Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu nantikan kepulangannya, namun Ustaz Jakfar Embek sudah berpulang

Aug 5, 2024 | 8:26 PM
Ibu Allahyarham Ustaz Mohammad Jakfar Embek, Cik Fatimah Ahmad (duduk, tudung coklat), mengingati  Allahyarham sebagai seorang anak yang sangat prihatin menjaganya. Gambar sisipan ialah Allahyarham Ustaz Mohammad Jakfar Embek.
Ibu Allahyarham Ustaz Mohammad Jakfar Embek, Cik Fatimah Ahmad (duduk, tudung coklat), mengingati Allahyarham sebagai seorang anak yang sangat prihatin menjaganya. Gambar sisipan ialah Allahyarham Ustaz Mohammad Jakfar Embek. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila anaknya tidak pulang ke rumah pada 8 malam 2 Ogos, fikiran Cik Fatimah Ahmad tertanya-tanya tentang di mana beliau berada.

Tanpa diduga, anak sulung yang dinantikan pulang dengan selamat telah kembali ke ‘rumah abadi’.

Allahyarham Ustaz Mohammad Jakfar Embek, 65 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 9.26 malam di Hospital Besar Changi (CGH) akibat pendarahan di otak.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Cik Fatimah, 88 tahun, dan menetap bersama anak lelakinya itu, mengimbas kembali perbualan terakhir bersama Ustaz Mohd Jakfar sebelum keluar dari rumah.

“Ketika itu, beliau balik ke rumah untuk solat asar dan keluar sekali lagi. Saya pun tanya pukul berapa beliau akan balik dan jawapannya ialah beliau akan ‘balik malam’.

“Beliau kemudian memberitahu sekitar 8 malam,” kongsi Cik Fatimah yang sekarang akan menetap bersama anak perempuannya, Cik Ja’izah Embek, yang berusia awal 60-an tahun.

Semasa dihubungi menerusi pesanan WhatsApp, seorang rakan Allahyarham, Encik Heiqal Lee, 30 tahun, berkongsi bahawa beliau melihat Allahyarham terjatuh di kawasan tempat wuduk dalam bangunan Darul Arqam.

Ketika itu, beliau, Allahyarham dan seorang lagi rakan lain ingin menunaikan solat maghrib di sana.

“Pada Jumaat itu, kami duduk di sebuah kedai makanan yang terletak berdekatan dengan Darul Arqam di Onan Road. Sebelum kami ingin menikmati juadah yang tersedia di meja kami, Allahyarham kemudian mengajak kami menunaikan solat maghrib di Darul Arqam.

“Kami pergi ke sana pada sekitar 7.40 malam dan beliau jatuh pengsan di tempat wuduk. Saya ingat pihak paramedik tiba di lokasi sekitar 8 malam. Terdapat beberapa jemaah di situ yang membantu menghulurkan bantuan kepada Allahyarham,” ujar Encik Heiqal, yang juga berkongsi bahawa mereka bertiga hanya sempat menjamah sahaja makanan yang dipesan sebelum bergegas ke Darul Arqam.

Semasa hayatnya, Ustaz Jakfar turut dikenali sebagai pengasas dan pengarah Madani Institut PL. Beliau juga pemilik dan konsultan firma Genetic Intelligence Profiling Singapura dan Asia Pasifik.

Selain itu, anak sulung dalam keluarga dua beradik itu pernah menyumbang artikel kepada BH/BM.

Pada 5 Ogos, Anggota Parlimen (AP) Hougang SMC, Encik Dennis Tan, telah melawat keluarga Allahyarham Ustaz Jakfar, iaitu rumah adiknya di Blok 360 Hougang Avenue 5, bagi memberikan penghormatan terakhirnya sebelum jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Pusara Aman untuk disembahyangkan.

Encik Tan berkata: “Saya ingin memberikan penghormatan saya kepada Allahyarham dan keluarga beliau, serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya.

“Walaupun saya bukan seorang Muslim, saya faham bahawa beliau adalah seorang guru yang sangat dihormati dalam kalangan masyarakat Muslim.”

Allahyarham Ustaz Jakfar, yang sudah bercerai dan tidak mempunyai cahaya mata, telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Pusara Aman pada tengah hari 5 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg