Meskipun kehidupan, Cik Siti Asmaniah Nasiruddin, penuh dengan cabaran dan ketidakpastian, ibu tiga anak ini terus tabah menghadapinya.
Cik Siti Asmaniah, 72 tahun, disahkan menghidap barah usus besar tahap dua dan telah menjalani pembedahan pada 2018.
Bukan itu sahaja, beliau juga perlu menjaga anaknya yang berkeperluan khas berusia 45 tahun; ibunya yang menghidap penyakit ginjal; dan suaminya, Encik Kassim Jusi, 75 tahun, yang baru menjalani pembedahan jantung.
Namun, Cik Siti Asmaniah tetap bersyukur dan reda atas segala cabaran, malah cukup teruja kerana berpeluang mengikuti pembelajaran Al-Quran secara percuma kendalian Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq) di bangunan PKMS.
Baginya, Pergeraq menawarkan platform terbaik bagi pembangunan ummah yang cemerlang serta celik Al-Quran.
“Setiap daripada kita mempunyai cabaran kehidupan yang berbeza. Namun bagi saya, membaca Al-Quran di Pergeraq mampu menguatkan lagi keimanan dan kekuatan saya secara minda dan fizikal.
“Dengan membaca Al-Quran, saya berasakan diri ini amat dekat dengan Sang Pencipta dan ini membuatkan saya mensyukuri segala nikmat yang diberikan,” kata Cik Siti Asmaniah dengan sebak.
Beliau merupakan pemenang, Anugerah Ibu Tabah, anjuran Persatuan Ain pada 2024.
Pada setiap Sabtu pagi, Cik Siti Asmaniah, akan meluangkan masa dua hingga tiga jam mengikuti kelas Al-Quran di Pergeraq bersama Ustazah Ramlatti Ahmin.
“Saya telah mengikuti program di Pergeraq sebelum pembedahan dan sambung lagi pada 2019.
“Mengikuti kelas Al-Quran pada usia senja sebegini memang menguji ketabahan dan keyakinan diri.
“Tetapi janganlah jadikan itu (lanjut usia) sebagai alasan dan halangan untuk kita tidak mendekati diri dengan agama dan Al-Quran.
“Di Pergeraq, saya diajar memperhalusi bacaan, mengenali tajwid dengan betul dan macam-macam lagi. Saya berharap saya mampu khatam Al-Quran dua tahun lagi (2027), insya-Allah,” tambah nenek tiga cucu ini.
Menurut Setiausaha Eksekutif Pergeraq, Encik Mohammad Hanafiah Tumin, Pergeraq perlu membelanjakan sekurang-kurangnya $150,000 setahun untuk membiayai program percuma seperti Kempen Celik Al-Quran (KCQ) itu.
Sepanjang Ramadan 2025, Pergeraq juga menganjurkan beberapa program, antaranya Klinik Al-Quran pada 3 hingga 24 Mac.
Pada 9 Mac, Pergeraq bakal mengagih hamper mengandungi barangan asas dan baucar makanan serta juadah berbuka puasa kepada 116 ahli Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS).
KCMS mempunyai sekitar 120 anggota berusia antara sembilan tahun dengan 75 tahun.
SEKILAS:
1. Derma atau zakat boleh dilakukan melalui pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0. WhatsApp untuk resit @ 9030-7057. Tulis nama anda / zakat atau derma.
2. PayNow ke UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’ sila tulis nama anda / zakat atau derma.
* Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut, lungsuri laman web Pergeraq di pergeraq.sg, atau e-mel kepada pergeragsgp@gmail.com.
* Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10, PKMS Building, Singapura 419737.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg