Pertubuhan kemanusiaan serantau yang berpangkalan di Singapura, Humanity Matters, akan memberi bantuan lanjut kepada mangsa banjir di Nepal dalam usahanya menyokong peralihan daripada fasa bantuan kepada fasa pemulihan.

Ini termasuk menyediakan tempat perlindungan buat kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka, sebelum musim sejuk bermula pada Disember.

Ia telah memulakan usaha mengumpul dana untuk menyokong projek pemulihan itu, yang turut merangkumi penyediaan air minuman dan bekalan rumah bagi masyarakat yang terjejas.

Demikian dikongsi pengerusi Humanity Matters, Encik Ong Keng Yong, semasa perhimpunan yang melibatkan sekitar 100 pihak berkepentingan pertubuhan itu di Galeri Harmony in Diversity di Bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Maxwell Road, pada 19 September.

Di acara ‘An Insight on Nepal Avalanche-Floods’ itu, hadirin, yang datang daripada sektor antara agama, swasta, masyarakat dan awam bersama-sama bertafakur buat mangsa yang terselamat serta mereka yang kehilangan insan tersayang dalam bencana pada 26 Ogos itu.

Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.

Dalam ucapannya, Encik Ong berkata Humanity Matters kini sedang membuat persiapan untuk menyalurkan bantuan lanjut bagi menyokong peralihan daripada fasa bantuan kecemasan kepada pemulihan bagi penduduk yang terjejas.

“Fokus bantuan adalah terhadap keperluan air minuman dan tempat tinggal bagi masyarakat yang terjejas, serta penyediaan tempat perlindungan buat kanak-kanak, khususnya mereka yang kehilangan ibu bapa atau penjaga, sebelum musim sejuk Himalaya bermula pada Disember.

“Seiring dengan usaha itu, Humanity Matters telah memulakan kutipan dana untuk menyokong projek pemulihan yang telah dikenal pasti itu,” tambahnya.

Menurut penasihat khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, keutamaan pertubuhan itu kini adalah untuk segera membina struktur tambahan kepada rumah anak yatim Humanity Matters, yang dibina pada 2015 selepas gempa bumi di Nepal.

“Kami mahu segera mula menempatkan semula anak-anak yatim daripada kawasan yang terjejas teruk,” katanya.

Encik Hassan mengetuai pasukan respons Humanity Matters yang menjalankan pengerahan 10 hari di Nepal sejak hari ketiga bencana itu melanda.

Pasukan itu berada di sana untuk membantu Agensi Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal (NDRRMA) dalam fasa kecemasan akut. Pasukan itu pulang ke tanah air pada 7 September.

Sementara itu, Humanity Matters telah memulakan kempen kutipan dana awam selama 48 hari pada 14 September untuk membantu mangsa di Nepal.

Ia menyasarkan jumlah $300,000 dan telah mengumpul $82,000 sejauh ini.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui kaedah berikut:

– PayNow kepada nombor UEN 201920766R

– Pemindahan Bank ke akaun DBS 027-9083-727

– Kirimkan cek kepada Humanity Matters Limited ke alamat 51 Geylang Lorong 17, #02-01, Singapura 388571

Humanity Matters turut menyediakan dua peluang kesukarelawanan buat penduduk Singapura untuk menggerakkan semangat prihatin bersama dan semangat kemasyarakatan serantau.

Pada 27 September, 200 sukarelawan diperlukan untuk membawa tabung derma dan mengagihkan pelekat “One Nation, One Humanity”.

Pada 4 Oktober pula, 100 sukarelawan diperlukan untuk mengasingkan dan membungkus barangan bantuan.