Seperti ramai ibu bapa di Singapura, dua ibu – Cik Nurlieja Onnawaty Mas’at dan Cik Raja Eulyndra Raja Khalif – prihatin akan kecenderungan anak-anak mereka menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam pertuturan seharian.
Namun, dua ibu itu tidak putus asa, malah gigih mencari pelbagai cara inovatif untuk menggalak anak-anak kecil mereka mengenali bahasa Melayu dan menjadikan penggunaan bahasa Ibunda itu sebagai sesuatu yang lumrah dalam kehidupan.
Cik Nurlieja, 43 tahun, misalnya, membawa anaknya yang berusia enam tahun menonton teater bangsawan yang diadakan di Perpustakaan Daerah Woodlands.
Cik Raja Eulyndra, juga 43 tahun, pula berusaha mencari siri animasi bahasa Melayu yang jalan ceritanya lebih sesuai dan mengikut konteks kehidupan kanak-kanak di Singapura supaya dua anaknya yang berusia dua dan tujuh tahun lebih tertarik dan minat menonton.
Justeru, dua ibu itu amat mengalu-alukan pembaharuan yang dibuat Kementerian Pendidikan (MOE) terhadap kurikulum bahasa Ibunda (MTL) untuk sekolah rendah yang telah dilancarkan secara bertahap-tahap bermula dengan kohort pelajar Darjah 1 sejak 2024.
Mereka merupakan antara hampir 150 ibu bapa dan kanak-kanak yang hadir di satu sesi pendekatan ibu bapa mengenai kurikulum MTL diperbaharui itu, yang diadakan di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 27 September.
Kurikulum yang diperbaharui tersebut, antara lain, memberi penekanan lebih besar dalam membangunkan Kecekapan Abad Ke-21 pelajar, seperti kecelikan tentang budaya di dalam dan luar negara, kemahiran komunikasi serta pemikiran kritis dan daya cipta.
Selain itu, kurikulum diperbaharui itu memanfaatkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran pelajar dan memperluaskan penggunaan konteks serta bahan-bahan pembelajaran yang berkaitan dengan minat dan kehidupan harian mereka.
“Saya sebenarnya suka bahawa kurikulum diperbaharui ini mempunyai pelbagai inti yang agak interaktif dan ia juga mengundang kanak-kanak ini untuk membuat persembahan, dari segi mengajak mereka bernyanyi ataupun bertutur dalam suasana yang santai.
“Saya juga suka bahawa mereka memaparkan contoh ataupun gambaran tentang kehidupan seharian, dan ini amat bermakna dan sangat relevan kepada kehidupan kanak-kanak ini,” kata Cik Nurlieja.
Sementara itu, Cik Raja Eulyndra pula gembira kurikulum itu menampilkan penggunaan platform digital Ruang Pembelajaran Pelajar (SLS) yang menempatkan sumber pembelajaran interaktif, seperti animasi, video dan lagu, untuk pelajar.
“Ini satu sumber yang amat baik kerana sebenarnya sukar bagi ibu bapa mencari aplikasi pembelajaran bahasa Melayu yang relevan dan mudah untuk anak-anak.
“Anak saya dapat hafal kosa kata dan tatabahasa daripada nyanyian lagu dan video melalui SLS,” kata beliau.
Penolong Pengarah dan Pakar Kanan, Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Ibunda MOE, Cik Noor Azimah Mohd Haad, berkata kurikulum baru itu memberi penekanan pada keseronokan, yang menekankan pembelajaran melalui permainan.
“Melalui pengalaman pembelajaran berbilang kaedah, peningkatan penggunaan teknologi, dan pengajaran bergamifikasi di dalam dan luar bilik darjah, ia akan meningkatkan minat terhadap pembelajaran dan proses pembelajaran, serta mencapai hasil pembelajaran yang diingini.
“Teknologi menjadikan pembelajaran lebih hidup dan menarik, sambil turut memenuhi keperluan pelajar dengan gaya pembelajaran yang berbeza. Ia juga membolehkan setiap kanak-kanak mencari kaedah pembelajaran yang sesuai untuk diri mereka,” kata beliau. – IRMA KAMARUDIN
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg