Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Identiti ‘Orang Timur’ S’pura yang luar biasa

May 19, 2024 | 5:30 AM
Lokasi lapangan terbang di timur Singapura juga bermakna banyak bahagian timur akan sentiasa kekal rendah, memberikan kawasan tersebut daya tarikan dan suasana yang unik.
Lokasi lapangan terbang di timur Singapura juga bermakna banyak bahagian timur akan sentiasa kekal rendah, memberikan kawasan tersebut daya tarikan dan suasana yang unik. - Foto fail

Di satu acara akar umbi Marine Parade pada April, penduduk bersemangat berkongsi rasa cinta mereka terhadap kejiranan mereka. Mereka bercakap tentang angin laut segar yang mereka nikmati, jarak dekat dengan Taman East Coast, dan kemudahan pasar dan pusat beli-belah berdekatan.

Kebanggaan mereka dalam masyarakat mereka – dan bahawa mereka tinggal di timur Singapura – dapat dirasai, menunjukkan dengan jelas mengapa mereka tidak pernah berharap untuk tinggal di tempat lain.

Sentimen sedemikian menimbulkan persoalan: Apakah mungkin membentuk identiti berdasarkan kawasan tempat tinggal anda di Singapura?

Dengan saiz negara ini yang kecil, dasar penyepaduan etnik dan hakikat bahawa perkhidmatan awam disediakan di serata pulau, sesetengah orang akan berasakan bahawa konsep identiti kawasan yang tersendiri – serupa dengan menjadi orang New York di Amerika Syarikat atau mungkin orang Pulau Pinang di Malaysia atau orang London Barat – seperti tidak mungkin berlaku di Singapura.

Bagaimanakah sebuah negara, yang hanya selebar sekitar 50 kilometer dari hujung ke hujung, dapat memupuk kesetiaan tempatan yang ketara sebagai Orang Timur, orang Barat atau orang Yishun?

Tetapi ia berlaku, terutama di timur Singapura, dan fenomena ini sejajar dengan tanggapan Benedict Anderson tentang “masyarakat yang dibayangkan”. Walaupun perbezaan geografi di pulau kecil seperti Singapura mungkin tidak membawa kepada perpecahan budaya yang mendalam, identiti kawasan yang muncul adalah nyata bagi mereka yang menerimanya.

Jadi, adakah identiti bahagian timur yang berbeza wujud, dan jika iya, apakah yang dimaksudkan sebagai Orang Timur?

Keunikan bahagian timur

Bahagian timur lebih dahulu menjadi tuan rumah dan memupuk masyarakat yang bersemangat sebelum kemerdekaan negara.

Menurut banci penduduk pada 1957, bahagian timur Singapura sudah jauh lebih padat penduduknya berbanding barat dan mempunyai kadar pembandaran yang lebih cepat. Banyak estet perumahan dan pinggir bandar seperti Geylang Serai, Bedok dan Siglap telah mula dibangunkan, meletakkan asas untuk identiti masyarakat yang kukuh.

Ini berbeza daripada kegiatan pertanian dan perindustrian di barat, yang secara amnya menempatkan kampung-kampung kecil yang terletak lebih berjauhan.

Satu sumber kebanggaan di bahagian timur datang daripada banyaknya kemudahan unik yang ditawarkan di kawasan itu.

Di banyak negara, kehidupan di tepi pantai membawa premium. Ini juga berlaku di timur Singapura yang menawarkan pemandangan laut daripada kedua-dua flat HDB dan hartanah privet – ciri yang jarang ditemui dan sangat dihargai yang tidak biasa ditemui di bahagian lain di negara ini.

Walaupun penduduk dari bahagian lain Singapura boleh dengan mudah berulang-alik ke pantai dan taman tepi laut di timur negara, Orang Timur tahu bahawa riadah tepi pantai terletak dekat dengan mereka.

Satu lagi kebanggaan Singapura yang terletak di timur negara ini adalah Lapangan Terbang Changi. Lokasi lapangan terbang itu juga bermakna banyak bahagian timur akan sentiasa kekal rendah – yang menerangkan mengapa terdapat banyak padang golf di kawasan itu – memberikan kawasan tersebut daya tarikan dan suasana yang unik.

Kawasan timur juga terkenal dengan warisan dan suasana kulinarinya, daripada gerai penjaja yang menyajikan makanan tempatan kepada pertubuhan makanan dan minuman kelas tinggi yang disokong oleh Panduan Michelin yang menawarkan pelbagai masakan.

Kepelbagaian seni bina di bahagian timur juga sangat mempengaruhi identiti tersendirinya.

Rumah hitam-putih kolonial di Siglap dan di Fort Road dan rumah kedai Peranakan berwarna-warni di Katong dan Joo Chiat memberi imbasan masa lalu Singapura.

Digandingkan dengan estet-estet HDB besar, kondominium tinggi dan struktur mega seperti Our Tampines Hub dan Jewel Changi yang menampilkan air terjun ruang dalam tertinggi di dunia, barisan bangunan eklektik dan menarik secara visual ini mencerminkan warisan budaya yang mendalam yang disulami kemajuan bandar moden.

Persaingan kawasan

Identiti Orang Timur didorong bukan sahaja oleh persekitaran kehidupan yang tersendiri, tetapi juga oleh naratif yang diilhamkan dan diutarakan oleh penduduk.

Naratif ini “membeza-bezakan” penduduk bahagian lain Singapura melalui jenaka dan persaingan gurauan.

Sebagai contoh, justifikasi yang sering diberikan bagi “bahagian timur, bahagian terbaik” adalah tanggapan kemudahan atau aksesibiliti yang dikaitkan dengan menginap di bahagian timur berbanding dengan bahagian lain.

Analisis menggunakan data daripada Banci Penduduk 2020 seperti memberi sokongan kepada tanggapan sedemikian.

Antara lain, bahagian timur lebih terhubung melalui pengangkutan awam. Sedang bahagian tengah mempunyai peratusan terbesar penduduk bekerja yang meluangkan 30 minit atau kurang berulang-alik antara rumah mereka dengan tempat kerja (60.8 peratus), peratusan bagi bahagian timur masih tinggi pada 49.3 peratus.

Peratusan di barat adalah 43.6 peratus, di timur laut 41.5 peratus dan di utara 37.5 peratus.

Sudah tentu, penduduk di barat boleh berkata mereka berada dekat dengan kebanyakan institut pengajian tinggi Singapura, serta industri berteknologi tinggi dan berat.

Dalam hal ini, kemungkinan berlakunya persaingan atau perbezaan kawasan untuk mendorong pembentukan identiti bersama sememangnya ada. Semangat ini adalah sesuatu yang inisiatif didorong pemerintah telah berusaha manfaatkan dan salurkan ke dalam pembangunan masyarakat dengan tahap kejayaan yang berbeza-beza.

Liga S (pendahulu Liga Perdana Singapura yang masih baru) menampilkan satu percubaan sedemikian dengan penglibatan kelab bola sepak yang menjalin ikatan dengan pelbagai kawasan kejiranan seperti Geylang United dan Woodlands Wellington.

Sementara itu, Rangkaian Sukan Masyarakat Persatuan Rakyat telah menyaksikan lebih banyak kejayaan dalam memupuk semangat dan kebanggaan tempatan melalui pasukan kejiranan yang bersaing dalam pelbagai sukan termasuk bola keranjang dan badminton.

Konsep Koridor Identiti yang dicetuskan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) adalah satu lagi contoh.

Ia memanfaatkan ciri khas kawasan kejiranan di sepanjang koridor itu – seperti landasan kereta api bekas Laluan Rel West Coast untuk Koridor Rel – bagi membangunkan semangat kemasyarakatan yang lebih kukuh.

Dengan kata lain, perbezaan menjadi sumber perpaduan dan bukannya perpecahan. Ia tidak pernah merebak menjadi perbalahan sengit yang dilihat di kalangan penyokong kelab bola sepak di negara lain, yang kadangkala berpunca daripada persaingan kawasan yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Perlawanan bola sepak antara Balestier Khalsa dan Tampines Rovers tidak akan menjadi perang kecil seperti yang sering berlaku bagi perlawanan antara Real Madrid dan FC Barcelona.

Keterangkuman di tengah-tengah identiti

Sedang kebanggaan dalam kawasan kejiranan seseorang memupuk semangat kekitaan, adalah penting untuk memastikan identiti ini kekal dapat diakses oleh semua penduduk, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka. Ia harus terus inklusif.

Sebagai contoh, berpindah ke timur, yang sering disebut-sebut sebagai “kawasan terbaik”, mungkin menandakan mobiliti yang dipertingkat bagi sesetengah orang. Daya tarikan kehidupan di tepi pantai dan akses kepada kemudahan unik boleh menarik mereka yang mencari mutu hidup yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, perubahan dalam bahagian ini, seperti kemasukan ekspatriat atau pembangunan lebih banyak perumahan privet, secara tidak sengaja boleh mewujudkan halangan kepada kemasukan bagi segmen masyarakat tertentu.

Dalam hal ini, model perumahan awam Singapura akan terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan perpaduan sosial dengan menyediakan pilihan pemilikan rumah yang boleh diakses, berharga berpatutan dan adil.

Sebagai contoh, penerapan model perumahan Prime dan Plus kepada projek perumahan awam di lokasi yang sering menjadi pilihan seperti Bayshore dan Long Island yang akan datang bakal membolehkan masyarakat kediaman kekal inklusif dan pelbagai.

Turut penting untuk mengakui dan meraikan pelbagai manfaat hidup di semua bahagian pulau ini. Sedang bahagian timur mungkin berbangga dengan keindahan pantainya, kawasan lain menawarkan daya tarikan dan peluang unik mereka.

Majlis pembangunan masyarakat dan rangkaian penduduk menonjolkan nilai dan manfaat yang dibawa oleh setiap daerah atau kawasan kepada penduduknya.

Ini akan memastikan identiti berasaskan tempat – sama ada Orang Timur, Orang Barat atau Orang Yishun – kekal pada ciri berasaskan tempat seperti kemudahan dan daya tarikan, yang akan melengkapi dan bukannya bersaing dengan identiti Singapura yang lebih luas yang berasaskan ciri berdasarkan individu termasuk nilai bersama kita.

Sedang Singapura terus berkembang, identiti kawasan ini berkemungkinan akan berterusan dan membuat penyesuaian. Memahami dan menghargainya bukan hanya tentang mengakui kepelbagaian, tetapi juga tentang memperkukuh etos kolektif bagi kebolehsuaian dan perpaduan.

Oleh itu, walaupun sesetengah Orang Timur mungkin tidak pernah mahu berpindah ke barat, sentimen mereka adalah bukti kejayaan Singapura dalam mewujudkan bukan sahaja tempat untuk tinggal, tetapi tempat untuk dipanggil kediaman.

Melvin Tay pengkaji bersekutu di Institut Pengajian Dasar, Universiti Nasional Singapura. Mathew Mathews ketua Makmal Sosial dan felow penyelidik utama di institut yang sama. Salah seorang daripada mereka menggelar dirinya Orang Timur.

Sedang kebanggaan dalam kawasan kejiranan seseorang memupuk semangat kekitaan, adalah penting untuk memastikan identiti ini kekal dapat diakses oleh semua penduduk, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka. Ia harus terus inklusif.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg