Ibu tunggal tabah mula hidup baru, aktif kerja sukarela demi bantu orang lain
Ibu tunggal tabah mula hidup baru, aktif kerja sukarela demi bantu orang lain
Kali pertama sambut Raya berempat selepas berpisah dengan suami
Meskipun Hari Raya membawa harapan ketenangan akan menyelinap di jiwanya, sekelumit kesedihan yang merentap tangkai hati masih dirasakan Cik Nadira Abdullah.
Setelah bertahun-tahun lamanya berdepan dengan pergolakan rumah tangga yang menggores jiwa, Cik Nadira, 40 tahun, sudah menguatkan semangat bagi melangkah ke babak baru dalam hidupnya, iaitu menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tiga anaknya yang berusia tiga, lima dan 11 tahun.
Ini menyusuli bekas suaminya dimasukkan ke penjara kini kerana kesalahan dadah.
Dalam mengharungi proses perceraian dengan suaminya, Cik Nadira yang berumah tangga selama 13 tahun, perlahan-lahan mula menerima realiti membesarkan anak-anaknya seorang diri.
Namun, kekuatan untuk akhirnya bergerak ke hadapan dan meninggalkan kisah silam datang daripada orang yang paling tidak disangka iaitu anak sulungnya, Ryden Israfel.
“Ryden sangat rapat dengan ayahnya. Tapi ketika saya berbual dengannya tentang keputusan untuk berpisah, dia memeluk saya dan berkata, ‘Kalau ibu gembira, Ryden pun gembira,’” ujar Cik Nadira dengan genangan air mata.
“Apabila anak saya memberitahu dia faham, ia memudahkan segala-galanya,” tambahnya.
Walaupun ini Aidilfitri pertama diraikan dengan mereka hanya empat beranak, Cik Nadira berusaha menjadikan musim perayaan ini bermakna untuk anak-anaknya.
Perlahan-lahan, beliau mula mengetepikan segala peristiwa yang mengusik pilu jiwanya bagi menyediakan baju Raya baru buat dirinya dan anak-anak.
Ini sahaja merupakan satu pencapaian kecil bagi fasa baru yang sedang dilalui sebagai ibu tunggal yang harus gigih dan gagah berdikari.
Dengan masa yang terluang kini, beliau rajin menghadiri kegiatan kemasyarakatan, bengkel dan mesyuarat sambil bekerja sambilan dengan pertubuhan tidak mengaut untung, Beyond Social Services sebagai penggerak masyarakat yang menjadi pemangkin buat orang ramai menyumbang idea dan tenaga dalam kerja kemasyarakatan.
Cik Nadira aktif dalam kerja sukarela di kawasan kejiranannya di Ang Mo Kio sejak tempoh wabak Covid-19 melanda pada 2020.
“Tolong orang lain agar rasa gembira beri saya erti kehidupan.
“Saya sentiasa bersyukur dengan apa yang saya ada apabila menyedari ada orang lain dalam keadaan lebih susah daripada saya,” katanya, dengan anak bongsunya memeluk erat dirinya.
Sebelum ini, beliau pernah membantu mengedarkan makanan harian kepada penduduk warga emas melalui penglibatannya dengan pertubuhan tidak mengaut untung, Willing Hearts.
Beliau mengasihani mereka yang lebih memencilkan diri, hidup terasing dan kurang berinteraksi secara sosial dengan penduduk lain.
Satu inisiatif yang menyatukan warga emas agar membina persahabatan dan sokongan sosial agar tidak terasa diri mereka dilupakan turut dibangunkannya menerusi projek Golden Years Together pada 2024.
Cik Nadira turut membuat dan menjual lilin buatan tangan di bawah jenama Candell, dengan dua huruf ‘L’ adalah gabungan nama anak perempuannya, Layla dan Leona.
Dalam tempoh setahun bergelar ibu tunggal, beliau benar-benar dapat merasakan dirinya lebih tenang dan jelas merenung tentang kehidupan yang diinginkan untuk dirinya dan anak-anak.
Dalam tempoh tersebut, beliau mula menyedari betapa berertinya ketenangan yang perlahan-lahan menyusup masuk ke rumah mereka.
“Rasanya sangat aman. Betul-betul aman,” katanya.
Perubahan kecil, seperti mengurangkan haiwan peliharaan di rumah, yang sebelum ini dipelihara oleh bekas suaminya, membolehkan anak perempuannya rasa lebih selamat.
“Untuk anak-anak perempuan, mereka rasa lebih selamat sekarang. Dulu kadang-kadang kita tak boleh tinggal di rumah itu. Kita perlu turun dulu ke bawah,” tambah beliau, menjelaskan tentang bekas suaminya yang membawa pulang haiwan tanpa berbincang dengannya.
Haiwan ini termasuk gagak dan ular sehingga rumah mereka jadi sesak dan menakutkan anak-anak.
“Pihak berkuasa pernah datang dan mengambil ular yang bekas suami pelihara. Pernah dalam sesuatu masa, lapan burung dipeliharanya,” jelas Cik Nadira.
Kini, tumpuan Cik Nadira adalah menyemai cita-cita meneruskan pengajian baginya memperkasa minat menjadi pekerja sosial.
“Fokus saya sekarang juga ialah pendidikan dan rutin harian anak-anak dengan memastikan mereka tidur awal, pergi sekolah tepat pada waktunya dan berasa selamat,” katanya.
Keprihatinan turut diberi kepada dirinya sendiri.
Beliau berkongsi walaupun bekerja sambilan dan menerima bantuan kewangan, menampung kehidupan setiap hari masih mencabar.
“Dekat hujung bulan memang tersekat-sekat sedikit, tapi masih boleh diuruskan, Alhamdulillah,” katanya.
Apabila tidak menawarkan bakti sukarela atau menghadiri mesyuarat, beliau menumpukan masa menjaga keperluan anak-anak di rumah, seperti membantu mereka menyiapkan kerja sekolah dan menguruskan kerja rumah.
“Awak tahu, saya ibu dan bapa kepada tiga anak sekarang,” katanya dengan deraian ketawa yang jelas wujud nada keletihan.
“Kadang-kadang saya duduk rehat sebentar. Perlu bersabar, jaga anak-anak, kadang-kadang rasa tertekan,” ujarnya.
Melalui sekumpulan wanita di kejiranannya yang menamakan kumpulan mereka sebagai ‘Her Space’, beliau menemui sistem sokongan peribadi.
“Beberapa wanita di situ jiran saya. Kalau saya ada mesyuarat malam, mereka tolong jaga anak-anak. Kalau saya perlukan sokongan, mereka sentiasa ada dan saya rasa bersyukur,” katanya.
Hari Raya tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan.
Baju Raya baru untuk dirinya dan anak-anak, hasil daripada usahanya menabung pendapatan yang diperolehi.
“Saya mahu anak-anak membesar dalam rumah yang penuh kasih sayang, menghormati satu sama lain dan positif.
“Saya percaya ini adalah permulaan era baru yang lebih baik untuk kami,” jelasnya.

