Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elaun bulanan ibu bapa titipan jaga remaja dinaik

Aug 23, 2025 | 3:00 PM
 Goh Pei Ming, ibu bapa titipan, msf
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, mengumumkan bahawa elaun bulanan bagi ibu bapa titipan yang menjaga remaja berusia 13 tahun dan ke atas akan dinaikkan. Beliau berkata demikian pada acara Rumah Terbuka Skim Ibu Bapa Titipan 2025 anjuran Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Pusat Konvensyen Suntec pada 23 Ogos. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Ibu bapa titipan yang menjaga remaja bakal menerima peningkatan elaun bulanan sekitar 20 peratus bermula November, sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menggalakkan lebih ramai keluarga tampil menjaga kanak-kanak titipan.

Berucap di Rumah Terbuka Skim Ibu Bapa Titipan 2025 pada 23 Ogos di Pusat Konvensyen Suntec, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, mengumumkan bahawa elaun bulanan bagi ibu bapa titipan yang menjaga remaja berusia 13 tahun dan ke atas akan meningkat daripada $1,100 kepada $1,300.

Bagi mereka yang menjaga remaja dengan keperluan khas, elaun akan meningkat daripada $1,500 kepada $1,800, bagi menampung kos tambahan seperti terapi, intervensi dan pengangkutan.

“Kami sedar bahawa kos menjaga remaja selalunya lebih tinggi berbanding kanak-kanak kecil, daripada perbelanjaan makanan hingga pengangkutan, telekomunikasi dan kegiatan rekreasi,” kata Encik Goh.

Hingga Disember 2024, terdapat sekitar 130 remaja berusia 13 tahun dan ke atas dalam jagaan ibu bapa titipan, manakala jumlah yang berada di rumah kebajikan adalah lebih daripada dua kali ganda.

“Kanak-kanak yang dibesarkan dalam jagaan keluarga menikmati hasil pembangunan, emosi dan pendidikan yang lebih baik,” jelas Encik Goh, sambil menekankan hasrat MSF untuk meningkatkan bilangan keluarga yang sanggup menjaga remaja titipan.

Selain bantuan kewangan, MSF akan memperkukuhkan sokongan kerja kes bagi ibu bapa titipan yang menjaga remaja.

Pegawai penjagaan titipan akan menjalani latihan tambahan dalam pengurusan kes remaja, supaya mereka lebih bersedia menangani isu seperti kesihatan mental, pengaruh rakan sebaya dan risiko dalam talian.

Ibu bapa titipan juga digalakkan menyertai kursus berkaitan remaja yang meliputi topik seperti kesejahteraan mental, pengurusan tingkah laku mencabar (seperti penggunaan vape) dan panduan mengurus risiko media sosial.

Di samping itu, Encik Goh berkata minat menjadi ibu bapa titipan semakin meningkat, dengan seramai 630 keluarga tampil menjadi keluarga titipan pada 2024, iaitu lebih dua kali ganda berbanding sedekad lalu.

Untuk menarik lebih ramai ibu bapa titipan, MSF telah meniadakan syarat minimum pendapatan isi rumah dan kelayakan pendidikan bagi pemohon ibu bapa titipan sejak Julai 2024.

“Pengalaman kami menunjukkan bahawa keupayaan menyediakan rumah yang selamat, stabil dan penuh kasih sayang tidak ditentukan oleh pendapatan atau kelayakan akademik semata-mata,” kata Encik Goh.

Pemohon ibu bapa titipan akan terus dinilai secara holistik, dengan MSF menyediakan latihan berstruktur dan panduan bagi membantu mereka berjaya dalam perjalanan penitipan ini.

Encik Goh turut menghargai ibu bapa titipan kerana membuka hati dan rumah mereka menjaga anak-anak yang memerlukan bantuan serta kasih sayang.

“Melalui titipan, kita menyaksikan insan biasa melakukan perkara luar biasa yang mengubah kehidupan kanak-kanak dan remaja,” tambah Encik Goh.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Aidaroyani Adam, mengalu-alukan langkah ini dan berkata peningkatan elaun bagi ibu bapa titipan yang menjaga remaja adalah tepat pada masanya. 

“Ini akan membantu ibu bapa titipan menampung kos penjagaan yang lebih tinggi.

“Ini termasuk perbelanjaan tambahan seperti kelas tuisyen dan kelas pengayaan yang mungkin diikuti oleh remaja tersebut sebagai sebahagian daripada pembangunan peribadi. 

“Anak titipan peringkat remaja yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi juga memerlukan sokongan berterusan untuk memenuhi keperluan pembelajaran mereka,” ujar Cik Aidaroyani kepada Berita Minggu.

Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, turut menghargai langkah MSF yang meneliti keperluan ibu bapa titipan dalam menjaga remaja. 

“Peningkatan elaun ini mencerminkan bahawa MSF sangat meneliti dalam Skim Keluarga Titipan dalam semua peringkat dan kami menghargai langkah mereka ini.

“Kami harap lebih ramai pasangan Islam tampil menyertai Skim Ibu Bapa Titipan, agar dapat menjaga anak-anak titipan Muslim terutama setelah syarat menjadi ibu bapa titipan telah dilonggarkan.

“Untuk menyokong skim ini, Muhammadiyah menyediakan program bimbingan agama bagi bakal ibu bapa titipan. Program ini merangkumi topik-topik berkaitan titipan, termasuk isu aurat antara ibu bapa titipan dengan anak-anak,” ujar Ustaz Azri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg