiti lanjut pihak yang terbabit.
“Apabila video menjadi tular, semua orang perlu mengambil berat terhadap tindak balas yang diberi.
“Menyebarkan bahan tersebut, cuba mengongsi maklumat peribadi pelaku pelajar dalam talian atau menyeru agar mereka dipinggirkan, semakin mengasingkan mereka, mendorong mereka untuk berlaku ekstrem dan menjadikan ia lebih sukar untuk memperbetulkan cara mereka.
“Pelaku buli selalunya perlu bantuan untuk berubah ke arah kebaikan.
“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu berhati-hati agar tidak membiasakan tingkah laku sebegitu dengan tidak sengaja,” katanya.
Beliau selanjutnya menekankan keperluan agar masyarakat mengelak daripada tindakan yang mungkin menghalang atau menafikan peluang kepada pelaku untuk mencapai pemulihan, misalnya tingkah laku media sosial yang tidak produktif.
Seiring itu, beliau menyeru semua agar tidak menggalakkan perbuatan meniru dan percubaan untuk mengejar tahap ‘viral’ yang lebih luas berbanding video pembulian sebelumnya (outviral).
Bimbingan dan kerjasama ibu bapa juga penting dalam membentuk perwatakan anak, kata Encik Chan.
Jika si anak menjadi mangsa buli, ibu bapa digesa agar kekal tenang dan memberikan sokongan emosi, memperkukuh nilai pro-sosial dan kemahiran menangani masalah.
Begitu juga apabila si anak telah membuli orang lain, ibu bapa boleh membimbing anak mereka untuk belajar daripada kesilapan mereka, meminta maaf seikhlas hati dan memperbetulkan keadaan.
Menjawab pertanyaan tentang trend pembulian pula, Encik Chan berkata sejak lima tahun lalu (2019), jumlah purata kes pembulian telah kekal stabil.
Bagi setiap 1,000 pelajar, terdapat dua kejadian secara purata dalam sekolah rendah dan enam kejadian dalam sekolah menengah dalam setahun bagi sebarang bentuk pembulian, kedua-dua di dalam dan di luar sekolah.
Daripada ini, kejadian yang melibatkan penggunaan teknologi secara purata adalah satu dalam 1,000 pelajar sekolah menengah dan lebih rendah dalam sekolah rendah setiap tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg