Undang-undang lebih ketat untuk mengawal penggunaan kad SIM boleh menyebabkan pelanggan dipenjarakan sehingga tiga tahun jika kad tersebut digunakan dalam kes jenayah.
Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 30 Disember mengatakan bahawa undang-undang baru di bawah Akta Penguatkuasaan Undang-undang dan Perkara-Perkara Lain akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Pelanggan yang memberikan kad SIM yang didaftarkan atas nama mereka perlu mengambil langkah wajar untuk mengetahui identiti dan lokasi penerima kad SIM atau tujuan penerima mendapatkannya.
Di bawah undang-undang baru itu, pelanggan akan didapati bertanggungjawab jika mereka mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa kad SIM akan digunakan untuk melakukan atau memudahkan jenayah.
Pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.
MHA berkongsi bahawa sindiket jenayah telah beralih kepada kad SIM tempatan untuk mengelak daripada langkah-langkah yang telah diperkenalkan pada 2022 untuk menyekat penipuan panggilan telefon luar negara dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mereka juga memaklumkan bahawa bilangan talian mudah alih tempatan yang terlibat dalam penipuan dan jenayah siber lain telah meningkat empat kali ganda dari 2021 hingga 2023.
MHA berkata terdapat kesukaran mendakwa mereka yang didapati memindahkan atau memiliki kad SIM setempat tanpa sebab yang sah sebelum ini.
Namun, di bawah undang-undang baru itu, orang tengah dan penipu kini boleh dikenakan hukuman.
Ia akan menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk menerima, membekal atau memiliki kad SIM tempatan yang tidak didaftarkan atau yang didaftarkan menggunakan maklumat orang lain, sekiranya mereka berniat untuk menggunakan kad tersebut bagi melakukan atau memudahkan jenayah, atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa kad tersebut akan digunakan untuk tujuan tersebut.
Pendakwa tidak perlu membuktikan tertuduh mempunyai niat jika kad SIM digunakan dalam jenayah, atau terdapat lebih daripada 11 kad terbabit.
Pesalah kali pertama boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda sehingga $20,000 atau kedua-duanya sekali.
Peruncit degil yang memudahkan pendaftaran penipuan kad SIM tempatan juga boleh dihukum.
“Pada masa ini, penyedia perkhidmatan telefon mudah alih boleh didapati melanggar kewajipan peraturan mereka jika mereka atau peruncit yang mereka lantik memudahkan pendaftaran penipuan.
“Akta ini memperkenalkan kesalahan jenayah terhadap peruncit degil, untuk meningkatkan pencegahan terhadap tingkah laku tersebut,” ujar MHA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg