Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selamatkan ayah di ambang ajal dek serangan jantung

Anak lakukan CPR dengan segera apabila bapa seolah-olah tercekik dalam tidur; diberi Anugerah Penjaga Berinspirasi oleh Pusat Jantung Universiti Nasional, Singapura
Sep 21, 2024 | 6:31 PM
Daripada pengalamannya semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS), Encik Aqil Azmi (kanan) dapat menyelamatkan nyawa ayahnya, Encik Azmi Said, dengan melakukan CPR apabila ayahnya diserang penyakit jantung pada April.
Daripada pengalamannya semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS), Encik Aqil Azmi (kanan) dapat menyelamatkan nyawa ayahnya, Encik Azmi Said, dengan melakukan CPR apabila ayahnya diserang penyakit jantung pada April. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Tragedi tiba-tiba menimpa keluarga Encik Aqil Azmi pada lewat tengah malam 13 April, selepas mereka pulang daripada berjalan raya seharian.

Kedengaran ayah Encik Aqil, Encik Azmi Said, 57 tahun, seolah-olah sedang tercekik dalam tidur hingga wajahnya menjadi biru.

Dalam keadaan kelam-kabut, ibunya, Cik Suriyati Zain, 53 tahun, yang berada di sisi Encik Azmi, memanggil ketiga-tiga anak serta menantunya yang berada di flat di Jurong West itu: “Bangun-bangun! Papa tak boleh bernafas!”

Encik Azmi Said bersama isterinya, Cik Suriyati Zain, 53 tahun.
Encik Azmi Said bersama isterinya, Cik Suriyati Zain, 53 tahun. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Dengan segera Encik Aqil, 30 tahun, yang mempunyai pengalaman melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sewaktu menjalani Perkhidmatan Negara (NS), meletakkan ayahnya di lantai dan melakukan CPR.

Sambil melakukan CPR, beliau menyuruh adik-adiknya mengambil alat defibrilator luaran automatik (AED) dari lobi lif, menelefon ambulans, dan melapangkan ruang untuk paramedik.

Selama 13 minit, anak sulung itu bertarung dengan masa untuk menyelamatkan ayahnya, termasuk memberi beliau tiga kejutan AED sebelum paramedik tiba dan membawanya ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

Encik Azmi dibawa ke hospital dan dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) selama beberapa hari bagi serangan penyakit jantung.

Beliau kini sudah kembali sihat seperti biasa, dan doktor yang merawatnya berkata tanpa tindakan anak sulungnya itu, mustahil beliau dapat hidup.

“Apabila kejadian itu berlaku, mujur saya bertenang sahaja tetapi pelbagai perkara sudah mula mengalir dalam fikiran saya,” kata Encik Aqil, yang baru mendapat cahaya mata pertama, yang juga cucu pertama dalam keluarganya, setahun lalu.

“Ketika di ICU, ramai mengatakan ada kemungkinan ayah saya tak dapat hidup, dan saya sudah mula memikirkan bagaimana hidup kami tanpa ayah, atau jika beliau hanya akan terbaring sepanjang baki hayatnya.

“Meskipun ajal itu ditentukan Tuhan, kami bersyukur beliau masih berada di sisi kami,” katanya, sambil menambah bahawa ayahnya tidak mengalami sembarang gejala kesihatan, selain dipasang stent di saluran darah ke jantung beliau beberapa tahun lalu.

Keluarga Encik Aqil Azmi bergambar bersama tetamu terhormat, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (tengah), di Kelab Masyarakat Senja-Cashew pada 21 September.
Keluarga Encik Aqil Azmi bergambar bersama tetamu terhormat, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (tengah), di Kelab Masyarakat Senja-Cashew pada 21 September. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Atas tindakan beliau yang menyelamatkan nyawa itu, Encik Aqil diberi Anugerah Pengasuh Berinspirasi oleh Pusat Jantung Universiti Nasional, Singapura (NUHCS) dalam satu acara pada 21 September di Kelab Masyarakat Senja-Cashew, Bukit Panjang.

Anugerah dalam bentuk plak berwarna perak itu disampaikan oleh tetamu terhormat di acara itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Di acara itu, pelbagai kegiatan dijalankan bagi penduduk, seperti pemeriksaan bagi kencing manis dan jantung percuma, perkongsian oleh doktor dan bengkel CPR.

Hadiri acara Celebrate World Health Month di Kelab Maysarakat Senja-Cashew kelihatan menyertai bengkel CPR.
Hadiri acara Celebrate World Health Month di Kelab Maysarakat Senja-Cashew kelihatan menyertai bengkel CPR. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada mereka yang membantu menyelamatkan orang tersayang menerusi CPR, kata NUHCS.

Pakar runding kanan di Jabatan Kardiologi NUHCS yang mengendali kes Encik Azmi, Dr Yeo Wee Tiong, berkata kajian menunjukkan setiap minit CPR ditangguh, ia mengurangkan peluang mangsa terselamat sekitar 10 peratus.

“Dengan adanya orang yang mahir melakukan CPR kepada mangsa, ia berupaya meningkatkan peluang mangsa diselamatkan sebanyak dua atau tiga kali ganda.”

Encik Azmi, yang memegang plak Anugerah Penjaga Berinspirasi, bersama Dr Yeo Wee Tiong, Pakar Runding Kanan, Jabatan Kardiologi, NUHCS, dan ayahnya Encik Azmi Said.
Encik Azmi, yang memegang plak Anugerah Penjaga Berinspirasi, bersama Dr Yeo Wee Tiong, Pakar Runding Kanan, Jabatan Kardiologi, NUHCS, dan ayahnya Encik Azmi Said. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Satu laporan daripada Unit Jagaan kecemasan Prahospital (UPEC), Kementerian Kesihatan (MOH), yang dikeluarkan pada 2024 menyatakan serangan sakit jantung yang berlaku di luar hospital bertambah daripada 3,432 kes pada 2020 kepada 3,637 kes pada 2023. Jumlahnya meningkat tiga kali ganda daripada 2011.

Kebanyakan insiden berlaku di rumah, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya ada ahli keluarga yang tahu melakukan CPR dan melakukannya dengan segera.

Encik Aqil berkata beliau berharap dengan mengongsi pengalamannya kepada orang ramai, lebih ramai orang sedar akan peri pentingnya mempunyai kemahiran CPR.

“Saya sayang ayah saya, semua perkara kami lakukan bersama. Beliau umpama teman baik saya sejak kecil dan saya tak dapat bayang hidup tanpanya,” ujar Encik Aqil, membayangkan perasaan syukurnya tahu melakukan CPR dan dapat melakukannya dengan cepat.

Encik Aqil Azmi (kiri) bersama ayahnya, Encik Azmi Said di wad Hospital Universiti Nasional (NUH).
Encik Aqil Azmi (kiri) bersama ayahnya, Encik Azmi Said di wad Hospital Universiti Nasional (NUH). - Foto ihsan AQIL AZMI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg