Topik diikuti
Pergi ke BHkuMTFA beri amaran tentang kutipan derma tidak sah
MTFA beri amaran tentang kutipan derma tidak sah
MTFA beri amaran tentang kutipan derma tidak sah
Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) menasihati orang ramai agar berwaspada terhadap individu tidak dikenali yang mendakwa mewakili persatuan itu untuk mengutip derma di tempat awam.
Nasihat itu dikeluarkan selepas pihak persatuan menerima laporan mengenai individu yang menghampiri orang awam dan mendakwa mereka mewakili pihak MTFA.
Dalam satu kenyataan media sosial yang dikeluarkan pada 14 April, MTFA menegaskan bahawa pihaknya tidak menjalankan sebarang kegiatan pengumpulan dana jalanan pada masa ini.
Kenyataan itu turut menyatakan MTFA juga tidak melantik mana-mana agensi pihak ketiga untuk mengutip derma di tempat awam bagi pihak persatuan itu atau subsidiari mereka, termasuk rumah anak yatim Darul Ihsan.
“Kami telah menerima laporan mengenai individu-individu yang mendekati orang awam dengan mendakwa bahawa mereka mewakili persatuan kami.
“Harap maklum bahawa kegiatan tersebut tidak dibenarkan. Kami menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap permintaan derma sedemikian,” jelas MTFA menerusi kenyataan tersebut.
Persatuan itu juga menjelaskan bahawa derma rasmi kepada mereka hanya boleh dibuat melalui saluran sah, iaitu laman web MTFA dan di pejabat mereka yang terletak di 5 Mattar Road, Singapore 387713.
Berita Harian (BH) telah menghubungi MTFA untuk mendapatkan maklumat lanjut.
