Setiap tahun, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menganjurkan acara Projek PPIS ‘Ihsan Ramadan’, iaitu kempen bagi mengumpul dana. Kempen ini bertujuan mengumpul dana sebanyak $500,000 untuk mengekal serta meningkatkan program dan perkhidmatan kepada benefisiari badan tersebut.
Bertemakan ‘Sinari Impian’, kempen ini menggambarkan intipati memperkasakan individu untuk mencapai hasrat mereka serta mengatasi cabaran melalui program dan perkhidmatan PPIS.
Salah satu perkhidmatan utama yang disediakan PPIS ialah rumah peralihan Rise Above Halfway House (Rise Above) – rumah peralihan sekular bagi bekas pesalah wanita di Singapura.
Antara yang telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini ialah Cik Amy (bukan nama sebenar), yang melalui perjalanan pemulihannya di Rise Above.
Setelah menamatkan pengajian pada 2024, beliau dikenal pasti oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk mengikuti program komuniti semasa hukuman akhir. Beliau diberi peluang penyepaduan semula, latihan dan pekerjaan semula, dan hubungan semula dengan keluarganya.
Melalui program di Rise Above, Cik Amy mempelajari kemahiran dan mengasah bakat barunya dalam seni dan jahitan, meningkatkan kehidupannya dengan cara yang tidak pernah dibayangkannya sebelum ini.
Beliau berusaha mahu lebih terlibat dalam kehidupan keluarganya, mengutamakan kebahagiaan, hubungan dan kesejahteraan dalam kalangan ahli keluarganya.
Selain daripada itu, PPIS juga menjalankan Perkhidmatan Penjagaan Pelajar 7oaks yang menyediakan penjagaan sebelum dan selepas sekolah untuk kanak-kanak berumur tujuh tahun hingga 14 tahun.
Bagi mengurangkan tekanan bekerja sambil menyara keluarganya, Pusat Khidmat Keluarga PPIS timur telah merujuk Cik Radiyah (bukan nama sebenar), ke Pusat Penjagaan Pelajar 7oaks Bedok (SCCB).
Di SCCB, ketiga-tiga anaknya disediakan persekitaran yang selamat untuk belajar dan berkembang melalui program seperti penyeliaan kerja rumah dan pengalaman pembelajaran holistik, lantas menawarkan Cik Radiyah ketenangan sewaktu bekerja.
Beliau berharap memperoleh pendapatan yang baik agar beliau dan keluarga ada lebih banyak masa dan peluang bersama.
TENTANG PPIS
Ditubuhkan pada 1952, PPIS merupakan pertubuhan perkhidmatan sosial yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan untuk wanita, keluarga dan kanak-kanak. PPIS menjalankan tiga perkhidmatan komuniti teras: Perkhidmatan Keluarga, Penjagaan Pelajar, dan Kemudahan Kediaman.
Dengan 11 pusat di serata Singapura, perkhidmatan ini menyediakan sokongan yang bermutu dan holistik. Program pembangunan untuk golongan wanita dan keluarga merentasi pelbagai fasa kehidupan. PPIS membantu lebih 34,000 benefisiari tahun lalu, melalui kerja kes (casework), kaunseling, terapi keluarga, asuhan dan keperluan pendidikan.
SEKILAS
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menghulur sumbangan, sila kunjungi laman www.ppis.sg/pir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg