Masyarakat dijangka menanggung tambahan $767 dalam jumlah kos setahun bagi individu yang terdedah kepada sebarang bentuk Pengalaman Buruk Kanak-Kanak (ACE), berbanding dengan mereka yang tidak terdedah pada keadaan itu.
Demikian menurut dapatan satu kajian baru-baru ini oleh Institut Kesihatan Mental (IMH), dengan kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH).
Purata kos tambahan tahunan bagi mereka yang terdedah kepada tiga atau lebih ACE pula adalah hampir tiga kali ganda kepada $2,168.
Pengabaian emosi, perpisahan ibu bapa, perceraian atau kematian ibu bapa, menetap di persekitaran rumah yang tidak berfungsi dengan normal serta penderaan emosi membentuk Pengalaman Buruk Kanak-Kanak (ACE) adalah yang paling biasa berlaku di Singapura.
Menurut kenyataan IMH pada 16 Julai, dalam Kajian Kesihatan Mental Singapura 2016, 63.9 peratus atau dua pertiga daripada golongan dewasa di Singapura mengalami sekurang-kurangnya satu ACE – peristiwa tekanan atau trauma yang berlaku sejak lahir hingga usia 18 tahun, dan mengakibatkan bahaya atau potensi bahaya kepada kanak-kanak itu.
Bagi kebanyakan individu ini, kesan peristiwa sebegitu pada zaman kanak-kanak berterusan sepanjang hayat dan menyebabkan mereka mencatat kos lebih tinggi berkaitan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti.
Berdasarkan data mengenai penggunaan sumber penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti, penyelidik IMH dan KKH menganggarkan purata kos lebihan tahunan bagi setiap orang yang dikaitkan dengan mana-mana ACE adalah sebanyak $767.
Dalam pada itu, sistem penjagaan kesihatan dan masyarakat dijangka menanggung $767 lebih dalam jumlah kos setahun bagi individu ini, berbanding seseorang yang tidak terdedah kepada ACE.
Berdasarkan kadar kelaziman sebanyak 63.9 peratus ACE dalam kalangan golongan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas, kos masyarakat ACE dianggarkan berjumlah $1.18 bilion setiap tahun untuk sekurang-kurangnya satu ACE, dari segi penggunaan sumber penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti.
“Meskipun jenis ACE ini tidak mengancam nyawa dengan serta-merta, ia meningkatkan risiko isu kesihatan mental pada kemudian hari.
“Sebagai contoh, berbanding mereka yang tidak pernah mengalami sebarang ACE, individu yang pernah mengalami satu ACE adalah tiga kali lebih berkemungkinan mempunyai gangguan emosi atau gangguan keresahan.
“Sekiranya masalah kesihatan mental timbul, individu ini kemungkinan besar memerlukan lebih banyak sumber penjagaan perubatan dan mungkin melihat produktiviti di tempat kerja menurun,” kata Dr Liu Jianlin, felow penyelidik untuk bahagian penyelidikan di IMH.
Dr Mythily Subramaniam, penolong pengerusi lembaga perubatan untuk penyelidikan di IMH, menambah bahawa mencegah ACE adalah langkah pertama yang penting.
“Tanpa campur tangan awal, mereka yang terjejas selalunya terdedah kepada penjagaan diri yang berkurang dan mengalami cabaran dalam mengawal emosi dan membentuk hubungan yang stabil.
“Semua ini meningkatkan risiko masalah kesihatan fizikal dan mental,” jelas Dr Subramaniam.
Dapatan kajian IMH dan KKH:
purata kos tahunan tambahan bagi mereka yang terdedah kepada sekurang-kurangnya satu ACE ialah $767
purata kos tahunan tambahan untuk mereka terdedah tiga kali atau lebih pada ACE ialah $2,168
kos presenteeism (bekerja ketika sakit) yang merujuk kepada bilangan hari dari 30 hari seseorang individu terpaksa mengurangkan jenis atau kuantiti kerja disebabkan masalah kesihatan fizikal, kesihatan mental, atau
penggunaan alkohol atau dadah adalah dua kali lebih tinggi bagi mereka yang terdedah kepada sekurang-kurangnya satu ACE – sebanyak $679 – berbanding mereka yang tidak mempunyai ACE, iaitu $327.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg