Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa penipuan di S’pura rugi $1.1b pada 2024

Feb 25, 2025 | 6:53 PM
Jumlah kerugian keseluruhan berpunca daripada pelbagai taktik penipuan ini adalah sekitar 70 peratus lebih tinggi daripada $651.8 juta yang direkodkan pada 2023.
Jumlah kerugian keseluruhan berpunca daripada pelbagai taktik penipuan ini adalah sekitar 70 peratus lebih tinggi daripada $651.8 juta yang direkodkan pada 2023. - Foto ST

Mangsa penipuan di Singapura kehilangan $1.1 bilion pada 2024, jumlah kerugian tertinggi yang dicatat dalam setahun.

Jumlah kerugian keseluruhan berpunca daripada pelbagai taktik penipuan ini adalah sekitar 70 peratus lebih tinggi daripada $651.8 juta yang direkodkan pada 2023, menurut polis dalam laporan tahunan penipuan yang dikeluarkan pada 25 Februari.

Secara keseluruhan, mangsa di Singapura telah mengalami kerugian melebihi $3.4 bilion akibat penipuan sejak 2019, lapor The Straits Times (ST).

Polis merekodkan sebanyak 51,501 kes pada 2024 – jumlah kes penipuan tertinggi setakat ini, berbanding 46,563 kes pada 2023.

Lebih 70 peratus daripada kes ini melibatkan kerugian kurang daripada $5,000 setiap satu, dengan kerugian median bagi setiap kes adalah sekitar $1,300.

Penipuan e-dagang adalah taktik utama yang digunakan pada 2024, dengan 11,665 kes dilaporkan serta jumlah kerugian keseluruhan sekurang-kurangnya $17.5 juta.

Polis menyatakan bahawa penipuan tiket konsert menyumbang kepada sebahagian besar kes penipuan e-dagang, di mana mangsa ditipu untuk membayar tiket yang kemudian tidak diterima atau didapati palsu.

Penipuan pekerjaan kekal sebagai salah satu penipuan utama pada 2024, walaupun terdapat penurunan dalam bilangan kes yang dilaporkan. Secara keseluruhan, lebih 9,000 kes dilaporkan dengan kerugian sebanyak $156.2 juta.

Penipuan pancingan data (phishing) menduduki tempat ketiga dalam penipuan utama pada 2024. Ia mencatatkan kerugian sebanyak $59.4 juta, lebih empat kali ganda berbanding 2023.

Laporan tahunan polis menunjukkan bahawa lebih 70 peratus mangsa penipuan terdiri daripada individu berusia di bawah 50 tahun.

Golongan dewasa muda dan mereka yang berusia bawah 50 tahun kebanyakannya terpedaya dengan penipuan e-dagang, manakala golongan berusia 50 hingga 64 tahun dan warga emas kebanyakannya rugi akibat penipuan pancingan data.

Kerugian wang kripto menyumbang sekitar 24.3 peratus daripada jumlah kerugian penipuan keseluruhan pada 2024, berbanding sekitar 6.8 peratus pada 2023.

Polis berkata jumlah kerugian keseluruhan pada 2024 didorong oleh “(jumlah) kes kecil yang mempunyai (nilai) kerugian yang sangat tinggi”, dengan empat kes sahaja mencatatkan kerugian sebanyak $237.9 juta.

Lonjakan laporan mengenai mangsa yang secara sukarela menyerahkan wang mereka kepada penipu mendorong kepada penggubalan Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Penipuan yang diluluskan Parlimen pada 7 Januari.

Ia, antara lain, memberi kuasa lebih luas kepada polis untuk melindungi mangsa penipuan, walaupun mereka tidak percaya mereka menjadi sasaran.

Undang-undang ini memberikan kuasa kepada polis untuk menyekat individu daripada memindahkan wang keluar dari akaun bank mereka, jika terdapat sebab untuk mempercayai mereka berkemungkinan akan membuat pemindahan kepada penipu.

Dengan mengenakan sekatan tersebut, pihak berkuasa memperoleh lebih banyak masa untuk meyakinkan bakal mangsa bahawa mereka sedang ditipu.

Semak sebelum bertindak:

  1. Hubungi talian bantuan 24 jam anti-penipuan ScamShield: 1799
  2. Gunakan ciri sembang langsung (livechat) di: www.scamshield.gov.sg
  3. Muat turun aplikasi ScamShield
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg