Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ilham transformasi Stesen Kereta Api Tanjong Pagar

Sep 17, 2024 | 7:43 PM
Hasil lakaran desain Encik Kenneth Chiang dari Singapura menangi tempat pertama bagi pertandingan From Dreams to Rail-ity. Bertajuk ‘Rail Life’, ia beri nafas baru kepada elemen seni bina yang menyepadukan reka bentuk warisan dengan moden secara inovatif untuk memperkenal pelbagai ruang perhimpunan untuk masyarakat.
Hasil lakaran desain Encik Kenneth Chiang dari Singapura menangi tempat pertama bagi pertandingan From Dreams to Rail-ity. Bertajuk ‘Rail Life’, ia beri nafas baru kepada elemen seni bina yang menyepadukan reka bentuk warisan dengan moden secara inovatif untuk memperkenal pelbagai ruang perhimpunan untuk masyarakat. - Foto URA

Penduduk tidak lama lagi boleh menyaksikan transformasi Stesen Kereta Api Tanjong Pagar (TPRS), sebuah monumen negara bersejarah, menjadi sebuah hab masyarakat yang bertenaga.

Ruang yang diubah suai itu akan menampilkan gerai runcit ‘pop-up’, galeri seni, kafe, ruang kerja bersepadu dan halaman depan berlandskap indah.

Transformasi itu berpandukan tiga cadangan reka bentuk yang berjaya; yang kesemuanya memberi fokus kepada keterangkuman dengan memperkenal ciri baru sambil kekalkan elemen seni bina dan sejarah tapak tersebut.

Menurut kenyataan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 17 September, TPRS baru, yang akan berfungsi sebagai nod komuniti utama dan pintu masuk selatan, akan menjadi nod masyarakat inklusif untuk ikatan sosial dengan ruang yang boleh disesuaikan bagi aktiviti rekreasi dan rehat.

Ketiga-tiga cadangan itu memenangi pertandingan From Dreams to Rail-ity, yang mengajak orang ramai berkongsi idea untuk menjadikan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar (TPRS) yang bersejarah sebagai satu warisan unik.

Penyerahan cadangan desain tersebut berjaya mempamerkan konsep inovatif untuk menggunakan semula stesen kereta api itu, dengan sesuaikannya sebagai bangunan masyarakat pelbagai fungsi yang bertenaga dan inklusif. 

Cadangan-cadangan tersebut diserahkan oleh Encik Kenneth Ciang dari Singapura, Arkitek PTW dari Amerika Syarikat, dan ACME Space Ltd dari United Kingdom.

Mereka juga mencadangkan cara membolehkan orang ramai lebih menghargai ciri-ciri seni bina dan sejarah bangunan monumen sambil membukanya untuk kegunaan komuniti yang inklusif. 

Pertandingan From Dreams to Rail-ity itu menarik sebanyak 98 penyertaan daripada individu dan pasukan dari dalam dan luar negara.

Ia dilancarkan URA pada April.

Ia mengajak orang ramai berkongsi idea untuk menjadikan TPRS bangunan warisan bertenaga, inklusif dan pelbagai fungsi yang menghubungkan masyarakat dengan Koridor Rel, yang menjadi sebahagian daripada draf Pelan Induk 2025 (DMP2025), kata URA.

Cadangan-cadangan tersebut dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada wakil dari URA dan sektor swasta, berdasarkan konsep reka bentuk keseluruhan, termasuk kepekaan mereka terhadap warisan dan hubungan dengan pembangunan di sekelilingnya. 

“URA akan mulakan peringkat perjalanan seterusnya – untuk menilai idea daripada pesaing dan menyaring konsep utama daripada maklum balas, idea dan cadangan yang dikumpulkan untuk TPRS selama ini, dan mengkaji kebolehlaksanaan mereka,” jelas URA.

Transformasi tersebut akan bermula selepas 2028, susuli pembukaan Stesen Cantonment dan kerja-kerja pemulihan Penguasa Tanah Singapura (SLA) selesai.

Dengan kerjasama Institut Arkitek Singapura (SIA), URA juga melancarkan pertandingan reka bentuk untuk nod masyarakat baru di bawah Jejambat Queensway mulai 17 September hingga 7 November.

Pertandingan itu bertujuan “mendapatkan cadangan inovatif daripada karyawan industri” untuk mengubah ruang jejambat menjadi “ruang pelbagai fungsi yang dapat menarik orang ramai untuk gunakannya bagi aktiviti rekreasi dan masyarakat.”

Ia juga harus direka bentuk untuk disepadukan dengan Koridor Rel dengan baik, tambah URA.

Apabila selesai, TPRS dan nod masyarakat Queensway, yang kededuanya baru, akan menambah kepada bilangan nod masyarakat di sepanjang Koridor Rel, menyusuli siapnya nod di Kranji, jejambat Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), Stesen Kereta Api Bukit Timah yang dipelihara dan Buona Vista.

Pasukan pemenang akan ditugaskan membangunkan reka bentuk terperinci bagi pembinaan dan pelaksanaan nod Queensway.

Mereka yang berminat mengambil bahagian dalam pertandingan itu boleh mendaftar di laman https://sia.org.sg/queensway-node/ untuk butiran lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg