Kecerdasan buatan (AI) mungkin digunakan untuk membantu mengurus diabetes atau gangguan pencernaan dari perspektif perubatan Cina Tradisional (TCM), tidak lama lagi.
Ini merupakan sebahagian daripada projek yang sedang diterokai oleh makmal baru yang dilancarkan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Menurut The Straits Times, makmal hasil kerjasama antara Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dengan Universiti Perubatan Cina Beijing (BUCM), akan berpangkalan di Hospital Dongfang, sebuah kolej perubatan klinikal di BUCM.
Di bawah kerjasama itu, para pelajar perubatan Cina NTU akan dihantar ke sana untuk membuat penyelidikan.
Mengumumkan demikian dalam Sidang Puncak Perubatan Tradisional Cina Global yang julung-julung kalinya diadakan di hotel Pan Pacific Orchard, Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan, Dr Koh Poh Koon, berkata ia merapatkan “pengetahuan purba dengan teknologi termaju”.
Pengarah Perubatan Cina NTU, Profesor Madya Linda Zhong, yang berucap di sidang puncak anjuran NTU pada 28 September, berkata bahawa masa depan TCM dikaitkan dengan kebangkitan kecerdasan buatan.
“Bayangkan diagnostik berkuasa AI boleh melengkapkan penilaian nadi dan lidah kita, atau analitik data yang membuka kunci corak baru dalam keberkesanan formula herba,” kata Prof Zhong, menggesa pengamal untuk menerima kaedah baru ini.
Dr Koh juga mengumumkan ijazah sarjana baru dalam perubatan Cina di NTU yang dijadualkan dilancarkan pada 2026, sekali gus menandakan program pascasiswazah yang pertama ditawarkan oleh universiti tempatan.
Program tersebut terbuka kepada graduan dan pengamal perubatan Cina, serta pengamal kesihatan perubatan dan pergigian.
Pelajar yang mengikuti ijazah sarjana perlu melengkapkan kursus teras mengenai metodologi penyelidikan dan penyepaduan teori serta rawatan perubatan Cina klasik dan moden.
Mereka kemudian boleh memilih untuk mendalami bidang ginekologi, akupunktur atau sains bioperubatan.
Dr Koh, yang merupakan bekas pakar bedah kolorektal berkata: “Asas yang kami sediakan hari ini akan menyediakan pengamal TCM tempatan yang berkaliber untuk memajukan TCM pada masa depan.”
Beliau menegaskan bahawa seorang daripada setiap lima rakyat Singapura mendapatkan nasihat pengamal TCM.
Dr Koh berkata pesakitnya sering bertanya kepadanya tentang TCM kerana mereka percaya ia boleh membantu mengatasi beberapa kesan sampingan kemoterapi.
Pada tahun-tahun akan datang, katanya, klinik dan pengamal TCM bertauliah akan menjadi sebahagian daripada Healthier SG, satu skim kebangsaan yang menggalakkan orang ramai mendaftar dengan klinik keluarga bagi mengambil langkah peribadi buat diri mereka.
“Bayangkan pengamal TCM boleh merujuk anda kepada doktor keluarga untuk suntikan bersubsidi penuh, pemeriksaan dan pengurusan penyakit kronik, sambil terus memberikan anda penjagaan TCM,” tambahnya.
Institusi kesihatan awam telah memberikan 18 cadangan berkaitan TCM kepada Kementerian Kesihatan (MOH) dalam inisiatif termasuk menggunakan akupunktur untuk merawat migrain dan penjagaan berkaitan barah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg