Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa titipan sambut baik kenaikan elaun sokong keperluan remaja

Aug 23, 2025 | 6:45 PM
Selamat Ab Rahim, Cik Siti Fadhilah Abdul Rahim, Cik Suzaiha Samat, Encik Ya’kub Hitam, ibu bapa titipan
Pasangan suami isteri, (dari kiri) Encik Selamat Ab Rahim dan Cik Siti Fadhilah Abdul Rahim, serta Cik Suzaiha Samat dan Encik Ya’kub Hitam, merupakan antara ibu bapa titipan yang menjaga remaja. - Foto BM oleh DESMOND WEE

Selama lebih 15 tahun, pasangan suami isteri, Encik Ya’Kub Hitam, 59 tahun, dan Cik Suzaiha Samat, 58 tahun, membuka pintu rumah mereka kepada anak-anak titipan, membimbing mereka mengharungi alam persekolahan, cabaran keluarga dan pelbagai pengalaman hidup.

Sejauh ini, pasangan itu telah menjaga lima anak titipan, termasuk dua remaja berusia 14 dan 15 tahun. 

“Apabila mereka sudah remaja, mereka mula mempunyai hobi tersendiri,” ujar Encik Ya’kub, yang mempunyai tiga anak kandung, kepada Berita Minggu (BM).

Beliau bersara pada 2021 selepas berkhidmat sebagai pegawai hartanah kanan.

Beliau memberi contoh anak titipannya berusia 15 tahun yang minat bermain bola sepak dan ingin membeli peralatan terkini untuk meningkatkan prestasinya dalam sukan tersebut.

Walaupun pasangan itu menyokong minat anak-anak titipan mereka, mereka akur kos menjaga remaja lebih tinggi berbanding kanak-kanak kecil.

Isteri Encik Ya’kub, Cik Suzaiha, seorang suri rumah, pula berkata: “Keperluan mereka bukan sahaja makan, minum dan sekolah.

“Apabila mereka membesar, perbelanjaan untuk kegiatan sekolah, sukan, malah pengangkutan pun meningkat.”

Kenaikan elaun itu akan membantu pasangan tersebut menyediakan lebih banyak peluang kepada anak-anak titipan mereka, termasuk membeli barangan sekolah atau hobi, ataupun meningkatkan elaun harian sekolah.

Pasangan suami isteri, Encik Selamat Ab Rahim, 39 tahun, dan Cik Siti Fadhilah Abdul Rahim, 38 tahun, mula menjadi ibu bapa titipan sejak 2016 dan kini menjaga tiga anak titipan lelaki berusia 14 tahun, 12 tahun dan lima tahun, selain seorang anak kandung berusia setahun. 

Mereka juga menyambut baik kenaikan elaun itu sebagai satu bantuan praktikal. 

“Ia akan sangat membantu pendidikan, tuisyen dan kegiatan pengayaan. 

“Ia membolehkan kami mengutamakan apa yang diperlukan oleh anak-anak,” ujar Cik Fadhilah, seorang kerani.

Anak titipan sulung Cik Fadhilah, yang berusia 14 tahun, juga gemar bermain bola sepak.

Setiap hujung minggu, dia menyertai pasukan sosial di bawah ActiveSG.

Namun, anaknya pernah meluahkan hasrat ingin menyertai kelab bola sepak dengan latihan yang lebih intensif, yang menurut Cik Fadhilah menelan kos sekitar $200 sebulan.

“Mungkin dengan kenaikan elaun ini, kami boleh pertimbangkan untuk menghantarnya ke kelab bola tersebut.

“Jika itu minatnya, sudah tentu kami akan menyokong dan inginkan yang terbaik untuknya,” ujar Cik Fadhilah.

Kedua-dua pasangan itu berharap lebih ramai keluarga akan tampil membantu anak-anak yang memerlukan.

“Jangan takut untuk menjadi ibu bapa titipan.

“Jika saya tidak setuju untuk jadi ibu bapa titipan, saya tidak akan dapat rasa rezeki dan nikmat menjadi ibu kepada empat anak.

“Kehidupan saya tentunya berbeza dan saya tidak ingin cara yang lain,” tambah Cik Fadhilah. – NUR SYUHRAH HASSAN

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg