Topik diikuti
Pergi ke BHkuHumanity Matters bekal air bersih buat mangsa banjir Nepal
Pertubuhan kemanusiaan serantau yang berpangkalan di Singapura, Humanity Matters (HM), kini berada di Nepal untuk menyediakan air bersih bagi mangsa terjejas di sana.
Selain itu, pertubuhan itu turut menyediakan keperluan keselamatan kesihatan untuk kakitangan perkhidmatan barisan hadapan.
Demikian dikongsi Humanity Matters menerusi Facebooknya pada 31 Ogos.
Pasukan seramai empat orang itu tiba di Nepal pada 29 Ogos dan terus menuju ke perbandaran Nuwakot yang terjejas teruk.
Kawasan tersebut juga merupakan pangkalan pelancaran bagi operasi tindak balas.
Pasukan itu telah bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Nepal, Encik Sudan Gurung – yang secara peribadi dan aktif memantau pengurusan bencana negara, kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, pertemuan tersebut bertujuan untuk memahami secara langsung tumpuan, cabaran, kebimbangan, serta keperluan berkaitan operasi tindak balas banjir yang sedang berjalan.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), penasihat khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, berkata bahawa atas permintaan Kementerian Dalam Negeri di sana, Humanity Matters telah mendirikan pusat rawatan air di daerah Nuwakot yang terjejas teruk.
Ia bertujuan untuk menyediakan air minuman yang selamat untuk masyarakat terjejas, termasuk petugas barisan hadapan.
“Walaupun sumber air banyak, kebanyakan daripadanya telah dicemari lumpur dan sedimen akibat kejadian tanah runtuh yang berterusan di bahagian hulu,” katanya.
Encik Hassan menambah bahawa pihaknya juga telah memperoleh dan membekalkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) serta pelitup muka N95 untuk petugas barisan hadapan di rumah mayat dan pusat pemindahan perubatan.
“Selain itu, pihak Humanity Matters turut menyediakan pakaian perlindungan industri dan alat pernafasan (respirator) bagi petugas barisan hadapan yang ditugaskan membersihkan kawasan musnah dan mengeluarkan mayat daripada runtuhan.
“Alat pernafasan berprestasi tinggi tersebut dapat melindungi petugas daripada bahaya biologi dan bau busuk mayat yang mereput,” ujar beliau.
Menurut Encik Hassan, pasukannya pula akan menghantar beg mayat untuk membolehkan pengurusan mayat yang dikeluarkan dijalankan dengan selamat dan terhormat.
Berkongsi mengenai perkembangan di sana, Humanity Matters turut berkata dalam Facebooknya bahawa skala kemusnahan fizikal adalah sangat besar, dengan timbunan batu besar yang panjang, dan struktur berbilang tingkat tertimbus oleh lumpur.
“Lebih banyak mayat (yang telah reput) ditemukan setiap hari apabila petugas tanpa henti terus membersihkan laluan daripada serpihan rosak akibat tsunami tanah runtuh,” kongsi pertubuhan itu.
Ia menambah bahawa kawasan terjejas masih belum dapat diakses oleh pasukan tindak balas kerana lebih 20 jambatan telah dihanyutkan.
Hampir 4,500 orang dilaporkan masih hilang selepas runtuhan glasier Himalaya di sempadan China-Nepal mencetuskan gelombang air sejuk dan serpihan yang membadai kawasan di sepanjang lembah sungai pada 26 ogos.
Bencana itu mengorbankan lebih 900 orang, manakala hampir 4,000 daripada mereka yang masih hilang berada di Nepal, termasuk hampir 600 warga asing.
