WASHINGTON: Hutang negara Amerika Syarikat melepasi paras AS$40 trilion ($51.3 trilion) buat kali pertama pada 19 Ogos, mencetuskan kebimbangan mengenai kedudukan kewangan negara itu selepas berdekad-dekad bergantung kepada pinjaman untuk membiayai perbelanjaan pemerintah.

Peningkatan itu didorong kos ketenteraan, program perlindungan sosial dan pemotongan cukai Presiden Ameria, Encik Donald Trump, selain bayaran faedah hutang yang semakin tinggi.

Pada tahun 2026 ini sahaja, Amerika dijangka meminjam lebih AS$2 trilion bagi memenuhi tanggungannya, termasuk membiayai perang dengan Iran serta pemotongan cukai besar-besaran yang diluluskan Parti Republikan pada 2025.

Lebih membimbangkan, bayaran faedah kepada pelabur yang membeli hutang pemerintah Amerika kini menyumbang kira-kira separuh daripada defisit tersebut.

Pengarah Kanan Dasar Jawatankuasa bagi Belanjawan Persekutuan yang Bertanggungjawab (CRFB), Encik Marc Goldwein, memberi amaran bahawa peningkatan kos faedah boleh menyebabkan hutang terus berkembang dengan lebih pantas.

“Perkara paling menakutkan ialah kita mula melihat bermulanya kitaran hutang yang semakin membesar,” katanya.

Walaupun Amerika kekal sebagai ekonomi terbesar dunia, peningkatan hutang membawa risiko jangka panjang.

Pelabur mungkin menuntut kadar faedah lebih tinggi untuk membeli bon pemerintah Amerika sekiranya mereka semakin bimbang mengenai kemampuan Washington mengurus hutangnya.

Keadaan itu juga boleh menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kredit Amerika dan, dalam jangka panjang, menjejaskan keyakinan terhadap dolar Amerika sebagai mata wang rizab utama dunia.

Kedua-dua Parti Republikan dan Demokrat menyumbang kepada peningkatan hutang sepanjang beberapa dekad lalu.

Washington terpaksa menerbitkan semakin banyak hutang untuk membiayai program kesihatan, bantuan rangsangan ekonomi, bantuan bencana dan operasi harian pemerintah.

Encik Trump sebelum ini berjanji untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara.

Ketika pertama kali bertanding bagi jawatan Presiden pada 2016, beliau berkata hutang negara boleh dihapuskan dalam tempoh lapan tahun menerusi perjanjian perdagangan baharu dan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh.

Sebaliknya, hutang negara meningkat dua kali ganda sejak itu.

Dalam penggal keduanya, beberapa usaha utama untuk mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan hasil pemerintah juga belum mencapai sasaran.

Jabatan Kecekapan Pemerintah yang pada awalnya dipimpin Encik Elon Musk pernah menyasarkan pengurangan perbelanjaan persekutuan sebanyak AS$1 trilion.

Setakat ini, jabatan itu mendakwa menghasilkan penjimatan lebih AS$200 bilion, tetapi Pejabat Akauntabiliti Pemerintah (GAO) berkata anggaran tersebut kurang boleh dipercayai dan tidak cukup telus.

Pemerintahan Encik Trump juga cuba meningkatkan hasil menerusi tarif menyeluruh terhadap barangan import.

Usaha itu terjejas selepas Mahkamah Agung memutuskan sebahagian tarif berkenaan tidak sah, menyebabkan pemerintah persekutuan perlu memulangkan lebih AS$160 bilion kepada syarikat yang telah membayar tarif tersebut.

Menteri Kewangan Amerika, Encik Scott Bessent, yang menyasarkan pengurangan defisit kepada 3 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) menjelang 2028, mengakui defisit pada 2026 bergerak ke arah yang bertentangan.

Menurut beliau, antara puncanya ialah peningkatan perbelanjaan ketenteraan akibat perang dengan Iran, pemulangan hasil tarif serta kesan pemotongan cukai tahun 2025 lalu.

Perang dengan Iran turut menyebabkan harga tenaga di Amerika meningkat, sekali gus mengekang pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan jangkaan peningkatan hasil cukai.

Encik Bessent berkata pemotongan cukai juga meningkatkan defisit kerana syarikat dibenarkan membuat potongan segera terhadap kos pembinaan kilang dan pembelian peralatan.

Langkah itu dianggarkan boleh mengurangkan hasil pemerintah sekitar AS$100 bilion pada 2026.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan dasar tersebut dengan berkata pelaburan yang digalakkan melalui pemotongan cukai akan menghasilkan pertumbuhan dan pendapatan cukai lebih tinggi pada masa depan.
Kebimbangan mengenai kedudukan kewangan Amerika kini turut kelihatan dalam pasaran bon.

Hasil bon Perbendaharaan Amerika berjangka 30 tahun melonjak ke paras tertinggi dalam hampir dua dekad minggu ini apabila pelabur menuntut pulangan lebih tinggi untuk memegang hutang pemerintah.

Ini boleh menyebabkan kos pinjaman turut meningkat bagi pengguna dan syarikat Amerika yang sudah berdepan tekanan inflasi.

Pada 19 Ogos, Encik Bessent berkata Jabatan Perbendaharaan akan menggandakan jumlah hutangnya sendiri yang dibenarkan untuk dibeli semula daripada pelabur dalam usaha mengawal kos pinjaman.

Ketidakpastian turut datang daripada Lembaga Simpanan Federal (Fed), yang memegang sekitar AS$6.8 trilion dalam bon pemerintah dan sekuriti bersandarkan gadai janji.

Pengerusi Fed, Encik Kevin Warsh, yang mengambil alih jawatan pada Mei, menjadikan pengurangan pegangan tersebut sebagai salah satu keutamaannya.

Pada masa sama, kos membiayai tentera dan program besar seperti Keselamatan Sosial, Medicare dan Medicaid terus meningkat, sedang anggota Kongres yang berdepan pilihan raya keberatan untuk melaksanakan pemotongan perbelanjaan besar atau menaikkan cukai.

Presiden Pusat Dasar Bipartisan, Cik Margaret Spellings, memberi amaran bahawa masalah asasnya ialah pemerintah terus berbelanja jauh melebihi hasil yang diterima.

“Walaupun dalam senario paling optimistik, kita sedang bergerak pantas menuju ke jurang tetapi enggan memusingkan stereng,” katanya. – Agensi berita.