Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Tubuh M³ tangani cabaran dalam masyarakat secara terbuka, bukan ‘jadi popular’

Pemimpin politik perlu jelas dalam tugas, berani hadapi masalah
Oct 13, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, berkongsi tentang pencapaian dan kemajuan gerakan M Kuasa Tiga (M³) sepanjang lima tahun lalu dan juga mengenai Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 dalam satu sidang media pada 10 Oktober di Hab Islam Singapura.
(Dari kiri) Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, berkongsi tentang pencapaian dan kemajuan gerakan M Kuasa Tiga (M³) sepanjang lima tahun lalu dan juga mengenai Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 dalam satu sidang media pada 10 Oktober di Hab Islam Singapura. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Gerakan M Kuasa Tiga (M³) diusahakan untuk menangani masalah yang dihadapi dalam masyarakat Melayu/Islam secara terbuka dan memastikan sumber diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah tersebut, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Encik Masagos berkata kepimpinan politik melibatkan usaha dan keberanian untuk “menghadapi masalah penting, mendapatkan sumber dan menyelesaikan masalah”, dan bukannya untuk melakukan sesuatu hanya “untuk menjadi popular” dan “nampak bagus dalam televisyen”.

Beliau berkata demikian tatkala ditanya apakah respons beliau terhadap tanggapan M³ dilihat sebagai ‘projek politik’ dalam satu sidang media di Hab Islam Singapura sempena lima tahun bersama M³ pada 10 Oktober.

“Jika kita bersikap politik, kita akan melakukannya untuk menjadi popular, untuk dapat undian. Anda tidak akan peduli tentang hasilnya. Anda hanya mahu nampak bagus dalam televisyen dan akhbar.

“(Tetapi) kita menyelesaikan masalah sebenar, yang bermakna jika masalah itu tidak dapat diselesaikan, anda bertanggungjawab dan anda tidak akan dapat undian kerana anda gagal.

“Oleh itu, anda perlu berani menghadapi masalah secara terbuka, mendapatkan sumber, dan menyelesaikan masalah. Itulah yang dikatakan kepimpinan politik,” kata beliau.

Gerakan M³ yang menggembleng tenaga dan sumber Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra) merupakan daya usaha perdana di bawah kepimpinan Encik Masagos yang kali pertama diumumkan pada 2018.

Ia antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama antara ketiga-tiga badan itu serta menyelaras sumber bagi membantu mempertingkat masyarakat.

Namun, lima tahun setelah gerakan itu diusahakan, masih terdapat tanggapan M³ sebagai ‘projek politik’ yang dimulakan penjawat politik dan mungkin boleh dibubarkan selepas penjawat politik itu tidak lagi menggalas tugas yang sama.

Ini berdasarkan daya usaha serupa yang dijalankan sebelum ini oleh pemimpin masyarakat Melayu/Islam terdahulu, seperti Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) dan Ekonomi Berteraskan Ilmu (KBE) – yang masing-masing lahir semasa kepimpinan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (2002-2018) dan Encik Abdullah Tarmugi, (1993-2002) – dan kini tidak lagi aktif dan kurang diingati.

Encik Masagos bagaimanapun menegaskan bahawa beliau dan pasukannya jelas tentang tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin politik, iaitu untuk berani menghadapi dan menangani serta menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat.

Beliau memberi contoh isu kadar kebentanan bekas pesalah Melayu yang tinggi dahulu, dengan sekitar 50 peratus pesalah Melayu ditangkap semula dua tahun selepas dibebaskan bagi kohort yang dibebaskan pada 2001.

Menyedari masalah itu, Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga, atau Fitrah, ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Muis untuk menyediakan sokongan lebih terselaras dan menyeluruh kepada pesalah dan keluarga mereka sepanjang tempoh tahanan dan selepas dibebaskan.

Usaha ini melengkapi sokongan yang disediakan badan-badan masyarakat lain yang sedia ada.

Hari ini, kadar kebentanan bekas pesalah Melayu kekal rendah dan stabil, dengan 24.7 peratus pesalah Melayu ditangkap semula dua tahun selepas dibebaskan bagi kumpulan yang dibebaskan pada 2020.

“Tanggungjawab pemimpin politik adalah untuk memahami apakah masalah yang perlu diselesaikan dahulu, dan memastikan sumber diperuntukkan dengan baik untuk menyelesaikan masalah.

“Terdapat banyak masalah, dan kadangkala memilih masalah yang salah atau memilih masalah secara salah, mungkin akan memberikan hasil yang baik tetapi tidak akan mempunyai kesan kepada masyarakat,” kata Encik Masagos.

Usaha menyelesaikan masalah bagaimanapun tidak begitu mudah, namun dengan penggemblengan sumber dan tenaga tiga agensi ‘M’, pelbagai pencapaian telah dapat diraih sepanjang lima tahun lalu meskipun terdapat beberapa cabaran awal yang dihadapi tatkala tugas M³ dimulakan pada 2019, kata Encik Masagos.

Antaranya, dengan sinergi dan kerjasama agensi dan rakan-rakan lain, Mendaki dapat meningkatkan jumlah peserta kanak-kanak dan ibu bapa bagi program KelasMateMatika (KMM) mereka daripada sekitar 300 setahun dahulu kepada sekitar 3,200 hari ini.

Melalui program Tunas Bersama M³ pula, bakat kepimpinan muda dalam kalangan badan Melayu/Islam (MMO) berpeluang mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan rangkaian untuk menerajui masyarakat dan pertubuhan mereka.

“Tanpa disedari, program tersebut melakukan dua perkara. Pertama, mungkin disebabkan kursus itu, ramai antara mereka menjadi presiden atau pengerusi pertubuhan mereka. Namun yang lebih penting, melalui kursus ini, mereka kini menjalin rangkaian antara satu sama lain dan dengan Muis, Mendaki dan Mesra dengan lebih rapat.

“Oleh sebab kami memahami misi satu sama lain, kami tahu bagaimana untuk mewujudkan sinergi dan bekerjasama,” kata Encik Masagos.

Melalui usaha M³, lebih ramai karyawan dalam masyarakat Melayu/Islam juga dapat dikenal pasti, dengan golongan ini – termasuk peguam, guru dan doktor – tampil menyumbang kemahiran dan kepakaran mereka untuk membantu masyarakat.

Ini juga termasuk asatizah, yang mana peranan mereka lebih menyerlah dalam menyokong masyarakat seperti dalam program Bersamamu, untuk membantu pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dan juga melalui Fitrah untuk memberikan bimbingan dan nasihat kepada banduan.

“Oleh itu, kerjasama antara institusi M³ kita, kerjasama dengan badan-badan professional dan mengerahkan mereka dalam masyarakat, mengenal pasti isu utama yang masyarakat harus tumpukan, dan menyelesaikan atau menghindari masalah daripada berlaku, adalah proses yang telah kami laksanakan dalam inisiatif M³ ini sepanjang lima tahun yang lalu,” kata Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg