Topik diikuti
Pergi ke BHkuIlham Child Care tutup pusat di Woodlands; hadapi sewa meningkat, cabaran operasi lain
Ecda: Pengendali perlu beri notis sekurang-kurangnya 6 bulan
Pengendali pusat jagaan kanak-kanak Ilham Child Care berkata ia menghentikan operasi di cawangan Woodlands Close pada 6 Ogos, setelah beberapa bulan menghadapi cabaran operasi, termasuk sewa meningkat.
Meskipun memberi notis rasmi kepada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dan ibu bapa pada 5 Ogos, atau sehari sebelum penutupan, pengendali Ilham Global memberitahu Berita Harian (BH), ia telah berhubung dengan Ecda sejak beberapa bulan lalu untuk menyatakan cabaran yang dihadapi.
Menjawab pertanyaan BH, Ecda mengesahkan agensi itu telah berhubung dengan pengendali tersebut, dan sebelum ini memaklumkan ibu bapa mengenai kemungkinan khidmat penjagaan terganggu.
Pada 5 Ogos, Ecda dimaklumkan bahawa Ilham Child Care, yang terletak di bangunan Primz Bizhub, tidak lagi akan beroperasi di premis tersebut mulai keesokan harinya.
“Ecda menghendaki prasekolah untuk memberikan notis bertulis sekurang-kurangnya enam bulan kepada ibu bapa dan Ecda sebelum menamatkan operasi.
“Ecda akan mengambil tindakan pengawalseliaan yang sewajarnya terhadap prasekolah atas kegagalan mematuhi keperluan pengawalseliaan Ecda,” kata agensi itu.
Seramai 38 kanak-kanak dan lapan kakitangan terjejas akibat penutupan pusat tersebut.
Menyusuli penutupan itu, Ilham Global berkata ia menyediakan khidmat pengangkutan untuk membawa kanak-kanak ke cawangan Ilham Child Care di Tradehub 21 di Jurong sebelum dibawa semula ke Primz Bizhub di Woodlands Close untuk dijemput ibu bapa.
Pengendali itu juga berkata pihaknya telah berusaha mencari penyelesaian selama beberapa bulan bagi mengekalkan operasi di pusat itu.
“Keputusan ini merupakan antara keputusan paling sukar yang pernah kami buat. Ia bukan dibuat secara tiba-tiba atau didorong oleh satu faktor sahaja.
“Selama beberapa bulan, kami telah berusaha mencari pelbagai penyelesaian untuk mengekalkan operasi di kawasan utara sambil berkomunikasi secara berterusan dengan Ecda mengenai cabaran operasi yang kami hadapi, termasuk peningkatan kos sewa serta isu-isu di premis yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan operasi,” kata Ilham Global.
Pengendali tersebut berkata sewa telah meningkat sebanyak 29.3 peratus sepanjang tempoh operasinya di pusat Woodlands itu.
“Perkembangan terkini berkaitan premis menyebabkan kami terpaksa membuat keputusan dalam tempoh yang singkat demi memastikan keselamatan kanak-kanak, keluarga dan kakitangan sentiasa diutamakan,” kata pengendali itu lagi.
Ilham Global juga berkata ia telah cuba mencari lokasi alternatif di kawasan utara sejak 2025, termasuk memohon sebuah lokasi kawasan HDB, namun permohonan tersebut tidak berjaya.
Ia berkata beberapa premis lain yang dinilai pula mempunyai kadar sewaan yang terlalu tinggi atau tidak sesuai untuk operasi prasekolah.
“Kami berharap keseluruhan konteks dan latar belakang situasi ini, termasuk cabaran operasi yang telah dimaklumkan kepada Ecda sejak beberapa bulan lalu serta pelbagai usaha yang telah kami lakukan untuk mengelakkan penutupan pusat, dapat diambil kira,” kata Ilham Global.
Dalam surat bertarikh 5 Ogos yang dilihat BH, pengendali tersebut memberitahu ibu bapa semua kanak-kanak akan ditempatkan sementara di cawangan Tradehub 21 di Jurong mulai 6 Ogos.
Perkhidmatan bas ulang-alik percuma akan disediakan hingga 31 Ogos bagi memberi masa kepada keluarga membuat urusan pemindahan.
Ibu bapa turut diberi tempoh hingga 19 Ogos untuk memilih sama ada mahu memindahkan anak mereka ke cawangan Ilham Child Care di Tradehub 21, Jurong atau Focus One di Ubi View, tertakluk kepada kekosongan.
Seorang ibu, yang ingin dikenali sebagai Cik Siti sahaja, berkata beliau menerima surat itu sekitar 11.50 pagi pada 5 Ogos menerusi LittleLives, platform digital yang digunakan pusat jagaan kanak-kanak untuk berkongsi maklumat dan pengumuman dengan ibu bapa.
Beliau, yang mempunyai dua anak yang berdaftar di pusat tersebut, berkata beliau terkejut menerima berita berkenaan.
“Saya baru sahaja mengambil anak-anak saya dan perasan beberapa kakitangan sedang mengemas barang-barang mereka serta mengosongkan pusat tersebut,” katanya kepada wartawan BH yang telah mengunjungi cawangan di Woodlands Close pada petang 5 Ogos.
Di samping itu, seorang bapa, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Zulkifli, menyifatkan penutupan pusat itu sebagai sesuatu yang berlaku secara mengejut.
“Saya kecewa dengan kurangnya komunikasi daripada pihak Ilham Child Care mengenai isu ini.
“Kalau kami asyik mendesak atau bertanya, barulah mereka beri sedikit maklumat,” kata Encik Zulkifli, yang mempunyai seorang anak perempuan yang mengikuti program Tadika 2 (N2) di pusat berkenaan sejak 2025.
Beliau, yang menetap di kawasan Gambas, kini sedang berusaha mendapatkan pusat jagaan alternatif untuk anak perempuannya.
Ada juga ibu bapa yang memilih untuk meneruskan persekolahan bersama Ilham Child Care selepas pusat di Woodlands Close itu berhenti beroperasi.
Seorang ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Fid, berkata beliau berpuas hati dengan pengalaman keluarganya bersama Ilham Child Care sepanjang kira-kira satu setengah tahun lalu.
“Setakat ini pengalaman kami bersama Ilham Child Care baik. Anak-anak dijaga dengan baik dan kami dapat melihat perkembangan anak kami sejak mengikuti program N2,” katanya kepada BH.
Beliau berkata anak lelakinya yang berusia lima tahun akan dipindahkan ke cawangan Ilham Child Care di Jurong.
“Anak saya sudah menyesuaikan diri dengan guru-guru yang penyayang. Kami juga melihat usaha pihak Ilham Child Care dalam menjaga kebajikan kanak-kanak.
“Selagi mereka terus menjalankan tanggungjawabnya, menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik dan menjaga kebajikan anak-anak, kami akan terus memberi sokongan,” katanya.
Ilham Global juga berkata semua kakitangannya telah ditawarkan penempatan semula di pusat Ilham Child Care yang lain, tertakluk kepada keperluan operasi dan penempatan yang bersesuaian.
Strategi jangka panjang Ilham Child Care adalah untuk menumpukan sumber dan pelaburan kepada pusat-pusat penjayaan bayi dan kanak-kank di Ubi dan Jurong.
