Alamat rumah sekitar 80 individu telah diubah secara dalam talian tanpa pengetahuan mereka, selepas penipu mendapatkan butiran nombor kad pengenalan (NRIC) dan Singpass mereka.
Penipu dikatakan telah menggunakan akaun Singpass yang dikompromi untuk mengelak beberapa langkah perlindungan keselamatan dalam sistem penukaran alamat Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Pada mulanya, hanya beberapa kes dilaporkan pada September 2024.
Tetapi jumlah itu sudah meningkat baru-baru ini, dan ini seolah-olah satu kaedah bagi sindiket jenayah mendapatkan akses dan mengawal akaun Singpass mangsa.
Pada 11 Januari, ICA berkata ia mula menyiasat kes penukaran alamat kediaman yang dilakukan secara tidak sah pada September 2024.
Semua pemegang NRIC diperlukan menukar alamat dalam tempoh 28 hari selepas berpindah ke kediaman baru, tidak kira di dalam atau luar Singapura.
Sesiapa yang memberikan alamat kediaman yang palsu boleh didenda sehingga $3,000, dipenjara dua tahun, atau kededuanya sekali.
Adalah satu kesalahan sekiranya seorang pengguna tidak melekatkan alamat barunya pada NRIC.
Dalam satu persidangan media pada 11 Januari, Pesuruhjaya ICA, Encik Marvin Sim, berkata tiada petanda bahawa warga asing terlibat dalam insiden tersebut, dan penipu kemungkinan merupakan warga setempat.
ICA telah menggantung fungsi penukaran alamat di lamannya bagi melaksanakan langkah keselamatan tambahan bagi mencegah salah guna berterusan.
Ini selepas 80 percubaan tidak sah telah dilakukan, dengan sekitar 75 peratus daripada percubaan tersebut berjaya mengubah alamat.
“Penipu berjaya menukar alamat dalam kira-kira 75 peratus daripada percubaan tersebut, mendorong ICA untuk melaksanakan langkah keselamatan tambahan dan menggantung perkhidmatan penukaran alamat dalam talian mulai 11 Januari 2025 untuk semakan. Perkhidmatan ini mungkin akan disambung semula pada 14 Januari 2025,” kata Encik Sim.
Diperkenalkan pada 2020, perkhidmatan penukaran alamat dalam talian membenarkan penduduk Singapura – warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR), termasuk mereka yang tinggal di luar negara – melaporkan penukaran alamat kediaman kepada ICA dalam talian.
Individu boleh membuat perubahan pada alamat kediaman mereka sendiri, atau orang lain dengan log masuk ke perkhidmatan penukaran alamat dalam talian dengan Singpass mereka di bawah salah satu daripada tiga modul (Saya sendiri, Saya sendiri dan anggota keluarga saya, dan Lain-lain).
Modul ‘lain-lain’ diperkenalkan untuk membantu mereka yang tidak mahir digital, supaya mereka mendapatkan bantuan daripada proksi dengan akaun Singapass, untuk mengemas kini alamat kediaman mereka dalam talian bagi pihak mereka.
Dengan cara ini mereka tidak perlu ke Bangunan ICA untuk berbuat demikian. Proksi akan log masuk ke perkhidmatan eCOA menggunakan Singpassnya sendiri, dan memasukkan nombor Kad Pengenalan dan Tarikh Pengeluaran Kad Pengenalan individu yang memerlukan pertukaran alamat kediaman.
Secara purata seramai 900 penduduk Singapura menukar alamat kediaman mereka melalui proksi setiap bulan.
Menurut ICA, penipu menggunakan akaun Singapass yang dicuri atau dikompromi untuk menukar alamat kediaman mangsa melalui modul ‘lain-lain’ dalam perkhidmatan eCOA.
Perkhidmatan itu kemudiannya akan menghantar pengirim PIN pengesahan ke alamat kediaman berdaftar yang ditetapkan oleh pe, di mana dia boleh mengakses pengirim untuk mengesahkan pertukaran alamat.
Sebaik sahaja alamat kediaman berdaftar mangsa ditukar, ia digunakan untuk menetapkan kata laluan baru untuk akaun Singpass mangsa. Ini dilakukan dengan meminta perkhidmatan Singpass menghantar PIN baru ke alamat kediaman yang ditetapkan oleh pelaku.
Kemungkinan penipu menggunakan akaun Singapass yang dicuri atau dikompromi dan kotak surat pihak ketiga untuk menjana lebih banyak akaun keldai yang digunakan untuk penipuan dan jenayah siber lain.
ICA sedang melaksanakan langkah selanjutnya untuk membenarkan penukaran alamat secara selamat melalui proksi.
Langkah tambahan termasuk menyepadukan teknologi pengesahan muka ke dalam log masuk Singapass untuk perkhidmatan penukaran alamat, yang mengurangkan risiko.
Timbalan Pesuruhjaya (Dasar dan Transformasi), Cik Cora Chen, memberitahu media bahawa penggantungan perkhidmatan adalah untuk mencegah penyalahgunaan selanjutnya dan melaksanakan langkah keselamatan tambahan.
“Kami akan menjalankan semakan dalam dua hari akan datang, dan kami berkemungkinan akan mengembalikan perkhidmatan itu pada 14 Januari.
“Kami menasihatkan orang ramai untuk menyemak sama ada alamat berdaftar adalah tepat, dan sebarang ketidaktepatan hendaklah dilaporkan kepada ICA dengan segera,” tambahnya.
Sementara itu, mereka yang memerlukan bantuan proksi boleh menghubungi Unit IC di Aras 3, Bangunan ICA, untuk mendapatkan bantuan dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 4.30 petang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg