Ketika dirinya perlu menggalas amanah membesarkan empat cahaya mata, Cik Sarah Ahmad terpaksa mengetepikan kerjayanya demi memberi sepenuh perhatian kepada keluarga dan keperluan anak-anaknya.

Walaupun pernah mengendalikan perniagaan teknologi maklumat bersama suaminya, Encik Adam Elvis Seow, 45 tahun, Cik Sarah, kini 44 tahun, bertekad memberi tumpuan kepada anak-anak yang semakin dewasa.

Empat anaknya kini berusia 13, 14, 15 dan 16 tahun.

Namun selepas bertahun-tahun tidak menjadi sebahagian daripada tenaga kerja di Singapura, keyakinannya untuk kembali bekerja sedikit demi sedikit mula pudar.

“Saya lebih suka bekerja sebenarnya, tetapi anak-anak masih perlukan saya. Jadi saya pilih untuk berada di sisi mereka,” katanya.

Sebelum ini, Cik Sarah, yang memiliki ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan daripada Institut Pengurusan Singapura (SIM), dan suami menyediakan khidmat huraian kabel dan projek telekomunikasi di Singapura.

Menurutnya, perniagaan tersebut berkembang dengan baik sehingga mereka berjaya mengendalikan projek berskala besar untuk syarikat sektor awam di bawah naungan pemerintah dan swasta termasuk beberapa sekolah swasta serata Singapura.

Perniagaan itu, bagaimanapun, tidak lagi diteruskan kini.

Encik Seow kini beralih tugas sebagai pemandu kereta sewa privet sepenuh masa.

Bagi Cik Sarah, selepas melahirkan anak keempat, tumpuan hidupnya mula berubah atas komitmen menjaga anak-anak dan keluarga.

Sepanjang tempoh itu, Cik Sarah mengakui beliau sering berasa dirinya ketinggalan apabila melihat rakan-rakan lain terus membina kerjaya masing-masing.

“Saya rasa seperti saya ketinggalan. Apabila berjumpa, semua bercakap tentang kerja dan kerjaya, tetapi saya hanya ada cerita tentang anak-anak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Cik Sarah menambah setiap kali cuba kembali bekerja, kebanyakan peluang yang diterimanya hanya tertumpu kepada bidang khidmat pelanggan.

“Ia buat saya terfikir yang saya cuma ada kemahiran khidmat pelanggan, dan tidak boleh membuat pekerjaan lain,” ujarnya.

Semasa pandemik Covid-19, Cik Sarah mula memandu Grab secara sambilan kerana kerja tersebut menawarkan fleksibiliti untuk beliau terus menguruskan keluarga.

Dalam tempoh itulah, beliau diperkenalkan kepada satu inisiatif penyelidikan oleh Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) melalui Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar-Bandar Inovatif (LKYCIC).

Cik Sarah Ahmad (kanan) bersama Penolong Penyelidik Kanan di Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar-Bandar Inovatif (LKYCIC), Cik Candy Mak Yu Shan, yang membimbingnya menerusi program ‘What’s Next’.
Cik Sarah Ahmad (kanan) bersama Penolong Penyelidik Kanan di Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar-Bandar Inovatif (LKYCIC), Cik Candy Mak Yu Shan, yang membimbingnya menerusi program ‘What’s Next’. - Foto BH oleh HUMAIRA SAFIYA MOHD HELMI

Penglibatan itu kemudian membuka jalan baginya menyertai program What’s Next, program perintis di bawah SUTD dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), yang membantu peserta meneroka laluan kerjaya baharu melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan kemahiran boleh dipindahkan.

Menurut fasilitator atau pemudah cara program tersebut, Cik Candy Mak Yu Shan, yang juga Penolong Penyelidik Kanan di LKYCIC, ramai peserta sebenarnya mempunyai kemahiran sedia ada tetapi tidak menyedarinya.

“Kami galakkan mereka bermula dengan apa yang mereka sudah pandai lakukan. Mereka tidak perlu bermula dari kosong,” katanya.

Daripada sekitar 80 individu yang melahirkan minat terhadap projek itu, hanya 16 peserta meneruskan komitmen penuh sepanjang program tiga bulan itu.

Melalui program tersebut, Cik Sarah mula menyedari pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya selama ini sebenarnya masih relevan dan boleh dipindahkan ke bidang lain.

“Cara saya berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri sebenarnya semuanya boleh dimanfaatkan,” katanya.

Cik Mak berkata antara perubahan paling ketara yang dilihat pada Cik Sarah ialah peningkatan keyakinan dirinya.

“Tetapi apabila dia mula melihat bukti kemahiran yang dimilikinya memberi kesan dalam pelbagai situasi, keyakinannya mula berkembang,” tambah Cik Mak.

Melalui program itu juga, Cik Sarah diberi peluang menjadi pemudah cara bengkel Excel, sebelum akhirnya menerima tawaran bekerja sebagai pengendali keselamatan kenderaan autonomi.

“Saya fikir pada umur 44 tahun, tiada siapa mahukan saya lagi. Justeru, apabila datangnya peluang ini di depan mata, saya tidak teragak-agak menerimanya,” katanya.

Kini, apabila anak-anaknya sudah meningkat remaja, Cik Sarah berkata beliau lebih mudah mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu dan pekerja sepenuh masa.

“Mereka sudah lebih berdikari sekarang. Kalau mereka perlukan saya, saya tetap ada untuk mereka,” katanya.

Bagi Cik Sarah, perjalanan kerjayanya mungkin tidak semudah mana, namun pengalaman tersebut mengajarnya peluang sentiasa ada bagi mereka yang sanggup mencuba lagi dan belajar semula.

“Tiada apa yang mustahil selagi kita berani mencuba,” ujarnya.