Sekitar 130 pelajar dari empat sekolah menengah di Punggol telah berkumpul di Kampus Punggol Institut Teknologi Singapura (SIT) pada 9 November untuk mengetengahkan projek huraian inovatif mereka dalam menghadapi cabaran dunia sebenar.
Ini adalah kali keenam SIT menjadi tuan rumah pada ‘Cabaran Masyarakat SIT’, yang kali ini memberi tumpuan kepada dua isu besar - aksesibiliti pengangkutan awam bagi warga emas dan orang kurang upaya, serta bagaimana teknologi boleh menyokong golongan ini untuk bergerak dengan lebih berdikari dan yakin.
Dengan misi menggalak lebih ramai pelajar ceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (Stem), acara ini memberi platform kepada pelajar mengutarakan projek huraian inovatif pada beberapa isu sosial menyusuli sesi bengkel dan latihan yang mereka hadiri.
Acara ini dianjurkan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), gerakan amal James Dyson Foundation yang membangun minat saintis, jurutera dan pencipta muda serta STMicroelectronics.
Penasihat bagi Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial di Institut Teknologi Singapura (SIT) Dr Yaacob Ibrahim berkata:
“Kami berharap melalui latihan ini, generasi muda akan memahami bahawa kita mesti memainkan peranan yang baik dalam Stem, dengan tujuan utama membantu mewujudkan masyarakat inklusif seberapa banyak yang boleh.”
Selain mempamerkan idea-idea inovatif, acara ini juga menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda, menggalak mereka menjadi pemimpin perubahan dalam masyarakat, yang mengutamakan kesejahteraan sosial sambil meneroka teknologi untuk kebaikan orang umum.
Pelajar dari Sekolah Menengah Punggol, Sekolah Menengah Edgefield, Sekolah Menengah Greendale, dan Sekolah Menengah Yusof Ishak bekerjasama menghasilkan konsep dan prototaip penyelesaian mereka pada isu yang menjadi tumpuan.
Lima idea inovatif terbaik dipilih dengan setiap pasukan imenerima baucar sebanyak $400 dan sokongan prototaip untuk memajukan idea tersebut ke tahap seterusnya.
Antara pemenangnya ialah Sekolah Menengah Edgefield yang mengetengahkan idea perkongsian maklumat kedatangan bas secara audio dan visual bas bagi golongan kurang upaya dan juga mereka yang mempunyai demensia. Peranti itu akan mengumumkan nombor bas yang tiba.
Satu lagi kumpulan pemenang ialah Sekolah Menengah Yusof Ishak, yang telah mengusulkan kerusi khas untuk golongan berkeperluan dengan kad istimewa.
Dengan mengimbas kad itu, kerusi tersebut akan dibuka secara automatik untuk pengguna.
Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial di SIT, Profesor Madya Dr Intan Azura Mokhtar, menekankan bahawa SITCC mencerminkan komitmen SIT dalam pendekatan praktikal dan mengutamakan manusia dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar.
“Pengalaman ini mengembangkan pemahaman yang lebih mendalam dan empati terhadap pengguna akhir... Kami berharap suatu hari nanti, apabila mereka menyertai sebagai SITizens (pelajar SIT), mereka sudah biasa dengan proses pemikiran reka bentuk dan reka bentuk mengutamakan manusia apabila mencipta huraian bersama pengguna akhir dalam menangani isu sosial dan cabaran komuniti,” kata Dr Intan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg