Wanita Melayu/Islam sememangnya dikenali dengan sifat berani dan berdaya usaha. Inilah yang ingin dibuktikan seorang ibu yang menguruskan tiga cawangan gimnasium, sementara tiga yang lain kini menawarkan khidmat fotografi dengan sentuhan kreatif tersendiri. Berita Harian (BH) memaparkan kisah semangat mereka sempena Sambutan Hari Kebangsaan.

Walaupun perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak dan turut merupakan mahasiswi universiti secara sambilan, Cik Annisa Rahim, berjaya menarik kira-kira 1,000 wanita menyertai Activ.Co Studio, gimnasium khusus yang dibuka untuk buat kaum wanita.

Berpandukan niat untuk membina masyarakat wanita Melayu/Islam yang mengamalkan gaya hidup sihat, Cik Annisa, 34 tahun, kini mengurus tiga cawangan Activ.Co Studio di serata Singapura.

Sebelum ini, beliau menyedari ramai wanita Melayu/Islam yang berasa segan dan teragak-agak untuk bersenam di gimnasium awam kerana adanya kaum lelaki yang sedang bersenam di tempat sama.

Ada juga yang berasa malu untuk bersenam di gimnasium kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang senaman dan takut dipandang serong.

Sewaktu ditemui Berita Harian (BH), Cik Annisa, berkata:

“Saya dapati sesetengah wanita lebih suka ke gimnasium khusus untuk wanita kerana tidak ingin dipandang orang lain, lebih-lebih lagi golongan lelaki.

“Ini disebabkan ada di antara mereka yang berhijab dan mereka lebih berjaga-jaga dengan aspek kesopanan serta tidak ingin dilihat apabila melakukan senaman tertentu.

“Ada juga wanita yang tidak mempunyai pengetahuan tentang senaman dan takut kelihatan kekok di gimnasium.

“Jadi mereka lazimnya tertarik untuk mendapatkan khidmat pelatih peribadi dari gimnasium wanita.”

Tatkala menyedari keperluan itu, Cik Annisa yang bermula sebagai pelatih peribadi di salah sebuah gimnasium di Singapura mula mengendalikan kelas senaman di rumahnya buat kaum Hawa.

Pada 2019, beliau mula mengorak langkah baharu untuk membuka cawangan pertama gimnasium khusus untuk wanita di T-Space Tampines agar golongan wanita dapat bersenam dalam suasana selesa dan kondusif.

Tatkala mengurus gimnasium wanita pertama beliau, Cik Annisa seakan rasa terpanggil untuk menggendong satu ‘perjuangan’ baharu.

Sepanjang pengalamannya dalam industri tersebut, beliau lihat tidak ramai dalam masyarakat Melayu/Islam di Singapura yang ke depan memimpin masyarakat mengenai hal kesihatan atau kecergasan fizikal.

“Sebelum 2019, bila kita berbual tentang gaya hidup sihat, bersenam dan kecergasan, saya lihat tak ramai yang mewakili masyarakat Melayu/Islam dalam hal ini.

“Jadi, ia menjadi seperti satu ‘panggilan’ kepada saya untuk bukan sahaja mewakiili masyarakat, malah, menunjukkan bahawa masyarakat Melayu/Islam kini semakin sedia dan celik tentang kesihatan,” kata beliau.

Pada masa sama, Cik Annisa juga melihat peluang tersebut sebagai satu cara untuk ‘menangkis’ pemikiran dan tanggapan bahawa masyarakat Melayu sering terjerat dalam amalan gaya hidup tidak sihat.

“Dengan usaha ini, saya ingin menunjukkan masyarakat kami sudah mempunyai kesedaran dan mengambil langkah untuk menjalani kehidupan sihat.

“Ya memang benar, kami masih suka menikmati hidangan dan lauk-pauk Melayu, tapi hari ini, masyarakat lebih berwaspada untuk mencapai keseimbangan bagi kesihatan,” tambah beliau.

Justeru, dengan berkembangnya Activ.Co Studio di dua lagi kawasan termasuk Woodlands pada 2023 dan Harbourfront pada 2025, Cik Annisa telah membina satu masyarakat khusus demi memperkasakan kaum wanita Melayu/Islam dalam usaha menjadi lebih sihat dan meningkatkan kecergasan.

Istimewanya sesi senaman yang dijalankan di gimnasium tersebut menawarkan latihan kekuatan (strength training) bersama reformer pilates bagi senaman seluruh badan yang membantu membina kekuatan otot teras, meningkatkan kestabilan serta kelenturan badan.

Reformer pilates merupakan alat senaman khas berbentuk rangka katil gelongsor yang dilengkapi dengan spring, tali dan palang kaki.

Perjuangan Cik Annisa dalam bidang kesihatan dan kecergasan tidak terhenti dan terbatas pada tiga gimnasium yang beliau tubuhkan.

Kini, beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Edith Cowan (PSB) dalam jurusan Senaman dan Sains Sukan yang berlangsung selama satu setengah tahun.

Di samping itu, beliau juga perlu mengimbangi masa sebagai seorang ibu kepada dua anak lelaki berusia enam tahun dan 16 bulan.

Walaupun jadualnya padat, beliau bersyukur dan rasa beruntung kerana mempunyai ‘kampung’ atau sistem sokongan seperti suami dan ibu bapanya yang boleh meringankan beban.

“Saya rasa saya tidak dapat laksanakan semua ini seperti mengendalikan tiga gimnasium dan sambung belajar tanpa sokongan suami dan ibu bapa saya.

“Ada kalanya apabila saya perlu meluangkan masa bagi urusan sekolah, saya terpaksa bergantung kepada ayah saya untuk menjaga anak-anak saya buat sementara waktu.

“Jadi saya amat bersyukur dan beruntung dengan kehadiran ‘kampung’ ini yang dapat menyokong ‘perjuangan’ saya,” kata beliau.

“Saya dapati sesetengah wanita lebih suka ke gimnasium khusus wanita kerana tidak ingin dipandang orang lain, lebih-lebih lagi golongan lelaki. Ini disebabkan ada di antara mereka yang berhijab dan mereka lebih berjaga-jaga dengan aspek kesopanan serta tidak ingin dilihat apabila melakukan senaman tertentu... Dengan usaha ini, saya ingin menunjukkan masyarakat kami sudah mempunyai kesedaran dan mengambil langkah untuk menjalani kehidupan sihat.”
Cik Annisa Rahim, Pengasas Activ.Co Studio.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026