Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu tarung nyawa susulan serangan jantung ketika cuti di Madrid

May 10, 2025 | 5:30 AM
Mohd Nordin Varijan, Siti Dahlia Mohd Dali
Pasangan suami isteri, Encik Mohd Nordin Varijan dan Cik Siti Dahlia Mohd Dali, sempat mengunjungi Stadium Real Madrid sebagai sebahagian daripada percutian mereka ke Sepanyol dan Maghribi. Gambar dirakam beberapa jam sebelum Cik Siti Dahlia mendapat serangan jantung serius. - Foto FATIN SYAHIRAH MOHD NORDIN

Hasrat sepasang suami isteri untuk cuti bersama di Sepanyol dan Maghribi selama 12 hari terhambat apabila Cik Siti Dahlia Mohd Dali, 61 tahun, suri rumah, yang pada umumnya sihat, tiba-tiba mengalami serangan jantung.

“Ibu tiada masalah kesihatan sebelum ini dan pada umumnya seorang yang sihat.

“Jadi sangat mengejutkan apabila dapat tahu ibu tiba-tiba (kena) serangan jantung yang serius (sehingga) menyebabkan kegagalan beberapa organ,” kata anak sulungnya, Cik Fatin Syahirah Mohd Nordin, 33 tahun, guru sekolah antarabangsa, kepada Berita Harian (BH) melalui WhatsApp.

Menurut beliau, ibu dan ayahnya, Encik Mohd Nordin Varijan, 63 tahun, seorang pesara, berlepas ke Madrid pada malam 28 April dan dijadual pulang ke Singapura pada 9 Mei.

Beliau menerima mesej pada 29 April sekitar 8 malam waktu Singapura yang memaklumkan bahawa ibu dan ayahnya sudah selamat sampai ke destinasi, dan sedang berjalan santai melawat Stadium Real Madrid dan Plaza Callao.

Awal dari itu, mereka dibawa untuk makan tengah hari bersama rombongan, susulan perjalanan panjang – antara 18 dengan 22 jam – di pesawat.

“Ibu cakap dia rasa pening dan loya. Dia pergi ke tandas selama 30 minit, tetapi kemudian terasa sama juga (pening dan loya), jadi dia pergi ke tandas lagi selama 30 minit.

“Ayah membantu ibu sapukan minyak, sementara mereka mencari tempat untuk berehat. Mereka duduk di tangga di depan panggung wayang. Beberapa minit kemudian, ibu rebah ke tepi dan mula mengalami sawan.

“Berdasarkan apa yang ayah cerita, tangan ibu jadi kejang dan mulutnya berbuih. Salah seorang anggota rombongan yang juga seorang jururawat, memberikan CPR (bantuan pernafasan kecemasan) bersama ayah...

“Pada sekitar 1.30 pagi, kami menerima panggilan telefon daripada ayah bahawa ibu berada di hospital di Wad ICU (Unit Jagaan Rapi) dalam keadaan kritikal,” ujar Cik Fatin Syahirah yang kemudian terbang ke Madrid bersama suami.

Bukan sahaja ibu dua anak itu dimasukkan ke ICU di Hospital Clinico Universitario San Carlo, di Madrid, malah doktor yang merawat memberitahu pihak keluarga agar bersiap menghadapi kemungkinan kehilangannya.

“Kami bertemu dengan seorang imam di sini, yang berkongsi dengan kami tentang proses pengebumian dan mengetahui bahawa kerana kekurangan tanah di Madrid, pengebumian perlu dilakukan di Valencia – perjalanan empat jam melalui darat dari Madrid.

Konsulat Singapura di Madrid dalam e-mel kepada BH berkata, memandangkan ia melibatkan perkara peribadi... pihaknya tidak dapat memberikan sebarang maklumat atau mengulas mengenai perkara tersebut.

Dalam masa yang sama, pengasas AtTartil Quranic Institute, Ustaz Zulkiflee Bachik, memutuskan untuk terbang ke Madrid bagi memberi bantuan, memandangkan Cik Siti Dahlia, merupakan antara pelajarnya yang menuntut agak lama sekitar empat tahun.

Selain adik Cik Fatin Syahirah, dua adik-beradik Cik Siti Dahlia serta iparnya turut terbang ke Madrid.

Buat masa ini katanya, mereka tidak dapat menganggarkan tempoh berada di situ kerana doktor tidak dapat menjamin kadar pemulihan ibunya, namun, mereka enggan berputus harap.

Cik Fatin Syahirah menjelaskan selepas menghantar segala laporan dan bacaan daripada mesin, teman yang merupakan seorang doktor, mendapati bacaannya stabil dan meminta mereka tunggu dan pantau keadaannya.

Cik Siti Dahlia kini tidak lagi memerlukan mesin besar, sekadar ventilator dan keadaannya menunjukkan tanda-tanda ke arah lebih baik. Mungkin keadaan ini ibarat ‘hadiah’ sempena Hari Ibu pada 11 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg