Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan mempertimbangkan hukuman rotan bagi kesalahan berkaitan penipuan tertentu dan bersetuju bahawa hukuman keras dan pencegahan terhadap mereka yang memudahkan penipuan adalah perlu, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Beliau turut mengakui bahaya serius yang timbul daripada kesalahan berkaitan penipuan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Parlimen pada 4 Mac.
Menjawab soalan diutarakan Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) yang bertanya sama ada hukuman bagi kesalahan berkaitan penipuan masih terlalu ringan dan jika hukuman rotan patut digubal bagi kesalahan berat, Cik Sun berkata:
“Saya bersetuju dengan Dr Tan bahawa kita memerlukan hukuman keras dan menghalang mereka yang memudahkan penipuan.
“Panel Penasihat Hukuman (SAP) baru-baru ini telah mencadangkan tempoh penjara yang ketara untuk kesalahan yang memudahkan penipuan.
“Dalam kes-kes yang telah didakwa berkaitan penipuan sejak garis panduan SAP diterbitkan, mahkamah secara umum telah mengenakan hukuman penjara kepada pesalah, termasuk dalam satu kes, hukuman 19 bulan penjara.
“Namun, kami akan mempertimbangkan cadangan Dr Tan untuk menetapkan hukuman rotan bagi kesalahan berkaitan penipuan tertentu, dengan mengakui bahaya serius yang timbul daripada perbuatan itu (penipuan).”
Jumlah kerugian akibat penipuan secara keseluruhan mencapai rekod tertinggi sebanyak $1.1 bilion pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus berbanding 2023.
Selain itu, Cik Sun juga berkata MHA sedang bekerjasama dengan bank untuk mengukuhkan langkah pencegahan penipuan mereka.
Langkah-langkah itu termasuk meningkatkan kaedah pengesahan bank untuk melindungi akaun daripada penipuan pancingan data dan perisian hasad, memperkenalkan tempoh penilaian untuk transaksi berisiko tinggi dan menambah baik analisis penipuan.
“Tempoh penilaian ini memberikan peluang kepada individu mengambil masa berehat secara kognitif dan memberi mereka kesempatan menilai semula tindakan mereka.
“Ia juga memberi pihak berkuasa lebih banyak masa untuk mengesan jika ada sesuatu yang mencurigakan berlaku dan menghentikan sebarang transaksi penipuan.
“Langkah-langkah ini mencerminkan peranan penting oleh bank dalam perjuangan kita menentang penipuan.
“Dalam banyak kes, bank adalah garis pertahanan terakhir sebelum wang hilang kepada penipu,” kongsi beliau.
Beliau menambah bahawa dalam sesetengah kes, mangsa begitu yakin dengan penipu sehingga mereka enggan mempercayai bahawa mereka sedang ditipu, walaupun telah dinasihati berulang kali oleh ahli keluarga dan pihak polis.
“Apabila mereka akhirnya sedar, seringkali sudah terlambat,” ujar Cik Sun.
Oleh itu, MHA memperkenalkan Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Penipuan pada Januari, untuk memperkasakan Pasukan Polis Singapura (SPF) menyekat urus niaga perbankan individu yang mungkin ditipu tetapi enggan mempercayainya, dengan sementara.
Untuk melindungi diri dan mendidik orang ramai dengan lebih baik menangani penipuan, Cik Sun menggalakkan orang ramai supaya menggunakan Scamshield Suite, yang terdiri daripada aplikasi ScamShield, talian bantuan, laman web serta saluran amaran melalui WhatsApp dan Telegram.
Jumlah penipuan yang dilaporkan di Telegram meningkat hampir seganda pada 2024.
Cik Sun menambah: “Kami menggesa Telegram supaya mengambil serius keselamatan penggunanya dalam talian, dan mengamalkan langkah pengesahan pengguna yang lebih kukuh untuk menghalang penipu daripada mencipta akaun penipuan.”
MHA mungkin menggunakan undang-undang untuk memastikan Telegram mematuhinya, kata Cik Sun.
Beliau turut berkongsi bahawa penipu telah mula meminta mangsa menukar wang mereka kepada mata wang kripto sebelum melakukan pemindahan, untuk mengelak daripada perlindungan keselamatan yang disediakan pihak bank.
“Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah berulang kali memberi amaran kepada pelabur runcit supaya tidak melabur dalam mata wang kripto, dan saya ingin mengulang rayuan ini hari ini.
“Saya tahu ada sesetengah pihak yang tertarik kerana mereka fikir kripto adalah peluang untuk membuat duit dengan cepat.
“Namun, warga Singapura yang saya hormati, individu yang berpengetahuan tentang kripto juga mengalami kerugian apabila mereka berdagang dalam kripto ketika nilainya merudum atau apabila mereka terpedaya dengan penipuan,” kata Cik Sun.
Justeru, Cik Sun menasihati agar orang ramai menjauhkan diri daripada mata wang kripto kerana risiko mengalami kerugian adalah tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg