Ramadan bawa harapan baru bagi bekas pesalah bina keluarga stabil
Ramadan bawa harapan baru bagi bekas pesalah bina keluarga stabil
Tekad berubah selepas jalani fasa pemulihan panjang sejak remaja
Ramadan kali ini sarat dengan doa yang paling dekat di hati Encik Hassan Masor, iaitu untuk menimang cahaya mata dan membina keluarga yang lebih stabil.
Pada usia 42 tahun, keinginannya kini bukan lagi sekadar menjauhkan diri daripada masa silam, namun melangkah ke hadapan sebagai seorang suami yang bersedia memikul amanah keluarga yang lebih besar.
Kini, beliau dan isterinya, Cik Rosliyati Rosli, 35 tahun, yang tidak mempunyai status kerakyatan, sedang berusaha mendapatkan zuriat.
“Perjalanan itu tidak mudah kerana faktor tertentu dan kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan seperti persenyawaan in vitro (IVF).
“Doa saya untuk Ramadan ini mudah – saya cuma mahu kestabilan dan menjauhi masa silam saya,” luah Encik Hassan.
Selepas bertahun-tahun keluar masuk pusat pemulihan, rumah peralihan dan penjara sejak usia 15 tahun atas kesalahan berkaitan dadah, Encik Hassan menyifatkan fasa hidupnya sebelum ini sebagai tempoh “pemulihan yang panjang”.
Namun kali ini, beliau mahu perubahan itu benar-benar kekal.
Encik Hassan mendirikan rumah tangga pada Jun 2022, namun beberapa bulan selepas itu, beliau dipenjarakan selama 21 bulan disebabkan kesalahan dadah.
Beliau bersyukur isterinya tetap setia dan kerap melawatnya di penjara walaupun setiap masa bertemu hanya sekitar 20 minit.
“Setiap kali isteri saya datang melawat, saya cuma mampu cakap ‘maaf, maaf, maaf’.
“Alhamdulillah, beliau masih menerima saya dan terus mendorong saya untuk bangkit dengan lebih kuat.
“Sokongannya untuk saya sentiasa 200 peratus dan tidak pernah luntur. Beliau ialah ‘sauh’ dalam kehidupan saya,” ujarnya.
Encik Hassan kini dalam proses mendapatkan lesen motosikal dan kereta.
Beliau pernah mempunyai lesen motosikal namun ia dibatalkan lebih dua dekad lalu disebabkan kesalahan jalan raya.
Selain itu, beliau dan isterinya baru-baru ini menerima kunci flat fleksi dua bilik – salah satu matlamat utama yang sudah ditetapkan sejak di dalam penjara.
“Ketika dalam penjara, saya dah tulis semua matlamat yang saya mahu capai dalam kepala – dapat rumah, mempertingkatkan diri, cari kerja halal, ambil balik lesen memandu dan timang cahaya mata,” kongsi Encik Hassan.
Menurutnya, apabila dibebaskan penjara dan menerima e-mel untuk mengambil kunci rumah barunya, ia seakan-akan menandakan satu permulaan baru dalam kehidupannya.
Satu lagi keputusan besar yang dibuat Encik Hassan ialah meninggalkan kerjaya lamanya sebagai pelayan bar, pekerjaan yang diceburinya hampir 15 tahun di pelbagai bar di Singapura.
Demi mencari rezeki secara halal, beliau kini bekerja di sebuah kafe yang menawarkan waktu kerja tetap.
Gajinya sebagai pelayan bar jauh lebih lumayan, namun beliau sedar perubahan tidak akan bermakna jika persekitarannya kekal sama.
“Saya tahu saya perlu cari kerja halal. Saya tak boleh cakap yang saya mahu berubah tapi masih di tempat yang sama.
“Saya lebih selesa sekarang walaupun gaji lebih kurang. Saya ada masa dengan keluarga, dan rezeki rasa lebih berkat,” terangnya.
Jika ada satu perkara yang masih diperjuangkan Encik Hassan setiap hari, ia adalah mengawal kemarahannya.
“Dulu, saya seorang yang sangat cepat marah. Saya tak sabar dengan orang lain.
“Perkahwinan telah membantu saya untuk menjadi lebih tenang,” katanya.
Meskipun kini berada di landasan yang lebih stabil, Encik Hassan mengakui stigma terhadap bekas pesalah masih wujud.
Katanya, sesetengah orang masih ragu-ragu atau sukar mempercayai perubahan yang sedang diusahakannya, lebih-lebih lagi melihat latar belakang silam dan tatu yang masih terpampang di lengannya.
“Itu hakikat yang saya harus terima. Saya harus membuktikan perubahan saya melalui tindakan saya, bukan sekadar bercakap saja.
“Tetapi lebih daripada itu, saya mahu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya benar-benar boleh berubah dan perubahan ini boleh dikekalkan,” ujarnya.
“
Doa saya untuk Ramadan ini mudah – saya cuma mahu kestabilan dan menjauhi masa silam saya. ... Saya mahu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya benar-benar boleh berubah dan perubahan ini boleh dikekalkan.
