Ibu yang bakal melahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) boleh mendaftar untuk meminjam kerusi kereta bayi secara percuma dalam inisiatif baru untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di jalan raya.
Sekitar 300 bayi baru lahir akan mendapat manfaat daripada Program Kerusi Kereta Bayi, yang disokong Polis Trafik dengan kerjasama Komoco Motors dan Mothercare, kata hospital tersebut dalam kenyataan pada 25 Februari.
KKH berkata ia merawat sekitar 400 kanak-kanak setiap tahun akibat kecederaan dari kemalangan jalan raya.
Kecederaan pada kepala, tulang belakang dan organ dalaman lebih serius apabila kanak-kanak tidak memakai kerusi kereta, lapor The Straits Times (ST).
“Banyak kecederaan boleh dicegah dengan langkah berjaga-jaga yang betul.
“Kesedaran keluarga tentang keberkesanan kerusi kereta dalam menyelamatkan nyawa kini lebih penting berbanding sebelumnya,” kata Dr Ronald Tan, perunding kanan di Jabatan Perubatan Kecemasan KKH.
Kajian pada 2017 melibatkan 1,483 kanak-kanak dan remaja dengan kecederaan akibat kemalangan jalan raya mendapati lebih separuh daripadanya tidak menggunakan kerusi kereta kanak-kanak semasa kejadian.
Kajian pada 2020 mendapati ramai ibu bapa dan penjaga tidak mengetahui cara betul menggunakan kerusi kereta dan ada yang meragui keberkesanannya.
Kos dan kesulitan juga menjadi halangan, walaupun undang-undang Singapura mewajibkan penggunaan alat keselamatan kereta untuk kanak-kanak di bawah 1.35 meter.
Ibu bapa yang bakal melahirkan boleh mendaftar untuk kerusi kereta semasa pemeriksaan antenatal atau daftar secara dalam talian di for.sg/buckleupbaby.
Ibu bapa boleh mengambil kerusi kereta itu semasa pemeriksaan trimester ketiga dan akan mendapat panduan serta video untuk memasang dan menggunakannya dengan betul.
Mereka mesti memulangkan kerusi itu apabila bayi berusia satu tahun dan akan menerima baucar diskaun Mothercare untuk membeli kerusi kereta yang sesuai untuk usia anak.
Kerusi yang dipulangkan akan disinfeksi sebelum dipinjamkan semula, kata jurucakap KKH.
Dr Tan, yang juga mengetuai Kumpulan Kerja Pencegahan Kecederaan KKH, menambah bahawa ibu bapa perlu menukar kerusi kereta mengikut usia anak untuk memastikan keselamatan mereka, kerana setiap jenis kerusi direka untuk saiz dan berat badan yang berbeza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg