Topik diikuti
Pergi ke BHkuHukuman penjara, pemulihan disaran bagi pesalah muda terlibat penipuan
Rang Undang-Undang dibentangkan, perkukuh pendirian pencegahan pemerintah terhadap kesalahan penipuan
Hukuman penjara, pemulihan disaran bagi pesalah muda terlibat penipuan
Golongan muda yang menjadi keldai penipuan mungkin berdepan hukuman penjara atau Latihan Reformatif (RT) sebagai hukuman sedia ada, dan bukan probesen, di bawah usulan undang-undang baharu.
Langkah itu bertujuan memperkukuh pendirian pencegahan pemerintah terhadap kesalahan sedemikian, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Pada 3 November, Rang Undang-Undang Hukuman (Penipuan) dibentangkan di Parlimen menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang memihak kepada pilihan pemulihan bagi pesalah penipuan muda.
Mahkamah Tinggi pada September membenarkan rayuan empat pesalah penipuan muda yang sebelum ini dikenakan perintah RT, dan sebaliknya memerintahkan mereka menjalani probesen antara setahun dengan 18 bulan.
Kesemua empat pesalah itu melakukan kesalahan berkenaan semasa berusia di bawah 21 tahun.
Probesen membolehkan pesalah menjalani hukuman mereka dalam masyarakat di bawah syarat-syarat tertentu seperti perintah berkurung dan pengawasan tanpa menanggung rekod jenayah.
Sebaliknya, mereka yang dijatuhi hukuman RT akan ditahan di pusat tahanan untuk menjalani rejimen ketat, termasuk kawad kaki dan kaunseling, selain meninggalkan rekod jenayah.
Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan pihak pendakwa terhadap seorang keldai penipuan berusia 17 tahun yang dijatuhi perintah penahanan singkat dan khidmat masyarakat dan bukannya RT.
Keputusan panel tiga hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Ang Cheng Hock dan Hakim Hoo Sheau Peng menetapkan bahawa hukuman RT atau penjara tidak seharusnya menjadi hukuman sedia ada bagi keldai penipuan muda.
Berikutan keputusan itu yang disifatkan tidak selari dengan pendirian pencegahan Parlimen terhadap jenayah penipuan, Rang Undang-Undang Hukuman (Penipuan) dibentangkan pada 3 November.
MHA menegaskan bahawa usulan undang-undang itu menegaskan semula hasrat Parlimen agar individu berusia 21 tahun ke bawah yang melakukan jenayah penipuan berdepan RT atau hukuman penjara sebagai pilihan utama atau sedia ada, melainkan terdapat keadaan luar biasa.
“Jika pendekatan pencegahan tidak diambil, keadaan jenayah penipuan dan pesalah belia di Singapura boleh merosot,” kata MHA.
Dalam perkembangan sama, rayuan dua lagi pesalah yang dibicarakan sebagai orang dewasa ditolak mahkamah.
Salah seorang daripada mereka berusia antara 20 dengan 22 tahun semasa menyerahkan akaun banknya dan melakukan penipuan, dengan hukuman penjara 14 minggu dikekalkan.
Pesalah kedua pula berusia 27 tahun semasa melakukan tiga kesalahan berkaitan penipuan; hukuman penjara tujuh bulan dua minggu serta denda $500 ke atasnya dikekalkan.
Keputusan terhadap tujuh kes berkenaan adalah muktamad dan tidak akan terjejas oleh usulan undang-undang itu.
Mangsa penipuan di Singapura kehilangan lebih $4 bilion sejak 2019, dengan $913.1 juta lesap di tangan penipu pada 2025 manakala rekod kerugian tertinggi $1.1 bilion dicatatkan pada 2024.
MHA mendedahkan penipuan kekal sebagai jenayah paling berleluasa di Singapura, dengan pihak polis menerima sekitar 90 laporan membabitkan kerugian harian kira-kira $2 juta pada separuh pertama 2026.
Pada 2025, pihak polis menyiasat lebih 1,000 belia berkaitan laporan penipuan.
Jumlah anak muda yang melakukan kesalahan menipu dan jenayah berkaitan melonjak 37 peratus, daripada 814 pada 2024 kepada 1,114 pada 2025, dengan kebanyakannya berperanan sebagai keldai penipuan.
“Kita perlu bertindak lebih tegas untuk menghalang pesalah muda daripada terpedaya dengan ganjaran kewangan pantas untuk melakukan jenayah ini,” tambah MHA.
Sejak 2023, Parlimen meluluskan lima Rang Undang-Undang bagi membendung kegiatan penipuan dan jenayah berkaitan.
Langkah ini termasuk Rang Undang-Undang Rasuah, Pemerdagangan Dadah dan Jenayah Berat Lain (Perlucuthakan Faedah) (Pindaan) yang memperkenalkan kesalahan baharu bagi membanteras keldai wang.
Bagi memudahkan pendakwaan terhadap individu yang menjual akaun Singpass mereka kepada sindiket, Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Komputer (Pindaan) diluluskan pada Mei 2023.
Parlimen turut meluluskan Rang Undang-Undang Penguatkuasaan Undang-Undang dan Perkara Lain pada April 2024 bagi menangani penyalahgunaan kad SIM.
Pada November 2025, Rang Undang-Undang Undang-Undang Jenayah (Pindaan Pelbagai) diluluskan untuk mengenakan hukuman sebat ke atas penipu serta anggota dan perekrut sindiket penipuan.
Rang Undang-Undang Penipuan (Langkah Pencegahan) dan Perkara Lain diluluskan pada September 2026 untuk menangani salah guna akaun dalam talian.
Sebelum ini, Parlimen pernah meluluskan pindaan undang-undang ekoran keputusan mahkamah yang tidak selari dengan dasar pemerintah.
Contohnya dalam kes City Harvest Church pada 2018, Mahkamah Rayuan memutuskan peruntukan pecah amanah yang lebih berat hanya terpakai kepada ejen profesional.
Pada 2019, Parlimen meminda Kanun Kesiksaan bagi memperluas peruntukan berkenaan kepada sesiapa sahaja yang diamanahkan harta sekiranya keadaan mewajarkan hukuman lebih berat.
Bagi mencerminkan hasrat Parlimen, MHA bekerjasama dengan Panel Penasihat Penghukuman, yang dianggotai wakil Kementerian Undang-Undang dan badan kehakiman, bagi menggariskan panduan jelas penghukuman.
Menurut panduan itu, pemenjaraan atau RT harus dipertimbangkan bagi semua pesalah termasuk mereka di bawah 21 tahun, kecuali pesalah yang dibicarakan di Mahkamah Belia.
MHA menambah undang-undang baharu ini akan terpakai bagi hukuman ke atas kesalahan penipuan yang dilakukan sebelum, pada atau selepas tarikh akta tersebut berkuat kuasa.
Penipuan bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah ada mangsa yang bertindak membunuh diri.
Pihak polis sebelum ini berkongsi kisah seorang lelaki yang kehilangan wang simpanan seumur hidup akibat penipuan sokongan teknikal sebelum ditemui mati mencederakan diri sendiri.
Pada 2021, seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa polis turut membunuh diri selepas ditipu sebanyak $10,000
MHA menyatakan: “Penipuan mendatangkan kemudaratan serius kepada mangsa dan mesti ditangani dengan mesej pencegahan yang tegas. Rang Undang-undang ini mengukuhkan mesej bahawa penipu serta pihak yang memudahkan penipuan wajar dikenakan hukuman yang bersifat mencegah.”