Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Identiti lelaki yang meninggal dunia di rumah kekal jadi misteri

May 14, 2024 | 8:28 PM
Dalam hasil siasatan yang dimuat naik dalam talian, Koroner Negara, Encik Adam Nakhoda, berkata identiti lelaki yang meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari dan jantung membesar itu, masih belum diketahui.
Dalam hasil siasatan yang dimuat naik dalam talian, Koroner Negara, Encik Adam Nakhoda, berkata identiti lelaki yang meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari dan jantung membesar itu, masih belum diketahui. - Foto ST

Selama ini, kesemua anak-anak mengenali bapa mereka sebagai, ‘Abdul Rahman bin Majid’.

Bagaimanapun mereka mengalami kejutan apabila mendapat tahu arwah bapa mereka telah menggunakan identiti orang lain sepanjang hidupnya.

Siasatan menunjukkan Abdul Rahman Bin Majid yang sebenar, yang mempunyai nombor kad pengenalan (IC) sama dengan Allahyarham, masih hidup dan tinggal di sebuah rumah kebajikan di Buangkok sejak 1994 dan menghidap penyakit kronik skizofrenia, menurut dokumen mahkamah.

Cap jari yang diambil daripada Abdul Rahman sebenar sepadan dengan yang terdapat pada kad pengenalan tersebut, manakala cap jari yang diambil daripada Allahyarham Abdul Rahman tidak ditemui dalam pangkalan data tempatan.

Menerusi hasil siasatan yang dimuat naik dalam talian pada 14 Mei, Koroner Negara, Encik Adam Nakhoda, berkata identiti lelaki yang meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari dan jantung membesar itu, masih belum diketahui, lapor The Straits Times (ST).

Membuat keputusan terbuka terhadap kes itu, beliau berkata 10 cap jari lelaki itu telah dihantar kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia untuk dibandingkan dengan pangkalan data di dua negara itu bagi mengesahkan identitinya.

Namun, cap jarinya tidak dapat dipadankan dengan sesiapa pun yang ada dalam pangkalan data Malaysia atau Indonesia.

Cap jarinya juga dihantar kepada pihak berkuasa Thailand pada 15 Ogos 2023 untuk mengesahkan identitinya.

Koroner negara tersebut berkata bahawa sehingga 8 Mei 2024, pihak berkuasa Thailand masih belum memberi jawapannya.

“Jika jawapan diterima dapat mengenal pasti secara positif identiti si mati, kes ini akan dibuka semula,” katanya.

Dalam prosiding lebih awal pada Julai 2023, seorang pegawai penyiasat memberitahu mahkamah bahawa pada 5 Ogos 2022, polis menerima panggilan daripada salah seorang anak lelaki Allahyarham yang mendapati bapanya berhenti bernafas di ruang tamu flat mereka di Geylang Bahru.

Seorang paramedik kemudian mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah meninggal.

Anak lelaki tersebut dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Encik Farizal.

Bagaimanapun, beliau dan isteri lelaki misteri itu bernama Puan Seri, tidak terlibat dalam siasatan tersebut kerana kededua mereka menghidap sejenis penyakit psikiatri.

Encik Farizal mempunyai tiga lagi adik-beradik lelaki yang juga anak kepada lelaki misteri itu, iaitu Encik Iskandar, Encik Baharuddin dan Encik Razef.

Encik Iskandar memberitahu penyiasat bahawa beliau tidak pernah melihat bapanya melawat doktor dan Allahyarham juga tidak pernah bercerita mengenai saudara-maranya.

Encik Baharuddin pula berkata bapanya tidak pernah mengunjungi hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Dalam satu laporan pada Julai 2023, pegawai siasatan (IO) Ng Yun Ning memberitahu Koroner Negara tersebut bahawa anak lelaki Allahyarham terkejut apabila diberitahu bahawa nama bapanya bukan ‘Abdul Rahman bin Majid’.

Namun, hasil ujian darah menunjukkan empat anak Allahyarham itu adalah anak kandungnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg