Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) kembali pada 2024 dengan tumpuan pada peranan pemimpin masyarakat masa kini dan masa depan dalam membangunkan masyarakat Muslim gemilang.
Ia akan diadakan selama dua hari pada 14 dan 15 Oktober di Pusat Expo dan Konvensyen Marina Bay Sands dengan tema ‘Menginspirasikan Pemimpin Masa Depan: Membina Kepercayaan, Memperkasa Masyarakat’.
Sekitar 600 peserta dari dalam dan luar negara dijangka hadir di sidang anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu yang akan menampilkan penceramah tempatan dan antarabangsa.
Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, berkata naratif asas sidang itu adalah berkenaan agama dan masyarakat serta bagaimana semua pihak dapat bekerjasama untuk membangunkan masyarakat Muslim yang gemilang.
“Ideanya adalah bagaimana pemimpin masyarakat boleh membangunkan dan mewakili masyarakat dengan yakin. Teras persidangan itu akan membincangkan tentang membina kepercayaan dan memperkasa masyarakat.
“...Ia menunjukkan betapa penting topik tersebut hari ini, terutamanya dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian dan bagaimana kepercayaan adalah amat penting dalam masyarakat,” katanya dalam satu sidang media sempena lima tahun bersama M Kuasa Tiga (M³) pada 10 Oktober.
Encik Kadir menambah bahawa antara penceramah di sidang itu ialah mantan mayor Rotterdam, Belanda, Encik Ahmed Aboutaleb.
Beliau akan berkongsi pengalaman dan cabaran menjadi seorang pemimpin dalam masyarakat yang terbuka, sekular dan progresif di Belanda dan juga masyarakat minoriti.
ICCOS 2024 akan meneroka empat bidang tumpuan yang menjejas kepimpinan hari ini dan esok – Peningkatan dan Pemerkasaan Sosial, Kepimpinan Perwakilan, Perpaduan Sosial untuk Masa Depan; dan Pertimbangan untuk Masa Depan: Perusahaan, Karyawan dan Sektor Agama.
Sebanyak empat sesi panel akan diadakan untuk membincangkan bidang tumpuan yang disebutkan itu. Selain itu, ICCOS 2024 akan menampilkan beberapa kegiatan unik.
Ini termasuk Pengalaman Perpustakaan Manusia, satu wadah unik yang menghubungkan peserta dengan pemimpin masyarakat yang mengubah kehidupan melalui dedikasi dan inovasi.
Pemimpin masyarakat itu terdiri daripada anggota badan masyarakat dan inisiatif akar umbi yang akan tampil sebagai ‘Buku Manusia’ yang menawarkan pandangan mendalam mengenai perjalanan dan sumbangan mereka. Ini akan dilakukan melalui sesi penceritaan dan soal jawab interaktif.
Di samping itu, satu perjalanan pembelajaran dipanggil Jalan-Jalan akan diadakan bagi peserta belajar tentang peranan kepimpinan dalam memupuk masyarakat yang berjaya.
Peserta boleh memilih mengunjungi tempat seperti M³@WGS, Enabling Village, Galeri Harmony in Diversity dan Galeri Singapore City untuk melihat bagaimana pemimpin bekerjasama dengan entiti agama, masyarakat dan pemerintah untuk menyokong masyarakat Islam minoriti.
Kegiatan lain yang diadakan termasuk Youth Hackathon, yang mana belia berusia 17 hingga 35 tahun perlu memikirkan idea dan membangunkan huraian inovatif untuk menyelesaikan masalah dunia nyata dalam salah satu daripada empat bidang tumpuan yang disebutkan di atas.
Tujuh kumpulan belia akan membentangkan idea mereka kepada panel pengadil dan peserta ICCOS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg