Para pengunjung akan menikmati kemudahan pemeriksaan tanpa pasport di dewan bas Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas, serta di Pusat Kapal Persiaran Marina Bay Singapura (MBCCS), kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 11 Disember.
ICA bakal melaksanakan pemeriksaan kod QR secara berperingkat di semua lorong automatik dan Laluan Bantuan Khas Automatik (SAL) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands bagi pengangkutan bas.
Pelaksanaan itu akan bermula di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 16 Disember.
Pihak berkuasa menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan di kedua-dua pusat pemeriksaan darat menjelang pertengahan Januari 2025.
Mulai 16 Disember, penduduk Singapura – warga Singapura, Penduduk Tetap (PR), dan pemegang pas jangka panjang – yang tiba dan berlepas di MBCSS boleh melepasi pemeriksaan imigresen menggunakan biometrik wajah dan iris mata, tanpa perlu mengemukakan pasport mereka.
ICA dalam satu kenyataan pada 11 Disember berkata: “Berikutan percubaan (21 November hingga 1 Disember), ICA akan melancarkan pelepasan kod QR secara berperingkat di semua lorong automatik dan Laluan Bantuan Khas Automatik (SAL) di dewan bas kedua-dua pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.”
Pelepasan kod QR akan memberi manfaat kepada semua penumpang bas, termasuk mereka yang berkerusi roda dan kumpulan keluarga sehingga empat orang.
Mereka boleh menjimatkan masa sehingga 40 saat dengan mengemukakan hanya satu kod QR kumpulan pada aplikasi MyICA, tambah ICA.
Dengan pelaksanaan penuh pelepasan kod QR di dewan bas, ICA akan menyelesaikan pelancaran inisiatif pelepasan tanpa pasport untuk semua mod pengangkutan di pusat pemeriksaan darat.
ICA berkata: “Kami menggesa semua pengunjung di pusat pemeriksaan darat untuk menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen yang lebih cepat dan lebih mudah.
“Pengunjung juga digalak mengemukakan kod QR menggunakan aplikasi mudah alih MyICA dan tidak menggunakan salinan bercetak atau tangkapan skrin.”
Pada 1 Disember, hampir 28 juta pengunjung telah menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan darat, tambah ICA.
ICA sebelum ini telah mencuba pelepasan kod QR di dewan bas ketibaan dan perlepasan di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands dari 21 November hingga 1 Disember.
Maklum balas daripada lebih 48,000 penumpang dalam percubaan itu membolehkan pihak berkuasa menambah baik pengalaman pelepasan bagi penumpang bas.
Pengunjung asing kali pertama dan mereka yang memasuki semula Singapura menggunakan pasport berbeza daripada perjalanan sebelumnya perlu mengemukakan pasport mereka untuk pelepasan imigresen.
Mereka akan dapat menggunakan pelepasan kod QR untuk perjalanan seterusnya.
Mulai 16 Disember, ICA juga bakal melancarkan pelepasan tanpa token di MBCCS sebelum memperluaskannya ke pusat pemeriksaan laut lain secara berperingkat.
Penduduk Singapura yang tiba dan berlepas melepasi imigresen menggunakan biometrik muka dan iris mata, manakala pengunjung asing boleh berbuat demikian apabila mereka berlepas dari Singapura.
Langkah itu akan membantu mengurangkan masa menunggu untuk pelepasan imigresen di pusat pelayaran, kata ICA .
Sejak 30 September, pelepasan tanpa pasport di keempat-empat terminal Lapangan Terbang Changi telah mengurangkan purata masa pelepasan dari 25 saat kepada 10 saat bagi setiap pengunjung.
Meskipun pelepasan imigresen kini tidak memerlukan passport, ICA mengingatkan pengunjung supaya membawa pasport mereka kerana ia mungkin diperlukan untuk pemeriksaan imigresen di negara destinasi mereka.
Pasport turut diperlukan untuk tujuan pengesahan ICA bagi sesetengah pengunjung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg