Tatkala rakyat Singapura menyambut detik 12 tengah malam – menandakan masuknya tahun 2026 – dengan pertunjukan bunga api menerangi langit malam, Cik Nur Sabrina Mazlan menantikan ‘sambutan’ yang jauh lebih bermakna.
Sambil ditemani kemeriahan bunga api di kaca televisyen bilik bersalin, beliau dan suami, Encik Luqman Haziq Roslan, menyambut kelahiran puteri mereka pada 12.24 pagi, 1 Januari di Hospital Besar Singapura (SGH).
Nuha Nur Syairah, yang dilahirkan seberat 2.9 kilogram, merupakan bayi Tahun Baru pertama di SGH dan antara yang terawal dilahirkan di Singapura bagi 2026.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Nur Sabrina, 29 tahun, melahirkan rasa syukur atas kelahiran anak keduanya itu - empat hari lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin (EDD) pada 5 Januari.
“Saya agak terkejut bayi kami lahir lebih awal kerana EDD bukan pada 1 Januari. Jadi, kami benar-benar teruja kerana dapat merasakan suasana perayaan ini dengan lebih istimewa.
“Saya rasa yang buatkan detik ini amat sukar dilupakan adalah, sementara semua orang lain sedang mengira detik untuk saksikan bunga api, saya pula kira detik untuk bersalin.
“Biasanya kami akan keluar pada malam Tahun Baru… namun kali ini sambutan kami dipenuhi dengan kegembiraan yang luar biasa,” kata jururawat itu dengan nada ceria.
Menceritakan pengalamannya, Cik Sabrina berkata proses kelahiran kali ini lebih lancar berbanding ketika melahirkan anak perempuan sulung mereka, yang kini berusia lima tahun.
“Proses bersalin kali ini tidak begitu susah, terutama sekali jika dibandingkan dengan pengalaman anak sulung kami yang mengambil masa kira-kira 32 jam.
“Kali ini boleh dianggap lebih mudah dan lancar,” kongsi beliau.
Pasangan itu tiba di SGH sekitar 10 pagi pada 31 Disember setelah air ketuban Cik Sabrina pecah pada 7.30 pagi.
Beliau mula mengalami kontraksi pada 2 petang dan berada di wad bersalin selama lebih 10 jam.
Menyentuh mengenai nama puteri mereka, Cik Sabrina berharap anaknya itu membesar menjadi insan yang berilmu.
“Nuha bermaksud bijak dalam Islam, jadi saya berharap dia akan menjadi seorang wanita yang cerdik pada masa hadapan.
“Kami hanya berharap dia menjadi insan yang baik, dan dapat menyumbang kepada masyarakat,” kata beliau.
Apabila ditanya mengenai perancangan menambah cahaya mata, Encik Luqman, berkata mereka serahkan perkara itu kepada ketentuan Tuhan.
“Secara peribadi, saya percaya pada rezeki dan apa yang telah ditentukan Tuhan untuk kami.
“Tiada rancangan khusus (untuk menambah anak), buat masa ini tumpuan kami hanyalah kepada dua puteri kami,” kata pengawal perkhidmatan kereta api itu.
Sementara itu, satu lagi pasangan – Cik Nur Faizah Hamid, 36 tahun, dan Encik Muhammad Hadi Harris, 39 tahun – turut menyambut kelahiran bayi Tahun Baru mereka di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).
Anak mereka, Muhammad Noah Rizq, dilahirkan pada 3.14 pagi pada 1 Januari dengan berat 3.07 kilogram, 10 hari sebelum EDD pada 11 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg