Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegawatan ekonomi sedunia dijangka lebih besar dari krisis 2008

George Yeo: Tempoh kecairan panjang, penggunaan hutang meningkat dedah sistem dunia kepada pelarasan lebih mendadak
Jan 6, 2026 | 5:53 PM
George Yeo, ekonomi
Mantan Menteri Ehwal Luar Singapura, Encik George Yeo, memberi amaran penyusunan semula ekonomi sedunia tidak dapat dielak dan berpotensi lebih parah berbanding krisis kewangan 2008. Menurut beliau, langkah tindakan bersama sebelum ini berkemungkinan tidak dapat diulang dalam kegawatan akan datang. - Foto BT

Penyusunan semula ekonomi sedunia tidak dapat dielakkan, dan apabila ia berlaku, kesannya dijangka lebih parah berbanding krisis kewangan 2008, kata mantan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, pada 6 Januari.

Beliau berkata tempoh kecairan yang panjang serta peningkatan penggunaan hutang menjadikan sistem dunia terdedah kepada pelarasan yang lebih mendadak, katanya semasa satu perbincangan OCBC.

“Cepat atau lambat, ketidakseimbangan mesti berlaku, dan ia akan menjadi lebih besar daripada krisis kewangan sedunia,” katanya.

Encik Yeo berkata demikian semasa satu perbincangan bersama ketua ahli ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, sempena Seminar Pelaburan Tahunan Klien Privet Premier bank itu yang diadakan di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.

Dalam sesi tersebut, beliau berkata sekiranya satu lagi kemelesetan berlaku, langkah tindakan bersama seperti yang dilaksanakan sebelum ini berkemungkinan tidak dapat diulang, lapor The Business Times (BT).

Semasa krisis terdahulu, China melancarkan pakej rangsangan bernilai empat trilion yuan ($733 bilion) pada 2009 bagi membantu merangsang permintaan sedunia.

“Kali ini, jika berlaku kemelut, tiada lagi G20 (Kumpulan 20) yang benar-benar berfungsi.

“China tidak akan memperkenalkan belanjawan untuk menyelamatkan dunia.

“Ia akan menyelamatkan dirinya sendiri dan mungkin rakan-rakannya. Siapa yang akan mengekalkan permintaan sedunia?” katanya.

Menurut Encik Yeo, jangkaan terhadap penyusunan semula sedemikian turut membantu menjelaskan mengapa harga emas – yang lazimnya dianggap aset selamat ketika tempoh turun naik pasaran – terus meningkat, walaupun pasaran saham kelihatan berprestasi baik.

“Ini bukan perkara yang menyenangkan, tetapi kita perlu bersedia kerana apabila perubahan itu berlaku, segalanya boleh berubah dengan cepat,” tambahnya.

Encik Yeo turut berkongsi penilaiannya mengenai penyingkiran kepimpinan yang disokong Amerika Syarikat di Venezuela pada hujung minggu lalu, yang menyaksikan Presiden Encik Nicolas Maduro, dan isterinya ditahan sebelum diterbangkan ke Amerika untuk dibicarakan atas tuduhan berkaitan dadah.

Menurutnya, beliau terkejut dengan ketiadaan reaksi daripada pihak tentera Venezuela terhadap operasi tersebut, walaupun pasukan khas Amerika dilaporkan memasuki Caracas menggunakan helikopter terbang rendah.

Menurut Encik Yeo, tentera Venezuela memiliki sistem peluru berpandu pertahanan udara mudah alih yang boleh digunakan terhadap helikopter, namun ia tidak dikerahkan dan sebuah pangkalan tentera udara berhampiran juga tidak diserang.

“Jelas sekali, Amerika telah membuat pengaturan lebih awal dengan individu penting di Venezuela bagi melaksanakan operasinya,” katanya.

Sebelum menceburi politik pada 1988, Encik Yeo pernah berkhidmat dalam Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan mencapai pangkat brigedier jeneral.

“Kali ini, jika berlaku kemelut, tiada lagi G20 (Kumpulan 20) yang benar-benar berfungsi. China tidak akan memperkenalkan belanjawan untuk menyelamatkan dunia. Ia akan menyelamatkan dirinya sendiri dan mungkin rakan-rakannya. Siapa yang akan mengekalkan permintaan sedunia?”
Mantan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg