Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

IKEA jual dendeng, nasi kerabu dan tapak kuda sempena Ramadan, Hari Raya

Mar 22, 2024 | 4:01 PM
Syarikat perabot IKEA Singapore menjual daging dendeng, beserta beberapa sajian tradisional Melayu yang lain, sempena musim perayaan Hari Raya yang bakal menjelma.
Syarikat perabot IKEA Singapore menjual daging dendeng, beserta beberapa sajian tradisional Melayu yang lain, sempena musim perayaan Hari Raya yang bakal menjelma. - Foto INSTAGRAM/IKEASINGAPORE

Tidak kira perisa mahupun jenis daging, dendeng merupakan snek yang sering kali menjadi buruan ramai masyarakat Melayu/Islam di sini tatkala Ramadan menjelma.

Bahkan di wadah dalam talian, kini terdapat pelbagai pilihan dendeng beku bagi pelanggan. Ia hanya tinggal dinyahbeku dan dipanggang sahaja untuk dijamu.

Ternyata, IKEA – sebut tentang syarikat ini, antara perkara pertama yang terlintas di minda adalah perabot atau bebola daging – juga tidak ingin melepaskan peluang ini.

Ini setelah ia turut menjual dendeng dan beberapa sajian tradisional Melayu lain bagi meraikan perayaan utama yang disambut di Singapura.

Dalam satu hantaran Instagram syarikat itu pada 14 Mac, ia menunjukkan cara menyiapkan daging dendeng.

View post on Instagram
 

Daripada kotak dendeng tersebut, ia telah disahkan Halal oleh Majlis Ugama Islam Singapura.

Hantaran tersebut mendapat sambutan hangat daripada warganet, dengan lebih 500 ‘likes’ setakat ini di Instagram.

Dalam satu respons kepada Berita Harian (BH), Pengurus Makanan di IKEA Singapore, Encik Aeson Ong, menjelaskan dendeng tersebut merupakan produk tawaran istimewa sempena tempoh perayaan utama di sini.

Encik Ong berkata: “Kami sentiasa berusaha untuk menyuntik kesegaran bagi rangkaian makanan kami dalam Pasar Makanan Sweden dan makanan di restoran untuk setiap perayaan utama yang disambut di Singapura.

“Singapura ialah sebuah negara yang gemar memakan dan kami faham kepentingan berkenaan aspek kemudahan untuk pelanggan kami, terutamanya semasa musim perayaan.

“Oleh demikian, semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali atau Hari Natal, kami sasarkan bagi… memudahkan pelanggan kami mendapatkan semua yang mereka perlukan untuk perayaan di satu lokasi yang sesuai.”

Beliau turut menambah bahawa IKEA baru melancarkan nasi kerabu dan kari kaki ayam di restoran Sweden.

Daripada laman rasmi IKEA, turut dijual sempena musim perayaan Hari Raya kali ini adalah kek lapis, kek tapak kuda coklat hazelnut dan kuih bangkit, antara lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg