Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa mahu lebih sokongan pemerintah tangani kegiatan digital anak: Kajian MDDI

Sep 12, 2025 | 6:00 PM
Kajian mengenai Keibubapaan Digital itu, yang dijalankan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), mendapati 58 peratus kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun didapati meluangkan masa melebihi satu jam yang disarankan pada alat digital setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, dan ini meningkat kepada 81 peratus pada hujung minggu.
Kajian mengenai Keibubapaan Digital itu, yang dijalankan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), mendapati 58 peratus kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun didapati meluangkan masa melebihi satu jam yang disarankan pada alat digital setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, dan ini meningkat kepada 81 peratus pada hujung minggu. - Foto ST

Lebih separuh, atau 59 peratus, ibu bapa yang ditinjau dalam satu kajian berkata mereka mahukan lebih banyak sokongan pemerintah untuk membantu mengendalikan kegiatan digital anak mereka, termasuk perundangan lebih kukuh untuk melindungi kanak-kanak dalam talian.

Kajian mengenai Keibubapaan Digital itu, yang dijalankan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), juga mendapati bahawa ramai kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah menatap skrin melebihi had masa harian yang disarankan Kementerian Kesihatan (MOH).

Sebanyak 58 peratus kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun didapati meluangkan masa melebihi satu jam yang disarankan pada alat digital setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, dan ini meningkat kepada 81 peratus pada hujung minggu.

Dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun, 27 peratus daripada mereka menggunakan alat digital melebihi masa dua jam yang disarankan pada hari-hari biasa, dengan ini naik kepada 55 peratus pada hujung minggu.

Sebanyak 47 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun pula menggunakan alat digital melebihi masa dua jam pada hari-hari biasa, dan ini naik kepada 71 peratus pada hujung minggu.

Kajian mengenai Keibubapaan Digital itu, yang diadakan buat julung-julung kalinya, telah dijalankan secara dalam talian pada Februari 2025 dan melibatkan 1,986 ibu bapa penduduk Singapura dengan anak-anak berusia dua hingga 17 tahun.

MDDI berkata dapatan kajian itu “akan memaklumkan pemerintah bagaimana ia boleh memberi sokongan lebih baik kepada ibu bapa” dalam usaha mengendalikan kegiatan digital anak-anak.

Semasa ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah berkata bahawa pemerintah sedang meneroka cara memperkukuh keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak, dan juga mempertingkat sokongan untuk ibu bapa mengharungi perkembangan teknologi.

Dalam kalangan ibu bapa yang mahukan lebih banyak sokongan pemerintah, 57 peratus menyatakan mereka mahukan perundangan lebih kukuh untuk melindungi kanak-kanak dalam talian, diikuti dengan sumber atau panduan digital (44 peratus), dan kursus dalam talian atau webinar (37 peratus).

Dapatan juga menunjukkan bahawa tahap penggunaan alat digital untuk kanak-kanak kecil amat tinggi di Singapura.

Antaranya, 55 peratus ibu bapa yang mempunyai anak berusia dua hingga empat tahun menyatakan anak mereka memiliki atau menggunakan alat digital milik orang lain.

Dalam kalangan kumpulan ini, 94 peratus melaporkan anak mereka menggunakan alat digital untuk kegiatan, terutamanya penstriman media dan permainan dalam talian (gaming).

Hampir semua ibu bapa yang ditinjau melahirkan keprihatinan tentang bahaya dalam talian atau risiko yang mungkin dihadapi anak mereka dalam kegiatan dalam talian.

Ibu bapa paling bimbang tentang pendedahan kepada kandungan tidak sesuai (81 peratus), diikuti dengan interaksi dengan orang tidak dikenali (57 peratus), pembulian siber (54 peratus), ketagihan atau penggunaan skrin yang berlebihan (51 peratus), dan pendedahan kepada maklumat salah atau berita palsu (40 peratus).

Di Singapura, pemerintah telah mengambil beberapa langkah untuk memperkukuh perundangan demi melindungi kanak-kanak daripada bahaya dalam talian.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sejak Julai 2023 telah memperkenalkan Tataamalan bagi Keselamatan Dalam Talian – Khidmat Media Sosial, yang memerlukan khidmat media sosial melaksanakan sistem dan proses untuk menghindari pengguna Singapura, terutamanya kanak-kanak, daripada mengakses kandungan bahaya.

Pada Mac 2025, IMDA turut melancarkan Tataamalan bagi Keselamatan Dalam Talian – Khidmat Pengedaran Aplikasi, di mana kedai aplikasi (app store), antara lain, perlu melaksanakan langkah demi mengelakkan pengguna bawah usia 18 tahun daripada mengakses aplikasi yang tidak sesuai dengan usia mereka, mulai 31 Mac 2026.

Dalam satu video yang membincangkan dapatan kajian itu, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, turut berkata kementeriannya akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) untuk membentuk Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian baru menjelang separuh pertama 2026.

Bagaimanapun, Cik Teo berkata undang-undang bukan satu-satunya penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, sambil menambah bahawa ibu bapa juga boleh terlibat dalam usaha mengendalikan kegiatan digital anak-anak mereka.

“Mereka (ibu bapa) mahu melibatkan diri. Mereka telah, contohnya, menyarankan untuk menjadikan sumber sokongan lebih pendek, modular, dan mudah bagi mereka faham dan amalkan setiap hari,” kata beliau.

“Perjalanan keibubapaan tidak pernah mudah dalam setiap generasi. Dan dalam generasi sekarang, dek kesukaran memahami persekitaran anak-anak mereka, adalah lebih penting untuk kita menyokong satu sama lain dan bagi masyarakat bersatu,” tambah Cik Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg