Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak ketujuh ‘hadiah’ Tahun Baru

Jan 1, 2026 | 5:07 PM
Encik Muhammad Hadi Harris (kiri) dan isteri, Cik Nur Faizah Hamid (tengah) menyambut kelahiran putera mereka, Muhammad Noah Rizq, pada 3.14 pagi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada 1 Januari, dengan berat 3.07 kilogram. Bersama mereka ialah anak sulung mereka, Riquesya Nur Qistina Muhammad Hadi (kanan).
Encik Muhammad Hadi Harris (kiri) dan isteri, Cik Nur Faizah Hamid (tengah) menyambut kelahiran putera mereka, Muhammad Noah Rizq, pada 3.14 pagi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada 1 Januari, dengan berat 3.07 kilogram. Bersama mereka ialah anak sulung mereka, Riquesya Nur Qistina Muhammad Hadi (kanan). - Foto HOSPITAL WANITA DAN KANAK-KANAK KK (KKH)

Sambutan Tahun Baru membawa kejutan istimewa bagi pasangan suami isteri, Encik Muhammad Hadi Harris dan Cik Nur Faizah Hamid, apabila keluarga besar mereka menerima kehadiran ahli baru.

Seolah-olah diiringi percikan bunga api, pasangan itu menyambut kelahiran cahaya mata ketujuh mereka, Muhammad Noah Rizq.

Bayi lelaki mereka selamat dilahirkan pada 3.14 pagi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada 1 Januari, dengan berat 3.07 kilogram.

Lebih manis lagi, kelahiran Noah melengkapkan tradisi unik keluarga ini – kesemua sembilan beranak itu dilahirkan di hospital yang sama, KKH.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Muhammad Hadi, 39 tahun, menyifatkan 1 Januari sebagai tarikh yang cukup bermakna dan mudah diingat.

“Tarikh ini mudah diingat dan mulai sekarang, setiap tahun baru, kami dapat raikannya bersama,” katanya, yang bertugas sebagai penyelaras keselamatan.

Bagi Cik Nur Faizah, 36 tahun, kehadiran putera mereka itu merupakan satu kejutan manis memandangkan Noah dilahirkan 10 hari lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin (EDD) pada 11 Januari.

“Anak ketujuh ini memang dalam perancangan kami, cuma yang terkejutnya di tiba lebih awal dari EDD.

“Tapi apa yang penting, bayi sihat dan selamat.

“Saya menghargai sokongan pekerja penjagaan kesihatan yang bersama saya sepanjang proses bersalin. Mereka sentiasa memberi galakan dan menenangkan saya,” kongsi pekerja platform itu.

Anak-anak pasangan itu yang lain berusia antara empat dengan 16 tahun.

Sebagai tanda penghargaan sempena kelahiran bayi tahun baru, pihak KKH turut menyampaikan cenderahati penaja berupa hamper barangan bayi dan penggendong bayi kepada pasangan tersebut.

Dengan kehadiran Noah, pasangan itu kini mempunyai tujuh anak – empat perempuan dan tiga lelaki.

Mengulas mengenai saiz keluarganya, Cik Faizah mengakui mereka pada asalnya tidak merancang mempunyai keluarga yang besar.

“Pada mulanya, kami hanya merancang untuk mempunyai dua atau tiga anak.

“Anak sulung dan anak kedua perempuan, manakala anak ketiga lelaki, jadi kami mahu nak bilangan lelaki dan perempuan yang seimbang. Selebihnya, segalanya berjalan seperti yang ditakdirkan,” ujarnya.

Menceritakan pengalamannya sebelum kelahiran, Cik Faizah mula mengalami kontraksi sekitar 6 pagi pada 31 Disember.

Namun, beliau menunggu kepulangan suaminya yang sedang bertugas syif malam dan hanya tiba di rumah antara 7 dengan 8 pagi.

“Saya nak suami saya berehat dulu dan selepas itu kami bertolak ke KKH sekitar 2 petang.

“Ketika itu, bukaan rahim sudah cecah sekitar 4 sentimeter, namun kontraksi masih belum konsisten,” kata Cik Faizah.

Menyentuh tentang cabaran membesarkan tujuh cahaya mata, Encik Muhammad Hadi akur ia menuntut kerja keras dan pengorbanan, namun membawa kebahagiaan yang tidak ternilai.

“Ia memang sangat mencabar, tetapi apa yang membuatkan saya terus bertahan adalah keluarga saya.

“Terus terang, perjalanan ini tidak mudah, namun keluarga saya memberikan saya kekuatan dan kebahagiaan,” ujar beliau, yang juga bekerja sebagai seorang platform pekerja.

Dalam pada itu, pasangan tersebut percaya bahawa anak ketujuh mereka ini akan melengkapkan keluarga mereka.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran khusus, namun kami berharap anak lelaki kami membesar dengan sihat, bahagia dan berjaya pada masa hadapan,” kata Cik Faizah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg