M Kuasa Tiga (M³) sedang meneroka keperluan mewujudkan bidang tumpuan baru demi menyokong masyarakat Melayu/Islam menangani cabaran baru, seperti dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Jika diwujudkan, ia akan menjadi bidang tumpuan keenam bagi M³ – rangkaian yang menggembleng tenaga Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).
Buat masa ini, M³ mempunyai lima bidang tumpuan (FA): menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat untuk semua.
Dr Maliki berkata setiap FA yang diwujudkan bertujuan menangani isu-isu yang dihadapi masyarakat dengan menghulurkan sokongan yang diperlukan.
Dengan cabaran baru yang muncul hari ini, seperti teknologi yang pesat berkembang dan AI, pihak M³ akan meneliti sama ada FA yang baru perlu dibentuk, tambah beliau.
“Kita akan pantau mungkin isu AI, bidang siber yang baru, yang akan timbul di mana mungkin perlu satu FA yang khusus ditubuhkan untuk mengenal pasti aspek-aspek baru ini.
“Ini merupakan cara kita bersedia memberi respons kepada isu-isu yang mungkin akan wujud di masa hadapan,” kata beliau.
Dr Maliki berkata demikian semasa satu sidang media pada 25 Oktober untuk beri perkembangan terkini mengenai kemajuan M³@Bandar sepanjang lima tahun lalu. Turut hadir di sidang itu ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Satu Forum M³ yang bertemakan ‘M³ Ke Hadapan: Meraikan Perjalanan Kita, Melakar Ke Hadapan Bersama’ – kemuncak sambutan ulang tahun kelima M³ – akan diadakan pada 10 November dan dihadiri tetamu terhormat, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
M³ juga akan memantau sama ada perlu untuk membentuk lebih banyak bandar M³ melebihi 11 bandar yang sudah wujud di seluruh negara pada masa ini, kata Dr Maliki.
Bandar tersebut terletak di Bedok, Chua Chu Kang, Geylang Serai, Jalan Besar, Jurong, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Pasir Ris-Punggol, Tampines, Toa Payoh dan Woodlands.
Dr Maliki berkata bagi kawasan yang belum ada M³@Bandar, penduduk Melayu/Islam yang memerlukan bantuan boleh mendekati bandar yang berhampiran dengan mereka.
“Misalnya, kita tidak ada bandar M³ di Ang Mo Kio, tetapi isu-isu keluarga Melayu di Ang Mo Kio digandingkan dengan M³@Toa Payoh kerana ia berdekatan. Ia tidak bermakna bahawa jika tiada M³ di bandar tersebut, penduduk di sana tidak diberi perhatian.
“Oleh itu, kita akan memantau sama ada perlu untuk kita menubuhkan M³@Bandar yang ke-12 atau ke-13 di bandar-bandar baru, kerana ada juga kawasan perumahan baru yang sudah mula wujud dengan flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru,” kata beliau.
Di sidang media itu, Dr Maliki berkata rangkaian M³ telah memberi peluang kepada ramai orang Melayu/Islam, termasuk karyawan, menyumbang bakti kepada masyarakat sebagai sukarelawan, dan menyediakan infrastruktur bagi agensi bekerjasama dalam program penduduk.
Sejak 2019, program dan daya usaha yang telah dijalankan 11 M³@Bandar telah berkembang – daripada 77 program yang mendekati 33,000 penduduk, kepada 323 program yang memberi manfaat kepada lebih 127,000 penduduk hari ini.
Antaranya ialah Projek Dian, dengan lebih 535 keluarga Melayu/Islam yang tinggal di flat sewa di enam bandar – Bedok, Geylang Serai, Jalan Besar, Jurong, Choa Chu Kang dan Tampines – telah didekati sehingga Jun 2024. Sekitar 65 peratus daripada mereka telah mendapatkan sokongan yang diperlukan.
Program #HashTech oleh M³@Pasir Ris-Punggol pula telah berjaya menarik lebih 100 belia daripada institut pengajian tinggi dan madrasah, dengan peserta meraih pengetahuan dan kemahiran digital seperti visualisasi data dan keselamatan siber.
Sementara itu, hampir 500 penduduk telah menyertai kegiatan yang dianjurkan Kelab Kesihatan oleh M³@Woodlands bersama pihak lain seperti masjid dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) sejak 2023, seperti zumba, berbasikal dan piloxing.
Dr Maliki berkata M³ telah menyediakan struktur bagi agensi-agensi yang berbeza untuk bekerjasama dalam menyediakan program kepada penduduk selain mewujudkan program baru bagi menangani isu-isu baru.
Beliau memberi contoh Projek Dian, dengan agensi seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Kementerian Pendidikan (MOE) bekerjasama untuk menyokong keluarga, termasuk anak-anak, yang tinggal di flat sewa.
“Mereka melihat struktur M³ ini sebagai menyediakan nilai tambah kepada tugas mereka. Namun kadangkala, mereka menghadapi cabaran ketika mendekati keluarga. Mungkin ia isu bahasa atau memahami nuansa budaya.
“Oleh itu, M³ datang bersama sukarelawan dan pendamping kami untuk bekerjasama dengan agensi-agensi tersebut, untuk menghubungkan mereka dan memastikan perkhidmatan dimanfaatkan dengan baik,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg