Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu jalani program agar anak tidak ketinggalan apabila di darjah 1

Sep 28, 2024 | 5:30 AM
Meskipun beliau tidak mahir dalam mata pelajaran Matematik, Cik Mardiana Idrus (dua dari kanan) bersemangat waja untuk memastikan anaknya tidak ketinggalan apabila mereka memasuki sekolah rendah. Turut bersama ialah suaminya, Encik Mohammad Jufri Ramli (kiri), Aisha Humaira (kanan) dan Ammar Haziq Mohammad Jufri (tiga dari kanan).
Meskipun beliau tidak mahir dalam mata pelajaran Matematik, Cik Mardiana Idrus (dua dari kanan) bersemangat waja untuk memastikan anaknya tidak ketinggalan apabila mereka memasuki sekolah rendah. Turut bersama ialah suaminya, Encik Mohammad Jufri Ramli (kiri), Aisha Humaira (kanan) dan Ammar Haziq Mohammad Jufri (tiga dari kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun beliau tidak mahir dalam mata pelajaran matematik, Cik Mardiana Idrus, 39 tahun, bersemangat waja untuk memastikan anaknya tidak ketinggalan apabila mereka memasuki sekolah rendah.

Enggan membiarkan kelemahan dirinya menjadi satu halangan buat anak-anaknya, Cik Mardiana, seorang suri rumah, telah mendaftar dirinya dan dua anaknya untuk program eKelasMateMatika (eKMM) anjuran Yayasan Mendaki pada 2023.

Ini agar beliau dapat mengasah diri dalam mata pelajaran Matematik dan dapat membimbing anaknya dengan lebih baik tatkala mereka memasuki sekolah rendah kelak.

Pada ketika itu, anak sulungnya, Aisha Humaira Mohammad Jufri berusia 6 tahun, manakala, anak lelakinya, Ammar Haziq Mohammad Jufri, masih berusia 4 tahun.

Dengan penerapan sistematik dan praktikal program eKMM, kini Aisha, yang sudah memasuki darjah 1, lebih yakin dengan keupayaan dirinya dan dapat melakukan kerja sekolahnya dengan mudah, tanpa pengawasan kerap oleh Cik Mardiana.

“Saya mendaftar untuk eKMM kerana ketika itu, Aisha masih dalam prasekolah dan saya tidak tahu bagaimana Matematik akan diajar apabila dia masuk sekolah rendah.

“Justeru, saya daftar kerana saya ingin memahami cara lebih baik untuk membimbingnya dan agar Aisha dapat mengasah kemahirannya sendiri dalam Matematik.

“Saya tidak mahu dia fikir Matematik ini sebagai satu masalah. Malah, saya hendak dia menyelami Matematik sebagai satu subjek yang menyeronokkan, dan dapat dipraktikkan dalam segala kegiatan harian,” kata Cik Mardiana.

Cik Mardiana Idrus (dua dari kanan) bersama suaminya, Encik Mohammad Jufri Ramli, 40 tahun, sama-sama melakukan aktiviti eKelasMateMatika (eKMM) bersama anak mereka.
Cik Mardiana Idrus (dua dari kanan) bersama suaminya, Encik Mohammad Jufri Ramli, 40 tahun, sama-sama melakukan aktiviti eKelasMateMatika (eKMM) bersama anak mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Program KelasMateMatika (KMM) merupakan program Yayasan Mendaki bagi memperkasa ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah berusia empat tahun hingga enam tahun supaya mereka lebih yakin melibatkan anak dalam pembelajaran konsep asas numerasi.

Dilancar pada September 2018, program tersebut telah diperkenalkan secara talian dan dinamakan eKMM pada Ogos 2020 bagi memastikan ibu bapa dan anak boleh terus mengikuti program itu di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Pada Mac, Mendaki mengumumkan bahawa lebih 5,500 kanak-kanak telah meraih manfaat daripada program KMM sejak September 2018. Pada 2023, sebanyak 54 sesi KMM telah dijalankan.

Tinjauan Mendaki sebelum ini mendapati lapan daripada 10 kanak-kanak yang menyertai KMM bersedia mempelajari Matematik pada darjah 1 dan tidak memerlukan Program Sokongan Pembelajaran Matematik (LSM).

Bagi Cik Mardiana, beliau menghargai program eKMM dapat dijalankan melalui talian kerana ia dapat dilakukan di rumah, dalam suasana selesa buat anaknya.

Suaminya, Encik Mohammad Jufri Ramli, 40 tahun, yang bekerja syif sebagai seorang pegawai teknikal bersama SMRT, juga turut serta dalam program tersebut pada hari beliau tidak bekerja.

“Programnya berlangsung seminggu sekali selama empat minggu. Dan saya suka kerana ada aktiviti untuk ibu bapa, dan ada juga aktiviti berlainan untuk anak-anak.

“Kami juga belajar konsep seperti I-O-I-O atau “identify, organize, interact, and observe” yang kami dapat gunakan untuk membimbing anak kami.

“Ada juga sesi bersama yang mana ibu bapa dan anak dapat berkumpul untuk melakukan aktiviti sama-sama, dengan pemudah cara juga dapat membimbing kami sekeluarga,” kongsi Cik Mardiana.

Kini, setelah tamat menjalani program eKMM, Aisha meneruskan pengasahan mata pelajaran sekolahnya dengan menjalani Program Tuisyen Mendaki yang diadakan di Masjid Al-Mawaddah.

Malah, Aisha turut menerima tokokan wang ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) dan sebuah tablet yang mempunyai aplikasi Matematik setelah dia mengakhiri program eKMM.

Cik Mardiana berkata beliau terharu dengan sokongan yang telah diberi Mendaki, meskipun keluarganya telah lama tamat menjalani program eKMM.

Ini kerana, walaupun keluarganya telah selesai menjalani program eKMM, Mendaki masih terus mendekati keluarganya untuk menyertai acara Playfest dan perjalanan pembelajaran atau learning journey anjuran badan bantu diri itu.

“Sokongan menyeluruh Mendaki, melangkaui program eKMM, telah banyak memberi manfaat kepada keluarga saya.

“Ada kumpulan Telegram ditubuhkan Mendaki, yang mana mereka kongsi bersama ibu bapa program dan acara yang akan datang.

“Mereka masih terus mendekati kami dan menggalak kami untuk menyertai,” kata Cik Mardiana yang menyifatkan pendekatan itu sebagai peluang baik untuk mendedahkan anaknya kepada pengalaman yang lebih luas.

Melihat kembali, bak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya, Cik Mardiana berkata beliau bersyukur telah mendedahkan anaknya kepada eKMM untuk mendapat bimbingan awal sebelum memasuki darjah 1.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg