Apabila suaminya meninggal dunia secara mengejut dalam tidur pada September 2022 sewaktu beliau hamil tujuh bulan, kehidupan Cik Nur Anna Rashiqa Samat berubah sekelip mata.

Beliau, yang kini berusia 45 tahun, terpaksa mengharungi jerih payah membesarkan lima anak bersendirian, dengan empat daripada mereka menghidap pelbagai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Keadaan itu sekali gus menyebabkan Cik Nur Anna tidak dapat bekerja.

Namun, sekilas senyuman terukir di bibir lima anaknya – berusia antara empat dengan 10 tahun – apabila mereka merupakan antara 510 kanak-kanak yang menerima cenderahati Bags of Joy sempena program pengagihan Asyura, anjuran Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA).

Sempena sambutan 10 Muharam (Hari Asyura), ia bertujuan menyemarakkan semangat ihsan, berkongsi rezeki dan memperkukuh kebersamaan dalam masyarakat menerusi sumbangan kepada kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.

Acara itu diserikan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, bersama Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah. Turut hadir ialah Ketua Maybank Islamic, Encik Sazzali Sabandi.

Maybank menyumbang $25,000 bagi menyokong inisiatif tersebut.

Tahun ini (2026), MTFA memperluaskan pengagihan Bags of Joy kepada penerima daripada beberapa pertubuhan Melayu/Islam termasuk Darul Ihsan, Pertapis, Muhammadiyah dan Casa Raudha.

Cik Mariam berkata usaha sedemikian bukan sahaja meringankan beban keluarga yang memerlukan, malah mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

“Apabila kita berganding bahu untuk saling membantu, kita mengukuhkan ikatan yang menjadikan masyarakat kita lebih berdaya tahan dan lebih prihatin.

“Dalam menghulurkan bantuan, adalah penting untuk kita mendengar sendiri keperluan penerima dan memberi mereka ruang untuk membuat pilihan terbaik buat diri dan keluarga mereka,” katanya.

Semasa ditemui Berita Minggu (BM), Cik Nur Anna mengimbas kembali detik kehilangan suaminya, Allahyarham Mohd Fazlin Ismail, pada usia 41 tahun.

“Saya bangun dan dapati katil sudah basah. Bila saya periksa, suami sudah tidak bernafas. Saya terus hubungi paramedik dan lakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), tetapi semakin lama saya lakukan, semakin banyak buih keluar dari mulutnya,” katanya.

Dua bulan selepas itu, beliau melahirkan anak bongsunya.

Namun, dalam tempoh yang sama, anak sulungnya pula disahkan menghidap Juvenile Dermatomyositis (JDM), penyakit autoimun yang jarang berlaku dan menyebabkan keradangan kronik pada otot, kulit dan saluran darah.

Tiga lagi anaknya turut mengalami masalah kesihatan, termasuk gangguan hormon, ‘lazy eyes’ (penglihatan sebelah mata tidak berkembang dengan sempurna) dan penyakit tiroid.

“Rutin harian banyak membantu saya untuk terus kuat dan mengelakkan kemurungan selepas bersalin. Saya tidak boleh bekerja kerana anak-anak kerap perlu dibawa ke hospital,” katanya.

Walaupun menerima bantuan daripada beberapa pertubuhan, beliau mengakui kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan perbelanjaan keluarga mencabar.

“Bawa anak-anak makan di luar memang jarang. Kadang-kadang kalau mereka teringin sangat, saya beli dulu dan bayar kemudian menerusi Grab PayLater. Mereka faham keadaan kami dan tidak banyak meminta,” ujarnya.

Beliau berkata Bags of Joy yang diterima banyak membantu kerana isi kandungannya kini lebih memenuhi keperluan keluarga. Selain snek, setiap beg mengandungi baucar Popular, Decathlon dan Swensen’s dan menggantikan alat tulis yang pernah diberikan sebelum ini hasil maklum balas penerima.

“Dengan baucar Popular saya boleh beli buku latihan dan kasut sekolah. Baucar Swensen’s pula satu kemewahan buat kami kerana anak-anak memang jarang dapat makan di luar. Sekurang-kurangnya kali ini mereka boleh keluar bersama dan bergembira,” katanya.

Menurut Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, pengagihan Bags of Joy sempena sambutan Hari Asyura hanyalah sebahagian usaha berterusan pertubuhan itu dalam menyokong keluarga yang memerlukan.

“Kami berharap dapat mengubah hala tuju daripada sekadar memberi bantuan sementara kepada usaha membina daya tahan jangka panjang serta meningkatkan mobiliti sosial. Adalah penting untuk memastikan setiap kanak-kanak yang kami santuni hari ini diberi peluang dan sokongan agar mereka dapat berjaya dalam kehidupan serta suatu hari nanti kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.