Cik Siti Suhana Alias ialah seorang guru Bahasa Melayu yang melihat sesuatu mata pelajaran itu bukan sekadar sebahagian daripada sukatan pendidikan, tetapi sebagai laluan penting dalam membangun jati diri dan warisan budaya pelajar.
Guru Sekolah Perempuan Paya Lebar Methodist (Rendah) (PLMGS) yang berusia 29 tahun itu menyesuaikan cara didikannya bagi memenuhi keperluan murid yang berkebolehan berbeza, termasuk mereka yang mengalami disleksia dan murid bukan Melayu.
Dengan menggunakan kaedah inovatif seperti pembelajaran bertema, penerapan unsur permainan dalam kaedah pembelajaran atau gamifikasi, realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) bagi menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, Cik Siti Suhana, dapat melihat hasil yang memberangsangkan.
Beliau menggalakkan muridnya agar lebih yakin, petah dan beradab, sambil berfikir secara mendalam tentang isu masyarakat.
Hasil inovasi yang diterapkan itu, beliau dicalonkan bagi Anugerah Guru Arif Budiman (Kategori Perangsang) 2025 dan merupakan antara finalis yang disenarai pendek.
Harapan Cik Siti Suhana adalah pembelajaran Bahasa Melayu boleh dijadikan pengalaman menyeronokkan apabila pelajar dapat menggunakan AR dan VR.
Kaedah yang digunakannya turut melibatkan ibu bapa demi memperkukuh kesedaran budaya.
Anugerah Guru Arif Budiman mengiktiraf guru Bahasa Melayu cemerlang di sekolah aliran utama, yang berusaha meneroka kaedah pembelajaran di luar bilik darjah untuk menyemai penghargaan lebih mendalam terhadap mata pelajaran tersebut.
Ia merupakan anjuran bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
Cik Siti Suhana mengajar murid Darjah 2, Darjah 4 dan Darjah 6 di sekolah tersebut.
Ketika ditemui BH di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista, beliau menyingkap bagaimana dirinya perlu menyesuaikan kaedah pengajaran bagi memenuhi keperluan seorang murid yang mempunyai disleksia.
Disleksia ialah kesukaran pembelajaran yang menjejas keupayaan seseorang untuk membaca dan mengeja dengan tepat serta lancar.
“Saya pernah mengajar seorang murid berkeperluan khas. Dia sebenarnya sukar membaca dan rupa-rupanya mempunyai disleksia.
“Saya berusaha membantunya membaca buku Bahasa Melayu walaupun mengeja juga menjadi cabaran baginya.
“Hinggalah akhirnya saya menggunakan kaedah ‘decoding’ atau penyahkodan secara berperingkat untuk membantunya,” kata Cik Siti Suhana.
Meskipun pernah ditawarkan mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Pengajian Sosial, beliau tetap memilih Bahasa Melayu kerana menjadi guru mata pelajaran itu merupakan impiannya.
Aspirasi ini lahir daripada hasratnya untuk membantu murid-murid Melayu menyemai kesedaran tentang kepentingan Bahasa Ibunda sebagai bahasa kebangsaan Singapura, yang relevan dalam membina jati diri dan memelihara warisan budaya.
“Bagi saya, Bahasa Melayu bukan sekadar mata pelajaran di sekolah, malah ia adalah identiti yang harus dipupuk dan dihargai,” tegasnya.
Minat beliau terhadap bahasa itu bermula sejak zaman persekolahan, apabila dirinya mendapat inspirasi setelah melihat dedikasi guru-guru Bahasa Melayu yang pernah mengajarnya.
“Mereka memberi saya kenangan manis yang masih saya ingati.
“Dari situ saya sedar akan kepentingan membantu murid-murid Melayu untuk belajar bahasa mereka kerana ia adalah jati diri mereka,” tambahnya.
Dari segi nilai pula, Cik Siti Suhana menekankan kepentingan pendidikan menyeluruh dalam mendidik anak bangsa.
“Saya sentiasa memupuk ciri-ciri yang membantu mereka menjadi lebih tabah menghadapi kehidupan, termasuk nilai kewibawaan dan semangat untuk sentiasa berdaya bingkas,” jelasnya.
Tugas sebagai guru juga menjadikan dirinya lebih berusaha mengimbas semula apa yang telah dilaluinya dalam kehidupan.
“Bagi setiap keputusan yang saya buat, saya selalu lihat semula dari perspektif kaedah pengajaran. Adakah ia baik untuk mendalami kandungan pelajaran yang disampaikan?
“Banyak langkah yang saya ambil sebagai guru, memberi kesan besar.
“Ia membuatkan saya menjadi seorang yang lebih penyabar kerana berhadapan dengan murid daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Menyentuh tentang cabaran dalam dunia pendidikan, beliau menambah bahawa pengalaman sebagai guru mengajarnya agar lebih berhati-hati sebelum menilai murid.
“Cabaran saya ialah untuk sabar memahami keadaan mereka dan tidak cepat menghukum. Saya belajar daripada murid saya bahawa kita tidak boleh membuat andaian terburu-buru.
“Misalnya, ada murid dari keluarga besar dengan lapan adik-beradik yang sukar membaca. Apabila ditinjau latar belakangnya, mungkin di rumah dia tidak mempunyai sokongan yang memadai.
“Jadi, kita perlu lebih peka terhadap latar belakang murid, termasuk status sosioekonomi mereka.
“Pertama sekali, saya sedar bahawa saya tidak boleh menghukum. Saya perlu beri ruang kepada murid untuk mencuba.
“Dari situ kita boleh menilai semula apa yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka,” jelasnya.
Sepanjang empat tahun berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu di PLMGS, Cik Siti Suhana, mengamalkan pendekatan bertema dalam pakej pembelajaran yang disediakannya, agar kandungan pelajaran itu lebih dekat dengan kehidupan harian murid.
Beliau menekankan kemahiran bahasa, kosa kata serta konsep tatabahasa tertentu.
Menurutnya, pendekatan bertema seperti itu, yang turut disokong pelbagai kajian pendidikan bahasa, dapat meningkatkan penglibatan, motivasi dan kefahaman gagasan dalam kalangan murid.
“Apabila murid mempelajari aspek bahasa dalam konteks yang bermakna, mereka bukan sahaja lebih mudah memahami pelajaran, malah terdorong menggunakan bahasa Melayu dengan lebih yakin,” tambahnya.
Selain Cik Siti Suhana, finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Perangsang) (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan) ialah Cik Nur Adilah Khamsani (Sekolah Rendah Greenwood); Cik Noorhidayah Md Taib (Sekolah Menengah Compassvale); dan Cik Filzatul Azreen Gazali (Sekolah Menengah Anderson).
Finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Teladan) (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan) pula terdiri daripada Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli (Sekolah Rendah Waterway); Cik Siti Aidah Mohamad Amin (Institusi St. Joseph [Rendah]); Cik Norzaidah Suparman (Sekolah Perempuan Crescent); dan Cik Suhana Jumadi (Sekolah Menengah Juying).
Pemenang Anugerah Guru Arif Budiman 2025 akan diumumkan pada 1 November ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg