Ibu taruh harapan, doa bagi 3 anak keperluan khas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu taruh harapan, doa bagi 3 anak keperluan khas

Feb 15, 2026 | 5:30 AM

Ibu taruh harapan, doa bagi 3 anak keperluan khas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Noor Shahidah Bani Fawz Mohamed, Muhammad Fellani Salleh, ramadan
Cik Noor Shahidah Bani Fawz Mohamed dan suaminya, Encik Muhammad Fellani Salleh, bersama ketiga-tiga anak mereka (dari kiri), Muhammad Farrell Radhi Muhammad Fellani, Muhammad Taika Hamza Muhammad Fellani dan Muhammad Bilal Omar Muhammad Fellani. - Foto ihsan NOOR SHAHIDAH BANI FAWZ MOHAMED

Cik Noor Shahidah Bani Fawz Mohamed sentiasa menadah doa untuk ketiga-tiga anak lelaki berkeperluan khasnya, memohon agar mereka sentiasa mengenali kekuatan mereka.

Menjelang Ramadan, doanya terasa lebih berat, penuh harapan dan kerisauan, kerana beliau mahu anak-anaknya membesar dengan keyakinan dan ketenangan hati, walaupun dunia kadangkala menilai mereka berbeza.

“Saya berdoa agar mereka membesar dengan keyakinan bahawa mereka tidak pernah ketinggalan.

“Selain kejayaan konvensional, saya memohon agar mereka memiliki ketenangan dalam hati dan saya harap mereka yakin dengan diri mereka sendiri.

“Saya mahukan masa depan yang menjamin keselamatan dan keamanan untuk mereka sekiranya saya tiada lagi untuk menyokong mereka secara fizikal,” terangnya.

Bagi Cik Shahidah, 35 tahun, seorang suri rumah, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, malah masa untuk merenung perjalanan sebagai seorang ibu dan usahawan.

Dengan jadual terapi anaknya dan hari-hari yang tidak menentu, bekerja di luar rumah bukan pilihan yang realistik baginya.

Maka, beliau kembali kepada kemahiran yang telah lama dimilikinya, iaitu membakar roti, dan dari situ berkembang idea untuk memulakan perniagaan dari rumah, Three Loaves.

Menurutnya, Three Loaves merupakan usaha yang bukan sahaja menjana pendapatan, namun beliau impikannya sebagai satu ruang perlindungan dan kestabilan yang berterusan bagi anak-anaknya.

“Three Loaves bukan setakat perniagaan, ia sesuatu yang saya bina dengan penuh niat.

“Saya impikan perniagaan ini untuk menjadi tempat perlindungan bagi anak-anak saya suatu hari nanti, sebuah ruang yang mereka boleh kembali.

“Saya mahu ia menjadi ruang yang menyokong anak-anak saya walaupun saya tidak lagi berada di sini untuk memperjuangkan mereka,” jelasnya.

Menurut Cik Shahidah, nama Three Loaves mewakili ketiga-tiga anak lelakinya – Muhammad Farrell Radhi Muhammad Fellani, sembilan tahun; Muhammad Taika Hamza Muhammad Fellani, tujuh tahun; dan Muhammad Bilal Omar Muhammad Fellani, enam tahun.

Anak sulungnya mempunyai autisme, manakala anak keduanya mempunyai autisme dan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).

Anak bongsunya pula mempunyai autisme, epilepsi, palsi serebrum, kelewatan pembangunan global dan gangguan penglihatan serebrum.

“Setiap ‘loaf’ atau potongan roti berbeza dari segi tekstur dan kekuatan, sama seperti anak-anak saya.

“Setiap tempahan menyokong terapi, pendidikan dan masa depan mereka. Ia bukan sekadar tentang roti,” tambah Cik Shahidah.

Namun, mengimbangi perniagaan dan tugasnya sebagai seorang ibu bukan tanpa cabaran.

Di tengah-tengah cabaran harian termasuk rasa keletihan dan tekanan memikirkan masa depan anak-anak, Cik Shahidah berasa ketenangan dalam solat dan doa.

“Ada malam saya menangis selepas semua orang tidur. Ada malam saya menyoal diri sendiri sama ada saya cukup kuat untuk menanggung semuanya.

“Berfikir tentang perihal sekolah anak-anak dan masa depan mereka… semuanya boleh terasa seperti tiada penghujung.

“Apa yang membimbing saya mengharungi semuanya ialah solat dan doa yang dipanjatkan dalam kesunyian malam,” luah Cik Shahidah.

Sokongan suaminya, Encik Muhammad Fellani Salleh, 37 tahun, yang bekerja sebagai juruvideo, menjadi tonggak kekuatannya.

Menurut Cik Shahidah, kehadiran suaminya yang tenang sangat membantu meskipun kadangkala mereka berdua sama-sama buntu.

“Ada kalanya saya terlalu letih untuk berkata apa-apa, dan beliau berkata, ‘kita akan melaluinya bersama’. Ayat ringkas itu mampu meringankan beban di dada saya,” kongsinya.

Selain suaminya, anak-anaknya juga sering menenangkan dirinya tanpa disedari, sama ada melalui cara mereka mencapai tangannya atau memeluknya dengan tulus.

“Ada hari di mana saya rasa seolah-olah saya memikul mereka, tetapi ada hari di mana saya sedar bahawa mereka juga memikul saya,” katanya.

Di sebalik segala cabaran, Cik Shahidah berharap masyarakat dapat melihat keluarga sepertinya dengan lensa yang lebih luas.

Anak berkeperluan khas, tegasnya, bukan untuk “diperbaiki”, namun mereka hanya memerlukan ruang, kefahaman dan sistem yang melihat potensi sebelum keterbatasan.

Sempena Ramadan, Cik Shahidah berkongsi harapannya:

“Saya doa agar Three Loaves menjadi asas kukuh dan sumber rezeki halal untuk anak-anak saya.

“Anak-anak saya bukanlah beban atau kesukaran bagi saya. Mereka mempertingkatkan darjat saya.”

Saya berdoa agar mereka (anak-anak) membesar dengan keyakinan bahawa mereka tidak pernah ketinggalan. Selain kejayaan konvensional, saya memohon agar mereka memiliki ketenangan dalam hati dan saya harap mereka yakin dengan diri mereka sendiri. Saya mahukan masa depan yang menjamin keselamatan dan keamanan untuk mereka sekiranya saya tiada lagi untuk menyokong mereka secara fizikal.
Cik Noor Shahidah Bani Fawz Mohamed, pengasas perniagaan dari rumah, Three Loaves.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg